KelabMama

10 Kelebihan Surah Al-Mulk Supaya Dapat ‘Lesen’ di Alam Kubur

Alang-alang drama Projek High Council sedang hangat mendapat sambutan, Mama Siti teringat pula kisah hidup di asrama. 

Sebelum waktu light off, kami semua perlu bersiap sedia di ruang tengah bilik asrama dan baca al-Mulk bersama-sama. Ternyata surah ini menyediakan sangat banyak kelebihan kepada orang yang mengamalkannya. 

Ada Apa Dengan Surah Al-Mulk?  

Surah al-Mulk ialah pencegah, penjaga, penyelamat dan pemberi syafaat. Surah yang banyak memberi kebaikan pada kehidupan selepas mati. 

Selepas nyawa terpisah dari jasad, bacaan al-Quran lah yang boleh kita harapkan untuk urusan kita di akhirat nanti. Itu termasuklah surah al-Mulk yang memiliki 10 kelebihan kepada individu yang membacanya. 

10 Kelebihan Surah al-Mulk Di Dunia dan Di Akhirat

#1 Pelindung dalam Kubur

Kredit gambar: Selangorkini

Surah al-Mulk yang kita baca semasa didunia ini, nanti akan datang dan membantu proses soal jawab dengan malaikat di dalam kubur.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya di dalam al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah al-Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.”

(Hadis riwayat At-Tabrani)

#2 Jalan ke Syurga

Kredit gambar: The Review Of Religions

Sesungguhnya kita tak pernah tahu amalan manakah yang membawa ke syurga. Boleh jadi, rutin membaca surah al-Mulk salah satu daripadanya.  

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Maksudnya: “Dikatakan kepada pembaca al-Quran: Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membacanya di dunia. Sesungguhnya tempat kamu (di Syurga) ialah pada ayat terakhir yang kamu bacakannya”.

(Hadis riwayat Abu Daud)

#3 Syafaat di Akhirat

Berdasarkan artikel dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, orang-orang yang membaca al-Quran bakal mendapat keistimewaan dari Allah SWT untuk melepaskan diri dari kesusahan atau kesengsaraan di akhirat. 

Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”. 

(Hadis riwayat Muslim)

#4 Menghidupkan Sunnah

Kredit gambar: NU Online

Ibarat mensasarkan tujuan dengan serampang dua mata. Selain mendapat kelebihan membaca al-Quran, Mama juga mendapat faedah tambahan kerana mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Daripada Jabir beliau berkata:

أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ لاَ يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ الم تَنْزِيلُ وَ تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ

“Sesungguhnya Nabi SAW tidak tidur hingga beliau membaca surah تَنزِيلُ الٓمٓ (Surah al-Sajdah) dan تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ (Surah al-Mulk)

(Hadis Riwayat Tirmizi)

#5 Pembela Si Mati

Apa lagi yang boleh kita harapkan ketika ajal sudah sampai. Di kubur dan alam akhirat, hanya amalan di dunia sahaja lah yang dapat membantu meringankan dosa dan memberatkan pahala. 

Sabda Nabi SAW:

سُوْرَةٌ مِنَ اْلقُرْآنِ، مَا هِيَ إِلاَّ ثَلاَثُوْنَ آيةً، خَاصَمَتْ عَنْ صَاحِبِهَا حَتَّى أَدْخَلَتْهُ اْلجَنَّةَ، وَ هِيَ تَبَارَكَ

“Ada surah dari al-Quran, ia tidak terdiri kecuali hanya 30 ayat. Surah tersebut dapat membela pemiliknya (orang yang banyak membacanya) sehingga memasukkannya ke syurga iaitu, surah تَبَارَكَ.

(Hadis Riwayat Thabrani)

#6 Dilindungi Malaikat Ketika Tidur

Kredit gambar: Freepik

Abdullah Ibnu Abbas menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Aku telah menemukan di dalam al-Quran sebuah surah tiga puluh ayat, barangsiapa membacanya sebelum tidur; tiga puluh perbuatan baik ditulis untuknya, tiga puluh kesalahan dihilangkan sehingga tiga puluh darjah. Allah SWT menghantar malaikat untuk melebarkan sayapnya ke atasnya dan melindungi dia dari segala-galanya sehingga dia bangun.“

#7 Diampunkan Dosa

Kredit gambar: Moments With The Book

Bukan hak Mama Siti bertanyakan tentang ibadah Mama semua. Tetapi Mama Siti suka untuk menyeru agar kita semua berusaha meminta ampun kepada Allah sekerap yang mungkin. 

Tujuannya tak lain dan tak bukan supaya kita semua mendapat tempat tinggal terbaik di akhirat iaitu Syurga. 

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

سُوْرَةٌ مِنَ اْلقُرْأن، ثَلَاثُوْنَ اَيَةً؛ تَشْفَعُ لِصَاحِبِهَا حَتَّى يُغْفَرَ لَهُ: تَبَارَكَ الَّذِيْ بِيَدِهِ اْلمُلْكُ

“Ada surah dari Al-Qur’an yang terdiri dari 30 ayat. Surah tersebut dapat memberikan syafaat bagi pemiliknya (orang yang banyak membacanya) sehingga ia diampuni dosanya, iaitu surah تَبَارَكَ الَّذِيْ بِيَدِهِ اْلمُلْكُ 

(Hadis Riwayat Abu Daud)

#8 Meningkatkan Keimanan

Kredit gambar: rawpixel

Ayat kedua surah ini mengajak kita supaya berfikir tentang amalan ketika hidup dan kematian. Ambillah masa sebentar untuk mentadabbur perkataan ‘siapakah’ dalam surah al-Mulk. . 

Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk, ayat 2;

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya:

“Dialah (Allah SWT) yang telah menciptakan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.”

#9 Dikeluarkan dari Neraka

Kredit gambar: iStock

Rasulullah SAW bersabda:

“Ada surah di dalam kitab Allah itu hanya tiga puluh ayat yang memberi syafaat kepada seseorang pada hari pengadilan sehingga dia dikeluarkan dari api dan masuk ke dalam syurga; itu adalah rahmat dari sebuah surah.”

(Hadis riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

#10 Terlindung dari Siksa Kubur

Sabda Nabi SAW:

مَنْ قَرَأَ تَبَارَكَ الذِّيْ بِيَدِهِ المُلْكُ كُلَّ لَيْلَةٍ مَنَعَهُ اللهُ بِهَا مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَكُنَّا فِيْ عَهْدِ رَسُوْلِ الله صلى الله عليه و سلم نُسَمِّيْهَا اْلمَانِعَةَ وَإِنَّهاَ فِيْ كِتَابِ اللهُ سُوْرَةٌ مَنْ قَرَأَ بِهَا فِيْ كُلِّ لَيْلَةٍ فَقَدْ أَكْثَرَ وَأَطَابَ

Barangsiapa membaca surah تَبَارَكَ الذِّيْ بِيَدِهِ المُلْكُ setiap malam, maka Allah menghalangnya, sebab surah tersebut, dari seksa kubur, dan dahulu kami di zaman Rasulullah Saw. menamainya dengan Al-Mani’ah (penghalang). Sungguh surah tersebut bahagian dari kitabullah, barangsiapa membacanya setiap malam, maka ia telah banyak berbuat kebaikan.” 

(Hadis Riwayat Nasa’i)

Kredit gambar: Learn Quran Online

Mama Siti mula didedahkan dengan surah al-Mulk semasa di sekolah menengah. Kehidupan di sekolah berasrama penuh sangat banyak mengajar Mama tentang rutin kerohanian. 

Kerana cinta dan kasih sayang sesama kita, jom Mama kita mula baca al-Mulk malam ini. Kita mulakan dengan sekali seminggu, kemudian setiap tiga hari hinggalah satu kali setiap hari. 


Dapatkan lebih banyak tips, cerita dan panduan keagamaan di SINI.