KelabMama

Kematian Bayi Di Malaysia Disebabkan Oleh Bayi Pra Matang?

Komplikasi Bayi Pra Matang Jadi Punca Utama Kematian Bayi Di Malaysia

Mama mesti tak sabar kan nak menyambut kelahiran anak tatkala mama disahkan mengandung? Kalau Mama Siti dulu, hari-hari doa, “Semoga anak ni membesar dengan sihat…” Lahir pun on time. Bukan bayi pra matang.

Tapi bagaimana pula kalau mama terpaksa bersalin awal? Untuk pastikan kesihatan mama dan bayi terjamin, mama kena lahirkan anak mama lebih awal, iaitu sebelum minggu ke-37. Risaukan?

Kelahiran Pra Matang

Di Malaysia, 12.3% kelahiran merupakan kelahiran pra matang iaitu kelahiran sebelum 37 minggu. Bukan mudah ya untuk ibu bapa menghadapi dugaan yang tidak dijangka ini.

Bayi pra matang kebiasaannya akan dipantau di unit NICU (neo-natal intensive care unit). Dalam unit ini, bayi akan diberikan pemantauan penuh supaya mereka dapat membesar dengan sihat dan kuat. Ada yang perlu tinggal selama bebeapa bulan (bergantung kepada berat badan dan keadaan kesihatan bayi).

Kelahiran pramatang boleh berpunca dari masalah yang dihidapi oleh si ibu mahupun janin itu sendiri.

Penyebab Utama Kematian Bagi Kanak-Kanak Bawah 5 Tahun

Bagi si kecil, lahir saja ke dunia sudah cukup mencabar. Akibat organ tubuh yang belum matang sepenuhnya, bayi terdedah dengan pelbagai komplikasi. Komplikasi bayi pramatang pula antara penyebab utama kematian bagi kanak-kanak yang berusia di bawah umur 5 tahun.

17 November yang lalu merupakan hari khas untuk memperingati bayi yang dilahirkan pra matang. Untuk masyarakat dan keluarga, jom kita sama-sama bagi sokongan moral dan emosi kepada ibu bapa, jangan biarkan mereka stres berterusan.

Faktor Yang Meningkatkan Risiko Kelahiran Bayi Pra Matang

Jika mama merupakan perokok aktif, adalah lebih baik untuk mama berhenti merokok agar tak beri kesan kepada kandungan dari segi perkembangan fizikal mahupun dalamannya (janin).

Keperluan Penjagaan Khas Untuk Bayi Pra Matang

Bayi pra matang lebih ‘lemah’ berbanding bayi yang cukup bulan sebab kebanyakan organ dalaman mereka masih belum bersedia untuk berfungsi dengan sendiri. Bahasa mudahnya, lebih pramatang seseorang bayi, lebih tinggi risiko untuk mereka menghadapi komplikasi.

Bayi pra matang adalah bayi yang dilahirkan sebelum minggu ke-37 kehamilan (kehamilan normal mengambil masa sekitar 40 minggu).

Biasanya setelah mereka dilahirkan, mereka akan ditempatkan di Special Care Nursery (SCN) atau jika keadaan mereka lebih teruk, di unit rawatan intensif (NICU). NICU direka khas untuk memberi persekitaran yang lebih selesa serta selamat disamping menyediakan keperluan asas seperti memastikan suhu tubuh yang normal, pemakanan, dan perlindungan bagi memastikan pertumbuhan dan perkembangannya.

Antara komplikasi awal yang boleh berlaku termasuklah:

1- Sukar mengawal suhu tubuh sendiri 

Disebabkan saiz mereka yang kecil dan kekurangan glikogen/lemak tubuh, kebanyakan bayi pra matang ni mengalami hipotermia (suhu tubuh kurang daripada 36°C).

2- Jangkitan

Sistem pertahanan mereka juga belum cukup matang dan paras immunoglobulin rendah menyebabkan bayi ni berisiko tinggi untuk dijangkiti bakteria /virus di persekitaran mereka.

3- Sistem Saraf Belum Matang

Mama perlu tahu bila mama melahirkan bayi pra matang, sistem saraf si kecil juga masih muda. Ia boleh mengakibatkan peningkatan kadar apnea (keadaan pernafasan yang terhenti seketika) dan nadi perlahan (bradikardia). Kemungkinan berlakunya pendarahan di ventrikal di dalam otak juga meningkat.

Bayi akan diperiksa secara berkala di klinik pediatrik untuk menilai tahap perkembangan, pertumbuhan dan mengemaskini imunisasi mereka.

Amnya, mereka jadi kurang refleks dalam menghisap dan menelan. Jadi macam mana nak susukan mereka? Melalui tiub atau intravena lah jawabnya.

4- Paru-Paru Kurang Matang

Kekurangan surfaktan membuatkan paru-paru bayi pra matang mudah gagal, sukar untuk bernafas dan mungkin memerlukan oksigen atau bantuan alat pernafasan.

5- Sistem kardiovaskular kurang matang

Sistem kardiovaskular kurang matang bakal menyebabkan peningkatan insiden duktus ateriosus yang berulang, dan jika ianya cukup besar, boleh menyebabkan kegagalan jantung.

6- Sistem Gastro Usus Kurang Matang 

Menyebabkan insiden ileus (kurang pergerakan normal usus) yang lebih tinggi dan enterokolitis nekrosis yang memerlukan pembedahan jika keadaannya semakin teruk.

7- Hati Kurang Matang

Jaundis akan berlaku dengan lebih kerap kerana kandungan bilirubin dalam darah meningkat. Bila ini berlaku, hati tak dapat mengeluarkannya daripada badan melalui sistem pencernaan.

Sumber: Public Health Malaysia

BACA JUGA SUNTIKAN CORTICOSTEROIDS? BENARKAH IA BOLEH KURANGKAN RISIKO BAYI PRAMATANG?

Pesan Mama Siti:

Dalam menjaga bayi pra matang ni, mama kena tahu satu perkara, sokongan keluarga SANGAT PENTING! Sebab apa, menjaga seorang bayi pramatang lebih mencabar daripada menjaga bayi yang ‘normal’. Sabar dan jangan patah semangat. Pastikan mama dan papa terus berusaha demi masa depan si kecil.