KelabMama

Kelebihan Istighfar: Lafaz Mudah Yang Memberikan Seribu Satu Kebaikan

Antara kelebihan amalan yang kerap kali ditekankan dalam islam ialah kelebihan istighfar. Setiap manusia pasti ada melakukan kesilapan. Dan amalan istighfar adalah salah satu cara untuk menghapus dosa yang tidak pernah berhenti dilakukan.

Istighfar ialah tindakan meminta maaf atau memohon keampunan daripada Allah. Ia merupakan salah satu bahagian yang penting dalam Islam.

Untuk merealisasikan aspirasi setiap muslim mencapai sifat insan kamil, sambil mengamalkan istighfar Mama Papa perlu ajar tentang kelebihan istighfar dan amalannya kepada anak-anak.

Secara umumnya, kebanyakan muslim mesti tahu tentang amalan dan kelebihan istighfar, tapi Mama Siti nak minta Mama Papa stay kejap dan baca dulu.

Ada banyak lagi info lain tentang istighfar Mama Siti nak kongsikan!

10 Kelebihan Istighfar Pada Umat Islam

1. Diampunkan Dosa-Dosanya oleh Allah swt

Kredit gambar: Twitter- Adnin Roslan

Kita semua ialah hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan jauh sekali dari kesempurnaan. Kelemahan diri dalam melawan hawa nafsu menyebabkan kita sering melakukan dosa, kecil atau besar.

Namun janganlah pernah sesekali berputus asa dalam mengharapkan keampunan daripada Allah swt dan teruskan beristighfar.

2. Dimakbulkan Permintaan & Hajat

Dosa-dosa dan kektoran hati menjadi penghalang bagi doa-doa yang dibuat menjadikan doa sukar dimakbulkan.

Kelebihan istighfar yang banyak bukan sahaja dapat memadamkan dosa, namun merapatkan hubungan seorang hamba dengan ALLAH swt.

Tidak mustahil bagi Allah swt untuk memakbulkan segala permintaannya dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah itu. Bahkan terdapat juga kisah orang-orang yang sering beristighfar dikabulkan setiap lintasan hati mereka.

3. Bertambah Kekuatan

Kredit gambar: TZKRH

Dan wahai kaumku! Mintalah ampun (istighfar) kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!

(Surah Hud: 52)

4. Mudah Mendapat Zuriat

Amalan istighfar merupakan antara amalan yang paling dikasihi ALLAH swt. Apabila satu pasangan suami isteri rajin beristighfar maka kasih sayang ALLAH pun turun, dan salah satu kasih sayang ALLAH yang terbesar adalah rahmat seorang zuriat.

Antara kisah yang boleh dikongsi di sini adalah dari Imam al Qurtubi yang diriwayatkan oleh Ibnu Shabih tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai zuriat telah menemui Hasan al-Basri kerana hal ini.

Lelaki itu kemudiannya telah dinasihatkan oleh Hasan untuk mengamalkan istighfar. Setelah beberapa ketika mengamalkan istighfar, lelaki itu kembali kepada Hasan untuk memaklumkan kehamilan isterinya.

5. Menyembuhkan Penyakit

“Al-Qur’an telah menunjukkan penyakit dan ubat kalian, adapun penyakit kalian adalah dosa, dan ubat kalian adalah istighfar.”
Kitab Ihya’ Ulumuddin: 1/410

Kesakitan diberi adalah bertujuan untuk menghapuskan dosa atau menaikkan darjat seorang hamba. Dengan amalan istighfar ketika sedang mengalami kesakitan, seseorang dapat bermuhasabah, dan betul-betul menyesali kesilapan yang telah dilakukan.

Perkara ini amat dicintai ALLAH swt dan akan menghapus dosa serta mengangkat derjat sekaligus menghilangkan penyakit.

6. Menyejukkan Hati Isteri yang Sedang Marah

Antara ujian yang berat bagi seorang lelaki adalah dengan keadaan keluarga yang tidak terurus dan menambah masalah.

Mungkin ada kesilapan, dosa dan maksiat yang kita lakukan secara sedar atau tidak kepada Allah swt sehingga kita diuji dengan pasangan dan keluarga kita.

Anak-anak jadi degil dan liar, entah ke mana perginya. Kembalilah kepada Allah swt atas teguran ini, berhentilah dengan dosa dan banyakkan memohon ampun. InsyaAllah akan dikembalikan keamanan di dalam keluarga kita

7. Dijauhkan dari Azab & Bala

Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).

(Surah Al-Anfal: 33)

Mintalah ampun pada setiap masa kerana sungguh kita tidak tahu ketika bila Allah swt mengurniakan keampunan kepada kita.

Jangan berhenti mengharapkan keampunan Allah swt kerana kita tidak tahu lafaz yang mana diangkat Allah swt sebagai asbab menyelamatkan kita dan keluarga kita dari azab dan bala di dunia dan di akhirat.

8. Ditambah Nikmat & Kekayaan

(10) فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
(11) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا
(12) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا

Artinya: maka aku berkata (kepada mereka), “Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, Sungguh, Dia Maha Pengampun, niscaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, dan Dia memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu.”

(Surah Nuh: 10-12)

Berdasarkan ayat ini, terbukti juga bahawa amalan istighfar dapat membuatkan seseorang diberi rezeki yang melimpah ruah.

9. Memberatkan Timbangan Akhirat & Diangkat Ke Syurga

Seperti yang kita tahu, amalan istighfar bukan sahaja membuang dosa, malah menambah pahala, bahkan, sekiranya seseorang itu betul betul menyesali perbuatannya, segala dosa yang telah dilakukan akan ditukarkan kepada pahala

إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal Sholih, mereka itulah orang-orang yang dosanya diganti oleh Allah menjadi kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.

(QS. Al-Furqan : 70)

10. Penyelesaian Setiap Permasalahan, Jalan Keluar dari Kesusahan & Kesedihan

Keyakinan para ulama’ dalam melazimi istighfar telah memberi manfaat kepada mereka untuk memahami dan mendalami persoalan ilmu sehingga menjadi pakar dalam bidang mereka.

Istighfar juga memudahkan segala urusan dan menyelesaikan masalah sehingga mereka dapat mengatur masa dalam kesibukan mereka belajar, mengajar, bekerja dan menulis kitab. B

Baginda Rasulullah saw juga bersabda:

“Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

5 Amalan Istighfar

Istighfar Umum

Istighfar paling ringkas dan sering dijadikan wirid

AstagFirullaHal ‘Aziim

Istighfar yang lebih panjang dan sering dibaca setelah solat 3 kali

AstagFirullaHal ‘Aziim Allazi Laa iLaaHa illaa Huwal Hayyul Qayyum Wa AtuuBu iLaih.

Saiyidul Istighfar

Penghulu Istighfar

Allaahumma Anta Rabbii Laa ilaaha illaa Annta Kholaq-tanii Wa Anaa ‘Abduka Wa Anaa ‘Ala ‘Ahdika Wawa’ Dika Mas-tatha’-tu Auudzu-bika Min Syarrimaa Sona’-tu Abuu-U Laka Bini’matika ‘Alayya Wa Abuu-U Bidzanmmbi, Faghfirlii Fainnahu Laa Yagh-Firudz-zunuuba Illaa Annta

Maksudnya:

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan yang disembah melainkan Engkau. Engkau telah menjadikan aku, dan aku ialah hamba Mu, aku tetap atas amanah-Mu dan janji-Mu sekadar kesanggupan. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengakui kepada-Mu dengan nikmatMu ke atasku dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah aku, maka sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengampuni dosa-dosaku selain Engkau.

Istighfar Keluar Majlis (Tasbih Kaffarah)

Subhaanaka Allaahumma wa bihamdika, ‘ash-hadu ‘an laa ‘ilaaha ‘illaa ‘Anta, ‘astaghfiruka wa ‘atuuBu ‘ilayka.

Maksudnya:

Maha Suci Engkau, ya Allah dan puja puji untuk-Mu. Aku naik saksi tiada tuhan selain Engkau. Aku memohon keampunan daripada-Mu dan bertaubat kepada-Mu.

Doa Istighfar Selepas Solat

Doa istighfar ini elok dibaca khususnya selepas solat sebagai memperbaharui keinsafan kita terhadap dosa yang sering dilakukan:

AllaHumma Inni AsTaghFiruka Min Kulli DzanBin TubTu IlayKa Minhu, TsumMa ‘UdTu FiiHi. Wa AstagFiruka Min Kulli Ma Wa ‘AdTuka Bihi Min Nafsi WaLam UuFi Laka Bihi. Wa AstagFiruka Min Kulli ‘Amalin ARodTu Bihi WajHaka, FaKhoLaThoHu GhoiRuKa. Wa AstagFiruka Min Kulli Ni’matin An AmTa BiHa Alayya, FasTa’anTu Biha Alaa’ Ma’ SiYaTika. Wa AstagFiruka Yaa ‘AaLimal-Ghoibi WasyHaaDati Min Kulli DzanBin ATaiTuhu Fii DhiYaa-InNaHar, WasaWaa Dil-LaiLi Fii MaLaa-in Au KhoLaaIn, Wa Sirrin Wa ‘Alaa NiyaTin Yaa Halim

Maksudnya:

Ya Allah, aku memohon ampun kepada-Mu daripada segala dosa yang aku telah bertaubat kepada-Mu kemudian aku ulanginya. Aku memohon kepada-Mu daripada segala perkara yang telah aku berjanji kepada-Mu daripada diriku yang tidak aku tunaikannya kepada-Mu. Aku memohon ampun kepada-Mu daripada segala amalan yang ingin aku lakukan kerana wajah-Mu, lalu ia bercampur aduk dengan selain daripada-Mu. Aku memohon keampunan-Mu daripada segala nikmat yang Engkau telah beri kepadaku lalu aku menggunakannya untuk mengerjakan maksiat terhadapMu. Aku memohon keampunan-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata daripada segala dosa yang aku kerjakannya di cahaya siang dan kegelapan malam, di khalayak ramai, bersendirian, secara rahsia dan terang-terangan, wahai Tuhan Yang Maha Penyantun.”

Istighfar Selepas Tahiyyat Akhir Sebelum Memberi Salam

Rasulullah SAW juga telah mengajarkan kepada Abu Bakar as Siddiq r.a. satu doa supaya dibaca ketika tasyahud sebelum salam:

AllahumMa Inni ZholamTu Nafsi, Zulman KaTsiRan Wa Laa YagFiruz-DzuNuuBa Illaa Anta. FaghFirli Maghfiratan Min Indika, WarHamNi Innaka Antal GhoFuuRur-Rohim

Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, lagi besar, dan tidaklah ada seorang pun yang dapat mengampuni daku kecuali Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan yang sesempurnanya dari sisi Engkau dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Merahmati.”


Untuk ketahui lebih lagi tentang doa dan amalan klik SINI.