Anak anda menghadapi masalah kencing malam? Apakah reaksi anda? Memarahinya kerana membasahkan tilam setiap hari atau membiarkan gejala itu begitu saja kerana anda rasakan perkara itu akan pulih sendiri. Sebagai ibu bapa, memarahi anak tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya ia akan memberi kesan negatif terhadap perlakuan dan sikap anak pada masa depan. Walaupun kencing malam bukan penyakit, ibu bapa wajar mendapatkan nasihat dan rawatan pakar bagi membantu kanak-kanak itu mengatasi masalah yang dihadapi. Ini kerana masalah kencing malam boleh menyebabkan kanak-kanak mahupun remaja itu berada dalam keadaan serba salah, berasa rendah diri atau hilang keyakinan apabila berdepan dengan masalah yang dia sendiri tidak mahu.
![](https://www.kelabmama.com/cms/articles/gallery/201704283151084.png)
Ada ibu bapa memarahi dan merotan anak mereka yang kerap kencing malam tetapi cara itu sama sekali tidak berkesan. Untuk memastikan kanak-kanak itu tidak lagi kencing malam, perlu ada kerjasama ibu bapa bagi memastikan rawatan berjaya. Mereka juga harus tahu bahawa kencing malam bukan penyakit tetapi hanya masalah yang pada amnya boleh dibendung ataupun hilang apabila kanak-kanak itu semakin meningkat dewasa.
- Kajian ada dilakukan dan mendapati kanak-kanak yang menghadapi masalah kencing malam mengaku berasa malu dan mahu melakukan sesuatu untuk mengatasi atau menghindari masalah itu.
- Kanak-kanak kencing malam didapati menghadapi masalah dari segi tingkah laku dan psikologikal yang merangkumi perasaan rendah diri dan tidak mempunyai keyakinan diri.
SINDROM KENCING MALAM
- Masalah kencing malam atau nama perubatannya Nocturnal Enuresis sering dialami kanak-kanak. Kencing malam dikenali sebagai kencing pada waktu malam ketika tidur tanpa disedari. Kencing pada waktu siang ketika tidur juga dikatakan sebagai kencing malam.
- Kanak-kanak yang berusia lima tahun ke atas dan tiada masalah perubatan lain seperti sistem saraf atau sistem buah pinggang tetapi masih kencing ketika tidur boleh dikategorikan menghadapi masalah itu. Pada kebiasaannya, kanak-kanak berkenaan tidak sedar mereka terkencing kecuali sebaik saja mereka bangun daripada tidur ataupun apabila terjaga malam disebabkan rasa basah atau sejuk.
- Kebanyakan kanak-kanak yang kencing malam apabila ditanya memang tidak menyedari langsung mereka berkeadaan demikian. Kajian juga mendapati kanak-kanak terbabit tidur amat nyenyak dan menghadapi masalah sukar untuk bangun. Ini kerana mengikut kebiasaan apabila cuaca sejuk dan berasa hendak buang air, seseorang itu akan terjaga tetapi kanak-kanak terbabit tiada perasaan seperti itu.
- Apabila sudah berasa basah dan sejuk baru mereka bangun, malah ada yang terus tidur walaupun dalam keadaan tersebut. Ibu bapa juga mengakui sukar untuk mengejutkan kanak-kanak itu.
SEBAB KENCING MALAM
Faktor utama berkait rapat dengan kencing malam iaitu keturunan, kelewatan dalam mencapai tahap kematangan untuk pengawalan pundi kencing dan kurangnya penghasilan hormon antidiuretik (ADH) ketika tidur.
RAWATLAH ANAK YANG KENCING MALAM
- Rawatan umum motivasi antaranya ialah memastikan anak pergi ke tandas pada waktu yang diperlukan termasuk pada siang hari dan malam. Ini kerana ada kanak-kanak yang suka menahan kencing walaupun terjaga pada waktu siang hari memang bermasalah pergi ke tandas mengikut waktu yang ditetapkan.
- Untuk mengubatinya, penghidap masalah ini pada awalnya disarankan mengambil ubat anti kemurungan yang bertujuan mengawal pundi kencing. Penggunaannya memang berkesan dan ia perlu diambil selama beberapa bulan atas nasihat doktor.
- Ibu bapa yang mempunyai anak-anak bermasalah seumpamanya tidak perlu berasa bimbang kerana masalah mereka boleh ditangani dengan merujuk kepada pakar.
PANDUAN MENGATASI MASALAH KENCING MALAM
- Pastikan anak anda membuang air kecil terlebih dahulu sebelum masuk tidur.
- Jika anda membawanya ke bilik air pada waktu malam, pastikan anak dalam keadaan jaga.
- Letak lapisan plastik di tempat tidurnya untuk memudahkan anda. Guna pelapik dan cadar yang mudah dibasuh dan dikeringkan.
- Beri anak anda minum lima hingga tujuh gelas air pada siang hari tetapi elakkan memberi air teh atau kopi sebelum masuk tidur.
- Bawa anak anda berjumpa doktor sekiranya air kencingnya berbau atau ia menghadapi kesukaran untuk membuang air kecil.
Sumber: Pakar Kanak-Kanak Jabatan Paediatrik, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya. Dr. Kanaheswari Yoganathan & Utusan