Bulan Rejab, bulan mulia kerana ia termasuk dalam empat bulan suci dalam Islam. Bulan ini sering dikaitkan dengan amal ibadah dan pengampunan.
Disebalik dua perkara yang sering dikongsikan itu, terdapat peristiwa lain yang berlaku pada bulan Rejab dan dianggap sebagai satu kelebihan.
10 Kelebihan Bulan Rejab
#1 Peristiwa Israk Mikraj
Ia dianggap salah satu peristiwa istimewa di bulan Rejab kerana israk mikraj menjadi bukti tanda kerasulan Nabi Muhammad SAW.
سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ(١)
(Surah al-Isra’: 1)
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya Muhammad pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah, ke Masjidil Aqsa di Palestin, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Dalam peristiwa israk mikraj inilah baginda menerima perintah untuk menunaikan solat fardhu lima kali sehari. Baginda juga diperlihatkan tentang keadaan penghuni syurga dan neraka agar menjadi pedoman untuk umat akhir zaman ini.
#2 Perubahan Arah Kiblat
Dahulunya, orang Islam pada awal kemunculannya di zaman Nabi Muhammad SAW menghadap Masjid Aqsa di Palestin ketika menunaikan solat sebelum arah kiblat diubah ke Masjidil Haram di Mekah.
Kiblat ke arah Masjidil Haram ialah arah kiblat yang sama dengan para nabi terdahulu iaitu Nabi Adam AS dan Nabi Ibrahim AS.
#3 Perang Tabuk
Perang yang berlaku di Tabuk antara tentera Rom dan muslimin pada tahun ke-9 hijrah ini dimenangi tanpa ada seorang pun yang cedera.
Ini kerana pihak lawan telah terlebih dahulu menawarkan perdamaian sebelum perang tercetus. Lebih istimewa lagi ialah peperangan ini merupakan peperangan terakhir yang diketuai Rasulullah SAW.
#4 Hijrah Ke Habsyah
Merupakan hijrah pengikut Nabi Muhammad SAW yang pertama kali dan hanya disertai seramai 14 orang termasuklah empat orang wanita.
Baginda mengusulkan penghijrahan ke Habsyah (Ethiopia), kerana pada waktu itu golongan yang baru memeluk Islam sering ditekan dan diseksa.
#5 Baitul Maqdis Dibebaskan
Kisah penawanan Baitul Maqdis sangat panjang yang berliku. Pada bulan Rejab tahun 583 Hijrah, tentera Islam berjaya membebaskan kota al-Quds daripada penjajahan Kristian yang diketuai oleh Salahuddin al-Ayyubi.
#6 Kelahiran Imam Syafie
Beliaulah pengasas kepada mazhab Syafie yang digunakan oleh umat Islam di negara-negara di asia tenggara termasuklah negara Malaysia.
Imam Syafie dilahirkan pada bulan Rejab di tahun 150 Hijrah di Gaza, Palestin. Beliau telah menulis sebuah kitab yang menjadi rujukan penting oleh ramai orang iaitu al- Umm.
#7 Bulan Membina Stamina Spiritual
Lagi kelebihan bulan Rejab ialah ia menjadi permulaan persediaan orang Islam membuat persiapan menghadapi bulan Ramadan.
Kita digalakkan untuk tingkatkan amal ibadah seperti puasa, solat dan tilawah al-Quran supaya setibanya bulan Ramadan ia menjadi kebiasaan dan menjadi hamba yang menyerlah dalam ibadat.
#8 Peluang Taubat dan Keampunan
Rebut kelebihan bulan Rejab dengan meminta ampun kepada Allah dan makhluknya yang pernah kita sakiti.
Perbanyakkan taubat dan jadi diri yang lebih baik dari pelbagai aspek sama ada sebagai hamba, ahli keluarga, pekerja dan pelajar.
#9 Dimakbulkan Doa
Malam pertama bulan Rejab menjadi salah satu hari yang dikabulkan doa-doa orang yang berhajat. Namun begitu, jangan marah jika doa Mama belum dikabulkan kerana semua perkara di dunia dan akhirat tidak akan berlaku tanpa izin Allah SWT.
Rasulullah SAW berpesan bahawa ada lima malam yang mustajab doanya di mana tidak ditolak Allah SWT: Malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Jumaat, malam Hari Raya Aidilfitri dan malam Hari Raya Aidiladha.
#10 Amalan Baik dan Buruk Digandakan
Al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain.
Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain.
(Tafsir Ibn Kathir, 4:130)
Nota: Bulan-bulan haram ialah pada Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah.
Antara kelebihan bulan Rejab ialah perubahan arah kiblat dan kelahiran Imam Syafie. Kedua-dua peristiwa ini menjadi pedoman untuk umat Islam di Malaysia beribadah dan menegakkan syiar Islam.
Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.