Secara umumnya, semua umat Islam di seluruh dunia mengetahui bahawa Surah Yasin mempunyai keberkatan dan ganjaran yang tinggi merangkumi dunia dan akhirat. Kelebihan Surah Yasin ini juga memberi banyak kebaikannya bukan sahaja pada rohani tetapi juga pada jasmani manusia.
Dalam Surah Yassin, terdapat sebanyak 83 ayat dan ayat-ayat ini pula dibahagikan kepada tiga tema iaitu berkait dengan tauhid, risalah rasul serta hari kiamat.
Anda akan faham dengan jelas mengenai ketiga-tiga tema ini sekiranya sering mengamalkan surah yang merupakan jantung Al-Quran ini.
Di bawah merupakan beberapa keutamaan atau fadhilat Surah Yasin kepada rohani dan jasmani bagi anda yang istiqamah dalam membaca dan menghafalnya.
Senarai Kelebihan Surah Yasin Ikut Dalil
Berikut merupakan kelebihan Surah Yasin iaitu:
#1. Diberi Pengampunan
Kelebihan yang paling ketara ketika anda membaca Surah Yasin adalah Allah akan memberi keampunan kepada dosa-dosa yang dilakukan sepertimana sabda Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:
“Sesiapa yang membaca Surah Yasin pada malam hari kerana mengharapkan keredhaan Allah, Allah akan mengampuninya.”
(Ibnu Hibban, Darimi 3283/A, Abu Yala, Tabarani, Baihaqi & Mardawaih)
#2. Setiap Keperluan Dunia Akan Dipenuhi
Kelebihan Surah Yasin seterusnya adalah, Allah akan memenuhi keperluan duniawi anda. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:
“Barangsiapa yang membaca Surah Yasin pada permulaan hari, maka akan dipenuhi segala keperluannya pada hari itu.”
#3. Memberi Syafaat Selepas Kematian
Malah, apabila kita meninggal kelak, surah ini akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sepertimana sabda Nabi Muhammad S.A.W. iaitu:
Dari sahabat Abu Umamah Al-Bahili r.a., aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
“Bacalah oleh kamu Al-Quran. Kerana ia (Al-Quran) akan datang pada hari kiamat kelak sebagai pemberi syafaat bagi orang yang tekun membacanya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
#4. Kelebihan Surah Yasin Akan Dijauhi Dari Azab Kubur
“Barangsiapa yang menziarahi kubur seseorang dan membaca Surah Yasin, pada hari itu Allah SWT meringankan siksa kubur mereka dan memberi kebaikan kepada sejumlah penduduk kubur yang ada di tanah perkuburan.”
(Tafsir Nur ats-tsagalain 4/373)
#5. Segala Kesusahan Diringankan Bebannya
Diriwayatkan juga dari sebahagian ulama bahawa dengan membaca Surah Yasin ia dapat meringankan segala kesusahan yang anda alami, sepertimana yang telah disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya.
#6. Dianggap Sebagai Mati Syahid
“Barang siapa yang membiasakan membaca Yasin setiap malam maka tanpa terduga dia menemui ajalnya, maka matinya dalam keadaan syahid.”
(Hadis Riwayat At- thobroni, dari pernyataan Anas bin malik)
#7. Ganjaran Pahala Seperti Membaca Al-Qur’an Sebanyak 10 kali
Dari Anas diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:
“Sesungguhnya setiap sesuatu memiliki hati, dan hatinya Al-Quran adalah Surah Yasin, barangsiapa membaca Surah Yasin, maka Allah akan mencatat baginya (pahala) seperti membaca seluruh Al-Quran sepuluh kali atas bacaannya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi No. 2812)
#8. Kelebihan Surah Yasin Bantu Buat Hati Menjadi Lebih Tenang
Antara kelebihan membaca Surah Yasin pada setiap hari adalah ia akan membawa ketenangan di hati dan jiwa anda.
#9. Jadikan Perkahwinan Lebih Kukuh
Setiap rumah tangga ada pasang surutnya, jadi dengan mengamalkan bacaan Yasin ini segala masalah yang melanda dapat diatasi dengan mudah dan tidak berpanjangan.
#10. Fadilat Surah Yassin Peroleh Bahagia Dunia dan Akhirat
Antara fadilat surah yassin juga adalah anda akan peroleh kebahagian di dunia dan juga akhirat.
Yahya bin Abi Kathir berkata bahawa membaca Surah Yasin ketika bangun tidur akan kekal bahagia hingga ke hari kiamat dan orang yang membacanya di malam hari akan kekal bahagia hingga ke pagi.
#11. Fadhilat Surah Yasin iaitu Mendapat Kemudahan dan Kelapangan Waktu
Malah, fadhilat Surah Yasin seterusnya adalah anda akan diberi kemudahan dan kelapangan waktu.
Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa jika seseorang membaca Surah Yasin ketika dia bangun di pagi hari akan diberi kemudahan siang hingga malam. Dan barangsiapa yang membaca Surah Yasin pada awal malam, akan mendapat malam yang lapang hingga pagi.
(Lihat Musnad Al Darimi 3462)
Berdasarkan kelebihan Surah Yasin di atas, alangkah ruginya kita sebagai umat Islam tidak mengambil peluang dan ganjaran yang telah Allah janjikan dengan mengamalkan Surah Yasin ini.
Oleh itu, mulai saat ini marilah kita bersama-sama membaca Surah Yasin yang banyak manfaatnya ini. Selamat beramal!
Dapatkan juga pelbagai lagi tips, info dan panduan ibadah menarik yang lain di SINI!