Makna bahagia bukanlah sentiasa bergelak ketawa namun ianya keadaan perhubungan yang sihat. Perkara-perkara yang sukar akan dikendalikan dengan baik melalui komunikasi.
Bagi mencapai standard keluarga bahagia, ada beberapa tips dalam perhubungan antara Mama, Papa dan anak-anak. Namun sebelum kita pergi lebih jauh, ayuh kita fahami dulu kepentingan sebuah keluarga bahagia.
Kepentingan Keluarga Bahagia
Membina keluarga bahagia penting agar kita dapat mengelakkan konflik dalam keluarga. Bagaimana caranya?
Ketika ada sesuatu yang tidak disenangi sebuah keluarga yang sihat akan duduk berbincang berbanding terus tidak menyapa satu sama lain.
Seterusnya, keluarga bahagia mendorong kepada kesihatan yang sihat secara keseluruhan. Tidak akan ada penderaan fizikal dan mental. Untuk jangka masa panjang, ianya menyumbang kepada kemajuan individu dalam pekerjaan dan pendidikan.
Selain itu, keluarga bahagia penting dalam mengelakkan masalah sosial dalam masyarakat. Sebagai contoh, seorang anak yang diabaikan ayahnya akan mencari sosok lelaki lain. Lebih merisaukan jika lelaki yang dipilih tidak bersikap tidak bermoral.
Akhir sekali, apabila kita hidup dalam keluarga bahagia jenayah juga dapat dielakkan. Ahli keluarga yang bahagia tidak akan mencederakan ahli keluarganya yang lain secara emosi apa lagi fizikal.
Nampak tak Mama, ada banyak kepentingan membina keluarga bahagia kepada diri sendiri dan masyarakat. Sikit demi sikit, kita berusaha memulakan sebuah keluarga bahagia dari sekarang.
12 Tips dan Amalan Untuk Keluarga Bahagia
#1 Raikan Hari Istimewa
Salah satu hari penting yang boleh kita sambut ialah hari lahir. Mulakan sejak dari Mama dan Papa mula berkahwin lagi dan sebelum ada anak.
Lama-kelamaan ianya menjadi tradisi dalam keluarga kecil Mama. sambutan hari lahir sebenarnya tidak harus dibuat secara besar-besaran. Sepotong kek bersama-sama ucapan hari lahir pun sudah memadai.
#2 Kurangkan Gajet, Banyakkan Masa dengan Keluarga
Manusia ialah makhluk sosial yang perlukan perhatian dan interaksi dua hala. Ketika bersama-sama ahli keluarga, letak sebentar telefon pintar dan fokuslah mendengar cerita dan melayani kerenah ahli keluarga.
#3 Cipta Memori Bermakna
Ciptakan saat-saat indah yang akan sentiasa diingati di masa depan. Ketika berdua, kita ajak pasangan berbulan madu manakala ketika sudah beranak-pinak, kita bercuti pula ke tempat-tempat menarik di Malaysia.
Memori bersama keluarga membentuk perasaan positif dan lama-kelamaan si anak akan membesar dengan mental yang sihat.
#4 Pinjamkan Telinga Mu
Suami ialah lelaki paling dipercayai isteri. Ibu dan bapa pula ialah individu yang paling dipercayai anak-anak.
Dari kecil, layanilah setiap keluhan anak-anak walaupun ianya nampak remeh dimata kita. Nanti, mereka akan selesa untuk meluahkan perasaannya kepada ahli keluarganya.
#5 Sentiasa Ada
Yang tidak akan putus hubungan di dunia dan diakhirat ialah keluarga. Sewaktu hidup kita perlukan sokongan, nasihat dan motivasi dari ahli keluarga.
Ketika mati, doa dari ahli keluarga lah yang akan membantu kita di alam barzakh. Seorang anak mendoakan ibu bapa dan begitulah sebaliknya.
#6 Bertolak-ansur
Sentiasalah berbincang dengan suami, isteri dan anak-anak. Keluarga jadi lebih harmoni apabila ada sikap bertolak-ansur dalam hal-hal di dalam rumah tangga.
Selalunya sikap tolak-ansur dituntut ketika ada kes kecemasan dalam keluarga. Contohnya, percutian terpaksa ditangguh kerana ada ahli keluarga yang jatuh sakit.
#7 Manusia Tak Sempurna
Mama dan Papa serta anak-anak juga seorang manusia. Tiada yang sempurna dalam diri kita semua bahkan tidak ada satu pun keluarga yang sempurna di dunia ini.
Jika ada ahli keluarga yang berbuat salah, bawalah berbincang dan elakkan perbalahan. Komunikasi sangat penting ketika menghadapi situasi sukar.
#8 “Maafkan Kami”
Yang sebenarnya, tidak ada satu pun dari kita yang tidak berbuat salah dalam satu hari. Oleh itu, agama selalu menasihatkan agar sentiasa membuka hati untuk memaafkan mana-mana ahli keluarga yang tersilap langkah.
Maafkan ahli keluarga tapi lihat juga jenis kesalahannya. Kalau kesalahan itu berkaitan penderaan, Mama Siti cadangkan agar Mama mendahulukan diri sendiri.
Kita masih boleh memaafkan seseorang walaupun sudah tidak tinggal sebumbung lagi.
#9 Menghormati Satu Sama Lain
Setiap hubungan yang dibina harus didasari dengan rasa hormat dan itu termasuklah sesama ahli keluarga.
Frasa ‘syurga bawah telapak kaki’ bukanlah bermakna kita boleh bertindak sambalewa. Papa harus sentiasa menghormati isteri manakala Mama juga hendaklah menghormati anak-anak.
#10 Ingat Tuhan!
Mama Siti percaya setiap agama ada nasihatnya tersendiri tentang ahli keluarga. Dengan mengingati tuhan, kita ada pegangan hidup berkeluarga.
Kita sentiasa meminta tuhan untuk saling menjaga ahli keluarga dan tidak berbuat sesuka hati sahaja.
#11 Kitab Suci Didengar dan Diamalkan
Tetaplah waktu khas untuk membacakan ilmu dari kita suci agama masing-masing. Ia boleh dibacakan sendiri ataupun melalui tontonan televisyen.
Bagi umat Islam, Mama Siti cadangkan untuk membaca al-quran bersama-sama selepas solat. Pahala kita dapat, hubungan pun jadi erat.
#12 Jaga Solat
Ketua keluarga bertanggungjawab memastikan isteri dan anak-anaknya mendirikan solat lima waktu sehari semalam dan tepat waktu.
Seterusnya, amalkan juga solat secara berjemaah sekurang-kurangnya sekali seminggu di rumah. Insya allah, rumah tangga lebih makmur.
Apabila kita sedar keluarga bahagia itu ialah tentang hubungan yang sihat, kita akan positif dalam menangani cabaran dalam keluarga.
Harap-harap tips yang Mama Siti kongsikan dapat dimanfaatkan sebaiknya. Mama Siti juga doakan agar Mama dan Papa sekeluarga sentiasa diberikan kekuatan dalam membina keluarga bahagia.
Dapatkan lebih banyak tips rumahtangga dan keibubapaan di SINI!