Bila kita mencari apakah kelebihan solat berjemaah, kita jadi lebih bermotivasi untuk selalu solat berjemaah.
Tak kira sama ada kita menjadi imam ataupun makmum, kedua-duanya mendapat kelebihan yang sama.
Jom, kita ketahui apakah 10 kelebihan solat berjemaah bagi umat Islam.
#1 Hidupkan Sunah
Menurut sabda baginda Nabi Muhammad SAW;
“Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Dari hadis ini, sedarlah kita bahawa tuntutan menunaikan solat secara berjemaah itu sangat penting kepada umat Islam.
#2 Hidangan Istimewa Di Syurga
Rasulullah SAW pernah bersabda;
“Sesiapa yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik.”
Bagi orang yang solat berjemaah di masjid, dia akan diberikan makanan dari syurga. Bayangkanlah kita mendapat rezeki iaitu makanan yang diperoleh hanya kerana solat berjemaah.
#3 Diampunkan Dosa
Allah akan ampunkan dosa orang-orang yang solat berjemaah tidak kira tempat mereka melakukannya.
Selain melazimi istighfar setiap hari, amalan solat berjemaah pun salah satu cara kita menghapuskan dosa-dosa kecil.
#4 Cahaya Di Hari Kiamat
Kelebihan solat berjemaah yang seterusnya ini tidak akan diterima semasa kita masih hidup. Kita hanya dapat menikmati cahaya dihari kiamat apabila berada di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah SAW:
“Hendaklah bergembira orang-orang yang berjalan kaki dalam gelap menuju ke masjid mereka akan mendapat cahaya cukup sempurna pada hari Kiamat.”
#5 Eratkan Perkahwinan & Kekeluargaan
Sesiapa yang inginkan hubungan perkahwinan yang berpanjangan hendaklah memastikan rutin solat berjemaah bersama-sama pasangan dan anak-anak menjadi kebiasaan di rumah.
Tambahan pula, ia juga dapat memperbaiki hubungan kekeluargaan agar menjadi lebih baik dan semakin erat.
#6 Terlepas Siksa Api Neraka & Sifat Munafik
Rasulullah SAW juga ada menegaskan bahawa orang yang solat berjemaah akan mendapat dua pelepasan.
Pertama, pelepasan dari neraka. Kedua, pelepasan orang munafik. Namun begitu, kelebihan ini hanya dikurniakan kepada mereka yang solat berjemaah dari takbir pertama hingga akhir solat selama 40 hari.
#7 Ditinggikan Darjat
Dari Rasulullah SAW, baginda bersabda;
“Tidakkah aku tunjukkan kamu sesuatu yang Allah menghapuskan dosa dan mengangkat darjat? Para sahabat menjawab,
‘Ya, wahai Rasulullah’, sabda Baginda: ‘Banyak langkah ke masjid dan menunggu satu solat selepas satu solat. Itu adalah ikatan’.”
Kumpulan manusia yang sering solat berjemaah akan dihormati sama ada di dunia atau diakhirat.
#8 Perlindungan Hari Kiamat
Beruntunglah orang yang solat berjemaah kerana mereka tergolong dalam salah satu dari tujuh kumpulan manusia yang mendapat perlindungan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan dari Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali dari-Nya, iaitu imam yang adil, pemuda yang hidup di dalam beribadah kepada Allah, seorang yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, berhimpun kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan jelita (untuk melakukan maksiat) lalu dia berkata:
‘Aku takutkan Allah’, seorang yang bersedekah secara senyap-senyap sehingga tidak diketahui tangan kirinya apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya dan seorang yang mengingati Allah bersendirian sehingga berlinangan air kedua matanya.”
#9 Pahala 27 Kali Ganda
Umum mengetahui bahawa orang yang solat berjemaah akan diberikan 27 kali ganda pahala berbanding jika dia solat bersendirian.
Seperti dalil dari Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Solat berjemaah 27 kali lebih banyak pahala daripada solat secara individu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
#10 Kelebihan Tambahan
Bahkan orang yang duduk dan menunggu untuk solat berjemaah pun dikurniakan kelebihan di sisi agama. Maka, beruntunglah orang-orang yang datang awal ke masjid dan surau atau di rumah masing-masing.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Seseorang hamba Allah itu dikira dalam solat selama dia berada di tempat solatnya kerana menunggu solat dan berkata malaikat: ‘Ya Allah, ampuni dosanya dan rahmatilah dia sehingga dia beredar atau dia berhadas’.”
Mengambil tahu tentang kelebihan solat berjemaah boleh menaikkan semangat kita supaya lebih rajin solat secara berjemaah.
Sedarlah, bahawasanya amalan kita untuk solat berjemaah itu tidak sia-sia. Bahkan Allah akan mengurniakan 10 kelebihan kepada mereka.
Untuk lebih banyak tips amalan dan doa klik SINI.