KelabMama

Amalkan Selalu. 10 Kelebihan Selawat Dalam Hidup Insan

Mama Siti yakin, Mama Papa di luar sana mesti tau tentang kelebihan selawat secara ringkas. Manakan tidak! Mama Siti masih terngiang-ngiang lagi dendangan selawat dari ibu ayah kita, dan sekarang kita meneruskan amalan itu pada anak-anak kita.

Tapi apa sebenarnya selawat ni? Kalau Mama Papa nak tahu, selawat adalah antara amalan yang paling mulia dan amat besar ganjaran yang akan dibalas kepada seorang muslim.

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)

Berikut adalah ayat pensyariatan selawat. Perasan tak satu perkara, bagi amal ibadat atau sebarang seruan lain, ayatnya bermula dengan panggilan kepada golongan yang ingin diseru seperti “Hai orang beriman! Hai orang islam!”.

Tetapi dalam pensyariatan selawat, ayat ini dimulakan dengan pernyataan bahawa ALLAH S.W.T berselawat untuk Nabi Muhammad S.A.W.

Begitulah kemuliaan amalan selawat. Amalan sehebat ini pasti mempunyai beribu kelebihan! Kalau Mama Papa nak tau kelebihan-kelebihan selawat baca sampai habis!

10 Kelebihan Selawat Yang Mama Papa Wajib Tahu!

1. Diampunkan dosa dan diangkat darjatnya oleh Allah

Sesiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW akan diberikan 10 rahmat, diampunkan 10 dosa, dan diangkat darjat sebanyak 10 darjat.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat (melimpahkan rahmat) kepadanya sepuluh selawat, menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat darjatnya sepuluh darjat.”

(Hadis Riwayat Al-Nasa’i)

2. Dimakbulkan segala doa

Seorang yang mengamalkan selawat akan mudah termakbul doa, atau seperti yang selalu disebut dalam masyarakt Melayu “Mulut Masin”.

Ali bin Abu Talib RA berkata maksudnya:

“Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.”

Ini dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah SAW dengan sabdanya:

كُلُّ دُعَاءٍ مَحْجُوبٌ حَتَّى يُصَلِّيَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Semua permohonan doa akan dihijab (terhalang) sehinggalah dibacakan selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad SAW.”

(Hadis Riwayat Al-Tabrani)

3. Paling dekat dengan Rasulullah pada hari kiamat

Sudah pasti kita umat Nabi Muhammad SAW teringin sangat ingin berjumpa dengan kekasih kita Rasulullah SAW. Setiap muslim mempunyai impian untuk bertemu dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda:

أولى النَّاس بي يوم القيامة أكثرُهم عليَّ صلاةً

Maksudnya: “Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.”

(Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

4. Diberikan kecukupan hidup oleh Allah

Apabila kita merasakan hidup serba kekurangan dan banyak perkara yang dirancang tidak berjalan dengan lancar sehingga menyukarkan kehidupan, maka berselawatlah dengan meletakkan pengharapan semata-mata kerana Allah SWT.

Ini bertepatan dengan saranan Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ubai.

Rasulullah SAW bersabda:

إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ، وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ

Maksudnya: “Jika demikian, Allah akan mencukupkan segala keperluanmu dan mengampunkan dosamu.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

5. Allah membalas selawat hamba Nya

Daripada Abdullah bin al-‘Ash r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali.”

Hadis riwayat Muslim (1530), an-Nasa’i (1295) dan at-Tirmizi (485)

Allah berselawat di dalam hadis diatas ditakrifkan kepada meningati dan dirahmati. Dan apabila ALLAH SWT merahmati seorang hamba, maka berduyun-duyunlah para malaikat yang mendoakan hamba tersebut. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk dirahmati ALLAH dengan dosa-dosa kita yang terlampau banyak.

6. Mendapat syafaat Rasulullah di akhirat kelak

Di hari yang tiada pertolongan melainkan pertolongan Rasulullah SAW, selawat adalah amalan yang pasti membantu kita.

Daripada Sayyidina Abu Ad-Darda’ RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berselawat ke atasku ppada waktu pagi sebanyak 10 kali dan pada waktu petang sebanyak 10 kali, dia akan mendaapt syafaatku pada hari kiamat.”

(Hadis Riwayat Ath-Thabrani)

7. Rasulullah membalas ucapan salam

Sesetengah selawat mengandungi juga ucapan salam kepada baginda. Maka ucapkanlah salam kepada baginda Rasulullah SAW seperti rutin kita mengucapkan selamat pagi dan selamat malam kepada anak-anak kita.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku), melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.”

(Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad, Riyadus Solihin)

8. Diberikan 10 kali pahala

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, nescaya Allah berselawat kepadanya sepuluh selawat, menghapus darinya sepuluh dosa dan mengangkat darjatnya sepuluh darjat.”

(Hadis Riwayat An-Nasa’i)

9. Memudahkan diri ke syurga

Kita adalah umat yang paling beruntung kerana dapat menjadi umat Rasulullah SAW. Dengan kelebihan-kelebihan selawat yang telah disebut, sudah pasti sekiranya diamalkan, lebih mudah untuk seseorang memasuki syurga dan selamat dari neraka.

Daripada Ali bin Abu Talib RA, Nabi SAW bersabda:

“Orang yang bakhil (kedekut) ialah orang yang mendengar namaku disebut tetapi tidak berselawat ke atasku.”

(Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

10. Hilang rasa risau dan dukacita

Terdapat sebuah kisah dari Ubai bin Ka’ab, RA katanya:

“Ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?” Baginda SAW, menjawab: “Sekadar mana yang engkau suka”; Aku berkata: “Aku hendak untukkan sesuku dari masaku”; Baginda SAW, bersabda: “Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku” Baginda SAW bersabda: “Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”; Aku berkata: “Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masaku” Baginda SAW, bersabda: “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan”; Baginda SAW, bersabda: “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu”

(Hadis Riwayat Tirmizi, Imam Ahmad, dan Hakim)

Berselawat mampu untuk menyembuhkan perasaan sedih di hati dan menghilangkan duka cita yang melanda diri. Perbanyakkan berselawat membuatkan perasaan sedih dan duka cita tidak menjadi berat.

Tiga Amalan Selawat Harian

#1 Selawat Tafrijiyah

Kredit gambar: Kaedah Haraki

#2 Selawat Nuril Mubin

Kredit gambar: Izdeen

#3 Selawat Ibrahimiyah

Kredit gambar: YouTube- FathRandomsy

Untuk lebih banyak panduan amalan dan doa, klik SINI.