Amalan memberikan sebahagian rezeki adalah sebagai tanda bersyukur terhadap kurniaan Allah kepada diri sendiri.
Allah yang maha baik memberikan 10 kelebihan di dunia dan di akhirat kepada hambaNya yang melazimi amalan bersedekah.
10 Kelebihan Bersedekah Kepada Semua
#1 Penghapus Dosa
Manusia melakukan dosa setiap hari sama ada mereka sedar atau tidak. Tidak kira tahap mana pun abid dan alim mereka, sentiasa ada dosa di setiap hati.
Bersedekahlah, agar berat timbangan kanan menjadi lebih berat dari timbangan kiri ketika tiba hari perhitungan.
Nota: Abid ialah orang yang banyak beribadah manakala alim ialah orang yang mempunyai banyak pengetahuan tentang Islam.
#2 Tambah Pahala
Jadi kenapa kalau kita ada banyak pahala?
Mudah, kita ada peluang untuk masuk syurga. Tapi kalau tak bersedekah, pastinya peluang agak tipis jika tidak digandingkan dengan amalan kebaikan lain.
#3 Rezeki Bertambah
Percayalah, sedekah tidak pernah merugikan!
Hanya ganjarannya sahaja yang kita belum tahu sama ada dibalas di dunia atau di akhirat nanti. Bersangka baiklah kerana Allah sangat teliti dalam perhitunganNya.
#4 Mendekati Allah
Kita semakin dekat dengan tuhan melalui amalan bersedekah. Ianya memperkuat iman, lebih-lebih lagi apabila bersedekah ketika dalam situasi sukar seperti kekurangan duit, bekalan makanan yang terhad dan banyak lagi.
#5 Padam Panas Di Kubur
Kelebihan yang kelima apabila seseorang bersedekah ialah dapat memadamkan api kepanasan di alam kubur nanti.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya sedekah itu benar-benar akan dapat memadamkan panasnya alam kubur bagi penghuninya dan orang mukmin akan bernaung dibawah bayang-bayang sedekahnya.”
Hadis Riwayat at-Thabrani
#6 Naungan di Akhirat
Keadaan di padang mahsyar sangat panas seperti yang termaktub di dalam hadis sahih daripada riwayat Muslim.
Maka naungan inilah yang dapat meringankan panas matahari itu ketika di hari akhirat kelak.
#7 Umur Panjang
Kelebihan bersedekah dipanjangkan lagi dengan memberikan umur yang panjang. Mudah-mudahan umur yang dipanjangkan ini menjadi peluang untuk kita memohon ampun dan menambah amalan untuk dibawa ke akhirat.
#8 Mendidik Jiwa
Bersedekah itu pelajaran kepada manusia agar tidak mencintai harta secara berlebihan. Ia menjauhkan diri dari sifat kedekut dan dalam masa yang sama mendidik umat Islam agar saling berkongsi rezeki kurniaan ilahi.
#9 Menenangkan Hati
Menjadi dewasa memaksa kita menghadapi banyak perkara dalam satu masa. Tiadalah yang kita inginkan selain hati yang tenang dan tenteram menghadapi hari-hari mendatang.
#10 Lindungi Diri Dari Musibah dan Bahaya
Boleh jadi dengan sedekah yang ikhlas, kita terhindar dari musibah dan bahaya yang tidak disangka-sangka.
Semuanya kerana sedekah itu mampu melindungi diri dari bala bencana sesuai dalil Rasulullah SAW;
“Bersegeralah untuk bersedekah. Kerana musibah dan bencana tidak bisa mendahului sedekah.”
Sedekah Tapi Bukan Duit!
Bukan semua rezeki itu wang ringgit dan bukan semua sedekah itu duit. Dianggap tidak adil jika amalan bersedekah hanya dikhususkan untuk mereka yang kaya sahaja, manakala yang miskin tiada peluang menambah pahala.
Oleh itu, kita harus kembangkan pandangan agar amalan bersedekah ini tidak terhad kepada perihal harta sahaja.
Berikut ialah contoh-contoh bersedekah di zaman moden ini tanpa menggunakan duit:
- Senyuman ikhlas
- Nasihat atau kata-kata yang baik di ruangan komen dan kiriman (posting) media sosial
- Membantu mengangkat barang atau mengisi borang
- Mengajarkan ilmu
- Mendoakan ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan
Bersedekah itu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan bersedekah memberikan impak besar kepada umat Islam yang ikhlas dalam memberi.
Semoga sedekah kita diterima dan menjadi pemberat timbangan kanan di akhirat nanti.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Jadi lebih baik dengan ilmu tentang agama Islam di SINI!