Adakah anda merupakan seorang pemberi atau penerima sedekah? Ketahuilah, terdapat banyak kelebihan sedekah sekiranya anda selalu memberi sedekah yang tak terhitung nilai ganjarannya.
Sepertimana dalil dari hadis kelebihan sedekah yang sahih ini iaitu Abu Hurairah r.a. yang meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
“Setiap hari dua malaikat turun dari langit dan salah seorang dari mereka berkata, “Ya Allah! Gantikan (harta) setiap orang yang membelanjakan dalam jalan-Mu.” dan yang lain (malaikat) berkata, “Ya Allah! Hancurkan setiap yang menahan (hartanya) dari sedekah.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Firman Allah SWT:
إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya:
“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Baqarah: 271)
Firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُصَّدِّقِينَ وَالْمُصَّدِّقَاتِ وَأَقْرَضُوا اللَّهَ قَرْضاً حَسَناً يُضَاعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌ كَرِيمٌ
Maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”
(Surah al-Hadid: 18)
Kelebihan Sedekah Mengikut Dalil Al-Quran dan Hadis
Terdapat banyak kelebihan sedekah yang akan anda peroleh, antaranya adalah:
#1. Kelebihan Sedekah Iaitu Dimasukkan ke Dalam Syurga
Berdasarkan hadis sahih di bawah, dapat diterangkan dengan jelas bahawa orang yang suka bersedekah akan dimasukkan ke dalam syurga dalam keadaan yang nyaman dan tenang. Abdullah bin ‘Amr meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“(Kamu semua) sembahlah Ar-Rahman, berikanlah makan kepada orang lain, sebarkanlah (salam) Salam, maka kamu akan memasuki syurga dengan aman.”
#2. Kelebihan Sedekah Dapat Menambahkan Rezeki
Malah, melalui amalan sedekah ini juga, Allah S.W.T. akan menambah rezeki-rezeki yang lain setelah anda bersedekah dan tidak akan sesekali membuat anda jatuh miskin.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Setiap hari dua malaikat turun dari langit dan salah seorang dari mereka berkata, “Ya Allah! Gantikan (harta) setiap orang yang membelanjakan dalam jalan-Mu.” dan yang lain (malaikat) berkata, “Ya Allah! Hancurkan setiap yang menahan (hartanya) dari sedekah.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
#3. Kelebihan Sedekah Dapat Jauhkan Diri Dari Perkara Mungkar
Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Berhati-hatilah daripada melakukan kezaliman, kerana kezaliman adalah kegelapan pada Hari Kiamat, dan berjaga-jaga kamu dari sifat kedekut kerana ia telah menghancurkan orang-orang yang sebelum kamu, ia menghasut mereka untuk menumpahkan darah dan menghalalkan apa yang haram untuk mereka.”
(Hadis Riwayat Muslim)
#4. Merupakan Amalan Sunnah Yang Dituntut
Sedekah merupakan amalan mulia yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. berdasarkan hadis ini iaitu Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, seorang lelaki datang kepada Rasulullah S.A.W. dan bertanya:
“Ya Rasulullah! Apakah amalan yang terbaik?” Baginda menjawab, “Sedekah dalam kesihatan, keberatan kerana takutkan kemiskinan dan mengharapkan kekayaan. Janganlah menunda-nunda sampai saat mendekati kematian dan kemudian mengatakan, “Berikan itu kepada si fulan itu, dan itu kepada si fulan.” Dan itu sudah menjadi milik seperti itu (seperti sudah terlambat).”
(Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
#5. Amalan Yang Sangat Disukai Oleh Allah S.W.T.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
“Kedermawanan dekat dengan Allah SWT, dekat dengan Syurga, dekat dengan manusia dan jauh dari api neraka. Kikir itu jauh dari Allah SWT, jauh dari syurga, jauh dari manusia dan dekat dengan api neraka. Seorang yang dermawan tetapi jahil, lebih disayangi oleh Allah SWT daripada seorang ahli ibadat yang kikir.”
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
#6. Kelebihan Sedekah Mendapat Naungan Allah Pada Hari Kiamat
“Sesiapa yang berinfak (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang banyak melakukan solat maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari – 1897 dan Muslim – 1705)
#7. Kelebihan Sedekah Dapat Menghapuskan Dosa
Bukan sahaja mengajar diri agar lebih bersyukur, sedekah juga dapat membantu menghapuskan dosa-dosa seperti yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam sabdanya iaitu:
“Sedekah itu dapat menghapus dosa sebagaimana air itu memadamkan api.”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
#8. Amalan Sedekah Dapat Gandakan Pahala
Antara kelebihan sedekah juga adalah ia dapat memanjangkan pahala walaupun kita telah meninggal dunia selagi mana sedekah itu dapat mendatangkan manfaat kepada orang lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261:
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya:
“Perumpamaan orang-orang yang mendermakan (sedekah) harta bendanya di jalan Allah, seperti (orang yang menanam) sebutir biji yang menumbuhkan tujuh untai dan tiap-tiap untai terdapat seratus biji dan Allah melipat gandakan (balasan) kepada orang yang dikehendaki, dan Allah Maha Luas (anugerah Nya) lagi Maha Mengetahui.”
#9. Diberi Kemuliaan Oleh Allah S.W.T.
Kelebihan sedekah ini juga antaranya adalah memperoleh kemuliaan daripada Allah S.W.T. seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W. iaitu:
ما نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِن مالٍ، وما زادَ اللَّهُ عَبْدًا بعَفْوٍ، إلَّا عِزًّا
Maksudnya:
“Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
#10. Terhindar Dari Segala Ancaman Bahaya
Antara fadhilat sedekah seterusnya adalah ia dapat menyelamatkan kita dari segala ancaman bahaya. Rasulullah S.A.W telah bersabda:
“Bersegeralah bersedekah sebab bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.”
(Hadis Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabarani)
#11. Rezeki Semakin Bertambah Banyak
Siapa cakap dengan bersedekah anda akan jatuh miskin dan harta semakin berkurang? Sebenarnya tanggapan ini adalah salah! Sabda Nabi Muhammad S.A.W. bahawa:
“Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah, kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”
#12. Amalan Sedekah Mampu Buat Diri Mendapat Rahmat
Mendamaikan dua saudara yang saling bermusuhan juga merupakan perbuatan yang disukai oleh Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T dalam Surah Hujurat ayat 10 iaitu:
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya:
“Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”
#13. Mendidik Diri Menjadi Seorang Yang Ikhlas
Sifat ikhlas merupakan sifat yang sangat sukar dipupuk. Antara kebaikan bersedekah adalah ia dapat memupuk dan menanam perasaan ikhlas di dalam hati dan secara tak langsung membersihkan segala sifat-sifat mazmumah terutama buruk sangka.
#14. Kelebihan Sedekah Yang Dapat Panjangkan Umur
Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya sedekahnya orang muslim itu dapat menambah umurnya, dapat mencegah kematian yang buruk, Allah akan menghilangkan darinya sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga pada diri sendiri.”
(Hadis Riwayat Thabrani)
#15. Kelebihan Sedekah Sentiasa Mendapat Perlindungan Allah S.W.T.
Antara kebaikan bersedekah juga adalah Allah S.W.T. akan memberi perlindungan sepanjang hidupnya. Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa, dia mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Tidak ada seorang Muslim yang mengenakan pakaian buat seorang Muslim lain dengan pakaian kecuali dia berada di bawah perlindungan Allah selagi ada walau sehelai benang yang tertinggal di atasnya.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidhi)
#16. Kelebihan Sedekah Sentiasa Didoakan Oleh Para Malaikat
Selain itu, melalui hadis kelebihan sedekah yang lain iaitu melalui Abu Hurairah r.a. beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Setiap hari dua malaikat turun dari langit dan salah seorang dari mereka berkata: “Ya Allah! Gantikan (harta) setiap orang yang membelanjakan dalam jalan-Mu.” dan yang lain (malaikat) berkata, “Ya Allah! Hancurkan setiap yang menahan (hartanya) dari sedekah.”
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
#17. Memperkuatkan Lagi Tali Silaturrahim Antara Keluarga
Salman bin ‘Amir r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda bahawa:
“Memberi kepada orang miskin adalah satu amal, dan (memberi) kepada saudara adalah dua amal, bersedekah dan menjalin hubungan kekeluargaan.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah dan Darimi)
#18. Diberi Makan, Minum dan Pakaian Syurga
Abu Sa’id Al-Khudri r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda bahawa:
“Mana-mana orang Muslim yang mengenakan pakaian buat Muslim yang lain yang telanjang, Allah akan memakaikannya dari pakaian hijau syurga. Mana-mana orang Islam yang memberi makan seorang Muslim yang sedang lapar, Allah akan memberinya makan dari buah syurga, dan mana-mana orang Islam yang memberi minuman kepada seorang Muslim yang dahaga, Allah akan memberinya minuman dari Rahiqil Makhtum (minuman syurgawi).”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
#19. Memadamkan Murka Allah S.W.T.
Amalan sedekah ini juga dapat menghilangkan murka Allah S.W.T. serta azab kematian yang mengerikan sepertimana hadis ini iaitu melalui Anas bin Malik r.a. yang meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya sedekah memadamkan kemarahan Tuhan dan melindungi dari kematian yang mengerikan.”
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
#20. Mampu Mendekatkan Diri Kepada Allah S.W.T.
Amalan sedekah juga mampu mendekatkan diri kita dengan Allah hal ini adalah kerana Allah amat menyayangi mereka yang suka menolong di antara satu sama lain.
#21. Kebaikan Sedekah Mampu Memadamkan Panas Kubur
Antara kelebihan bersedekah yang seterusnya adalah ia dapat memadamkan kepanasan di alam kubur sepertimana sabda Rasulullah S.A.W. iaitu:
“Sesungguhnya sedekah itu benar-benar akan dapat memadamkan panasnya alam kubur bagi penghuninya, dan orang mukmin akan bernaung dibawah bayang-bayang sedekahnya.”
(Hadis Riwayat at-Thabrani)
#22. Kebaikan Bersedekah Yang Mampu Hati Menjadi Lebih Tenang
Segala harta yang dibelanjakan untuk sedekah juga akan membuatkan hati kita lebih gembira dan tenang dalam menjalani kehidupan seharian.
Bahkan kegembiraan sewaktu bersedekah itu adalah lebih kekal dan lebih mendamaikan hati berbanding kegembiraan yang lain.
#23. Tingkatkan Pengharapan Hanya Kepada Allah S.W.T.
Malah, melalui amalan sedekah ini juga kita meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah S.W.T untuk melalui hari-hari yang mendatang dan juga untuk segala harta yang kita telah sedekahkan.
Secara tak langsung, ia mampu menghilangkan segala kegusaran hati mengenai rezeki dikemudian hari.
#24. Hubungan Dengan Manusia Lebih Erat
Paling menakjubkan dalam amalan sedekah ini adalah ia dapat merapatkan hubungan serta menghilangkan segala rasa dengki, iri hati serta buruk sangka.
Bukan sahaja dengan orang yang kita sedekahkan tetapi turut meliputi hubungan suami isteri, ibu bapa dan adik beradik.
#25. Kehidupan Menjadi Lebih Mudah
Percaya atau tidak hikmah dalam amalan sedekah ini adalah Allah S.W.T akan aturkan kehidupan secara teratur bahkan lebih dari apa yang kita harapkan.
Satu persatu keajaiban akan berlaku buat anda yang istiqamah dalam amalan mulia ini.
#26. Fadhilat Sedekah Semua Doa Mudah Dimakbulkan
Hikmah terbesar dalam sedekah adalah semua doa-doa yang anda mohon selama ini akan dimakbulkan satu persatu.
Apa yang perlu anda lakukan adalah kekal istiqamah dan yakin serta percaya dengan janji-janji Allah S.W.T. tanpa ada ragu dan tanpa apa-apa yang perlu dipersoalkan.
#27. Jadikan Diri Lebih Bersyukur
Selain berkongsi rezeki, sedekah juga mengajarkan kita agar sentiasa bersyukur dengan segala yang dimiliki walau dalam sekecil-kecil hal sekalipun.
Alangkah ruginya kalau kita tidak jadikan sedekah ini sebagai amalan harian kerana terlalu banyak ganjaran-ganjaran yang telah Allah S.W.T. janjikan sama ada di dunia atau akhirat.
Oleh itu, bersama-samalah kita semua dalam beramal dan kekal istiqamah dengan amalan yang mulia ini. Mama Papa boleh didik anak bersedekah dengan beberapa cara ini.
Kalau tak tahu nak mulakan bersedekah dari mana, apa kata Mama berikan sumbangan kepada salah satu rumah anak yatim yang ada di Malaysia. Tak perlu banyak pun takpe. Banyak tau pahala sedelah pada anak yatim!
Semoga bermanfaat dan sama-sama memperoleh keberkatan Allah SWT.
Dapatkan juga pelbagai tips atau panduan kerohanian yang lain di SINI!