Ahli Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Md. Zain menerangkan bahawa mengikut teori yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud secara semulajadinya, anak lelaki sememangnya lebih cenderung untuk rapat dengan ibu manakala anak perempuan pula lebih senang untuk bersama bapa. Anak emak biasanya merujuk kepada seorang anak lelaki yang mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan ibunya. Hubungan kuat ibu dan anak itu terbina sejak dari kecil lagi sehingga meningkat dewasa. Perwatakan dan personaliti mereka banyak dipengaruhi oleh ibu mereka. Ada di antara anak emak kekal perwatakan mereka sehingga meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.
PERWATAKAN DAN KEPERIBADIAN ANAK EMAK
Seorang anak lelaki yang digelar sebagai ‘anak emak’ kebiasaanya dilihat sebagai seorang yang sangat rapat dengan ibunya, bersifat penyayang, pengasih, berbudi bahasa, sopan santun, mengambil berat terhadap ahli keluarga, menghormati orang tua serta pandai menjaga hati ibu bapa. Wanita melihat lelaki ‘anak emak’ ini adalah calon suami yang baik kerana berpendapat bahawa lelaki ‘anak emak’ akan menjaganya sebagai seorang isteri sebagaimana dia menjaga ibunya. Tetapi ada juga wanita berpandangan bahawa lelaki ‘anak emak’ sukar untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isterinya dalam memberikan kasih sayang yang adil.
GAYA KEIBU–BAPAAN YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN ANAK EMAK
- Ibu Aktif – Gaya keibubapaan secara tidak langsung mempengaruhi pembinaan karakter dan personaliti anak emak. Kajian Maccoby, E.E. (1992) mendapati bahawa Ibu yang terlalu dominan dalam membesarkan anak-anak akan mempengaruhi perkembangan psikologi dan emosi kanak-kanak tersebut. Begitu juga dengan sifat Ibu yang terlalu bersifat pelindung (protective) kepada anaknya juga dapat memberi kesan kepada pembentukkan peribadi serta emosi anak tersebut.
- Bapa Pasif – Ikatan perhubungan antara anak dan ibu terlalu kuat sehingga setiap perkara si anak lelaki akan merujuk kepada ibu berbanding ayah dalam memberikan pendapat dan menjawab persoalan yang timbul. Di dalam hal ini si ayah mungkin tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam mempengaruhi perkembangan anak-anak tersebut. Kadang kala karakter Si ayah yang terlalu garang sehingga membuatkan anak lelaki takut untuk berdampingan dengan ayah dan lebih selesa berinteraksi bersama ibunya.
ADAKAH ANDA ANAK EMAK?
Ya jika anda:
- Berhubungan dengan ibu lebih rapat berbanding bapa.
- Lebih selesa menceritakan segala hal peribadi dengan ibu.
- Bergantung sepenuhnya kepada ibu dari segi membuat keputusan dan perancangan.
- Mempunyai emosi yang lebih sensitif jika ada isu berkaitan dengan ibu.
DILEMA ‘ANAK EMAK’
- Dilema Tingkahlaku:Anak emak setengahnya lebih pasif dalam tingkahlaku serta perhubungan sosial. ‘Anak emak’ akan merujuk kepada ibunya untuk apa jua tindak tanduk yang mereka akan lakukan. Mereka ini agak sukar untuk berdikari.
- Dilema Pemikiran: sukar dalam membuat keputusan dan perancangan dengan baik, ini kerana jjika sebelum ini segala perancangan dan tindakan yang diambil adalah bergantung sepenuhnya oleh pengaruh ibu.
- Dilema Emosi Anak Emak:Emosi ‘anak emak’ mudah tersinggung dan sensitif dengan isu-isu yang remeh. Mereka lebih peka kepada emosi ibunya berbanding isterinya sendiri. Emosi dalam menyalurkan kasih sayangnya kepada antara ibu dan isteri.
MASALAH YANG DIHADAPI ANAK EMAK
- Konflik dalam perhubungan: Menurut pandangan Kaunselor Berdaftar , Tuan Hj Hushim bin Hj. Salleh berkata, karakter yang dimiliki oleh ‘anak emak’ adalah positif seperti hubungan rapat dengan ibu, mengambil berat dan bertanggungjawab. Akan tetapi konflik mungkin timbul bagi ‘anak emak’ jika karakter itu terbawa-bawa ke alam rumahtangga.
- Berkongsi kasih:Ianya dapat dilihat apabila suami ‘anak emak’ tidak dapat memberikan kasih sayang yang adil antara ibu dan isterinya, segala hal urusan rumahtangga akan di kongsi bersama ibunya serta takut untuk mengambil keputusan dan tindakan sendirinya.
- Bimbang jatuh hukum derhaka kepada ibu: patuh dan tunduk kepada ibu bapa merupakan satu tuntutan dalam agama manakala keseimbangan kasih sayang dalam perhubungan suami isteri juga adalah sesuatu yang perlu untuk menjamin keharmonian rumah tangga.
SARANAN KEPADA ‘ANAK EMAK’
- Sedar Diri – menyedari dan mengakui bahawa anda ada memiliki perwatakan sebagai ‘anak emak’ dan menerima keadaan tersebut dengan hati yang terbuka.
- Ubah cara hidup – lakukan perubahan keatas persepsi diri dan perwatakan ‘anak emak’ yang dibawa demi kesejahteraan emosi dan tingkahlaku.
- Positif mental dan emosi – sentiasa positif untuk melakukan perubahan agar hidup anda lebih harmoni untuk kedua-dua belah pihak terutamanya dalam perhubungan suami isteri.
- Memahami kepentingan antara dua pangkat ibu & isteri – ibu dan isteri masing-masing mempunyai hak terhadap anak dan suaminya, adalah menjadi tanggungjawab anak/suami untuk berlaku adil terhadap keduanya. Perlu faham keutamaan sepertimana tuntutan agama yang menggariskan bahawa ibu perlu diberi keutamaan. Suami perlu membantu isteri faham hiraki ini dari perspektif agama.
- Perbincangan antara kedua belah pihak – jadikan kebiasaan untuk suami isteri berbincang akan hal rumahtangga bersama-sama dan tidak menyerahkan segala keputusan pada ibu.
- Belajar berdikari dan matang – cubalah untuk berdiri diatas kaki sendiri dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Jangan risau dengan keputusan yang di ambil, jika salah; belajar dari kesilapan tersebut.
JIKA PASANGAN ANDA ANAK EMAK
Perkataan ‘anak emak’ sangat keramat bagi mereka yang belum berkahwin. Kebanyakan wanita ingin mengelak daripada mengenali atau mempunyai hubungan dengan lelaki anak emak. Pelbagai persepsi buruk yang dikeluarkan terhadap lelaki anak emak. Namun jika hati sudah terpaut persedian secara mental dan fizikal sangat penting untuk berdepan dengan lelaki ini. Syurga ‘ isteri ‘ di bawah tapak kaki suaminya. Penting untuk sentiasa menggembirakan si suami dan tidak melawan kata. Dugaan seorang isteri yang bersuamikan anak emak ini sangat besar namun bukannya semua buruk seperti yang digambarkan.
- BELAJAR MENGENALI IBU MERTUA –Sebagai seorang isteri, cuba belajar untuk mengenali siapa ibu mertua. Perhatikan bagaimana sikap ibu mertua anda. Cuba bertanya kepada suami apa yang disukai atau yang dibenci oleh Ibu mertua. Cuba untuk ikut rentak ibu mertua namun sentiasa bersopan ketika bersama ibu mertua. Anggap ibu mertua seperti ibu anda.
- MEMASAK MAKANAN KEGEMARAN – Masakan amat penting untuk menggembirakan suami anda. Belajar cara masakan ibu mertua untuk menarik perhatian suami. Ini kerana suami membesar dengan masakan ibunya jadi tidak salah untuk anda belajar. Suami mungkin akan bertambah sayang kerana anda pandai dan sanggup belajar memasak dengan ibunya.
- MENYATAKAN PERASAAN –Elak untuk berasa cemburu ketika suami memberi tumpuan yang lebih kepada ibunya. Isteri dilarang sama sekali untuk bercakap tentang keburukan ibu mertua di hadapan suami. Ia boleh merosakkan hubungan anda suami isteri dan juga hubungan dengan ibu mertua Beritahu kepada suami apa yang boleh dia lakukan kepada anda iaitu sentiasa menunjukkan kejujuran, keikhlasan dan kasih sayangnya.
- BERSIKAP POSITIF – Apabila anda berfikiran terbuka dan sentiasa positif, ia akan memudahkan semua pihak. Segala yang dilakukan oleh suami dan ibu mertua tidak akan menjadi masalah besar kepada anda. Bersikap positif membantu untuk mengelak berlakunya persengketaan terhadap perkara remeh dan rumah tangga akan sentiasa dipenuhi kasih sayang. Sentiasa berdoa supaya segala masalah dapat dilalui dengan mudah.
- PIKAT HATI MERTUA – Sebagai seorang ibu, mertua mengharapkan menantu untuk menjaga anak lelaki dengan baik sepertimana dia memelihara anaknya. Isteri perlu berusaha untuk mengambil hati mentua walau agak susah. Jika kerap pulang ke kampung, anda dapat menjalikan hubungan yang lebih baik dengan ibu mertua sambil dapat mendekatkannya dengan cucu-cucunya. Suami pasti akan menyayangi anda kerana memahami perasaan dia.
- BERTOLAK ANSUR – Hubungan suami isteri perlu dilengkapkan dengan sikap tolak ansur antara anda dan juga suami. Jika suami ingin pulang ke kampung untuk menjenguk ibunya, anda perlu menuruti kata suami dan cuba memberi mereka peluang untuk meluangkan masa bersama. Sikap ini dapat menyelesaikan pelbagai masalah dan membuat kehidupan anda suami isteri lebih bahagia.
- JANGAN BANDING – Elakkan dari membandingkan emaknya dengan ibu anda. Ini antara pantang paling besar seorang anak emak. Walau ibu anda merupakan yang terbaik, tetapi bagi suami emaknya adalah wanita yang sempurna. Jika anda kerap membandingkan mertua dan ibu anda, ini boleh menyebabkan pergaduhan besar dan mungkin mengakibatkan berlakunya keretakkan rumah tangga.
Sumber: myhealth.gov.my/jelita.com.my