Melihat bayi ditempatkan di dalam balang khas berkaca (inkubator) dengan wayar berselirat di sekeliling badan menjadikan perasaan seorang ibu yang melahirkannya resah sepanjang masa. Masakan tidak, impian untuk melihat anak yang dikandung lahir normal dan sihat seperti bayi-bayi lain pastinya musnah apabila kandungan yang dijaga tidak sempat mencecah usia 40 minggu. Menurut anggaran dari negara ke negara mengenai fenomena itu, kebanyakkan bayi pramatang dilahirkan tidak dapat diselamatkan. Jika hidup sekali pun, mereka berdepan dengan masalah ketidakupayaan dalam jangka panjang. Kelahiran pramatang itu bermaksud bayi yang dilahirkan bawah 37 minggu. Biasanya wanita akan hamil sehingga tempoh penuh iaitu 40 minggu. Sekiranya kelahiran berlaku tiga minggu awal daripada 40 minggu ia dianggap sebagai pramatang.
- Dalam kes kelahiran pramatang ini, bayi yang lahir akan mempunyai saiz badan yang kecil, lemah, berat badan hanya dalam lingkungan 450 hingga 1,600 gram sahaja serta panjang sekitar 25 hingga 33 sentimeter.
- Bukan itu sahaja, tumbesaran bayi pramatang ini juga sebenarnya masih belum sempurna dan disebabkan itulah mereka (bayi pramatang) akan dilahirkan dengan paru-paru yang belum berfungsi dan berkembang dengan sepenuhnya.
- Bayi yang dilahirkan pramatang harus diberikan penuh perhatian dan penjagaan yang rapi kerana selain kulitnya yang seperti agar-agar, mereka ini juga mudah dijangkiti kuman dan boleh diibaratkan seperti ‘barang yang mudah pecah’.
- Disebabkan kulitnya yang lembut seperti agar-agar ada kalanya boleh tertanggal.
- Selain itu, bayi pramatang ini juga akan mengalami pelbagai komplikasi dan antaranya ialah masalah paru-paru, jangkitan penyakit serta masalah penglihatan. Disebabkan itu jugalah, bayi pramatang akan ditempatkan dalam inkubator sehingga berat mereka mencecah 1.5 kilogram dan mampu mengawal suhu badan mereka sendiri tanpa sebarang bantuan.
- Boleh dikatakan bayi pramatang akan mengalami pelbagai masalah kesihatan disebabkan perkembangan yang terbantut. Selain perkembangan otak, fizikal, paru-paru, jantung dan sebagainya dilihat terhenti, bayi pramatang juga berisiko tinggi menghadapi masalah penglihatan.
- Masalah penglihatan yang sering terjadi pada bayi pramatang ialah Retinopati Pramatang (ROP) dan lazimnya berlaku pada bayi yang mempunyai berat badan kurang daripada 1,500 gram. Masalah ini mengganggu perkembangan saluran darah pada retina dalam mata yang akhirnya menjadikan mangsa buta sekiranya tidak mendapat rawatan awal.
PUNCA KELAHIRAN BAYI PRAMATANG
Kelahiran pramatang mungkin berlaku kepada semua ibu mengandung, malah kepada mereka ynag sihat dan melakukan perkara yang betul. Kebanyakkan waktu kelahiran pramatang berlaku secara mendadak sebelum waktu bersalin dan puncanya tidak diketahui. Bagaimanapun, faktor risiko seperti dibawah mungkin memberi risiko yang tinggi kelahiran pramatang:
- Terdapat sejarah dalam keluarga yang mempunyai kelahiran pramatang.
- Sesetengah komplikasi mengandung seperti pre-eclampsia (tekanan darah tinggi dan terdapat protein dalam urine) dan berlaku ‘placenta abruptio’(placenta dan dinding rahim terasing sebelum bersalin).
- Terdapat jangkitan seperti jangkitan pundi kencing, jangkitan rahim dan jangkitan pada ginjal.
- Kecacatan pada bayi, cervik, rahim dan plasenta.
- Merokok, penyalahgunaan alkohol dan dadah semasa mengandung.
- Kehamilan kembar.
- Membrane pramatang yang telah pecah: Lelehan keluar sebelum waktu kelahiran.
- Tidak kemampuan bahagian cervical untuk menutup dengan rapat. Keadaan ini mungkin boleh dirawat dengan menggunakan cervical cerclage.
- Kekurangan rawatan untuk penjagaan kehamilan.
- Kekurangan berat badan sebelum mengandung.
- Hamil ketika umur dibawah 18 tahun atau lebih 40 tahun.
RISIKO TERHADAP BAYI
Seperti kenyataan di atas, bayi pramatang cenderung untuk menghadapi masalah kesihatan untuk jangka masa panjang atau masalah seumur hidup. Semakin awal bayi anda dilahirkan, semakin tinggi risiko masalah kesihatan yang akan dihidapi. Risiko bayi pramatang ialah termasuk:
- Sindrom kesukaran bernafas. Bayi yang baru lahir memerlukan sokongan ventilator.
- Kesukaran untuk makan dan mengekalkan kepanasan badan. Bayi baru lahir memerlukan penjagaan kesiahatn yang sempurna dan sokongan incubator.
- Berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.
- Kematian, bayi terlalu kecil dan tidak kuat untuk hidup.
- Mempunyai masalah kesihatan jangka masa panjang seperti buta, cerebral palsy, kesukaran belajar dan kesukaran berjalan.
SIMTOM ATAU TANDA-TANDA KELAHIRAN BAYI
Apabila mendapati ada tanda-tanda dan simtom-simtom bersalin sebelum tarikh jangka bersalin (TJB) tidak bermakna anda akan bersalin tidak lama lagi. Sesetengah orang yang berpengalaman menghadapi tanda-tanda dan simtom-simtom bersalin (TJB) mampu menguruskan kehamilan hingga ke tarikh tersebut. Bagaimanapun, jika anda mengalami tanda-tanda dan simtom-simtom seperti di bawah, sila berjumpa doktor anda secepat yang mungkin untuk mendiagnosis jika anda mengalami tanda-tanda bersalin pramatang atau sekadar menghadapi pengecutan otat rahim (contraction). Doktor anda akan cuba untuk melambatkan waktu bersalin selagi boleh.
- Mengalami pengecutan rahim (contraction) yang tidak berhenti.
- Sentiasa berasa kejang di perut.
- Berasa sakit dibahagian bawah badan,belakang dan punggung yang tidak henti-henti.
- Terdapat air yang berwarna merah cerah dan merah pekat yang keluar dari faraj.
- Merasa bayi menekan dibawah.
RAWATAN
- Melambatkan waktu bersalin dengan ubat yang diberikan oleh doktor.
- Jika berlaku pecah ketuban, ubat akan diberikan untuk mengelakkan jangkitan.
- Corticosteroid akan diberikan untuk membantu organ bayi anda matang.
- Membenarkan kelahiran awal jika mendapati ibu dan anak terlepas dari risiko selepas bersalin.
APAKAN KEPERLUAN BAYI PRAMATANG?
Haba atau kepanasan persekitaran yang cukup. Bayi pramatang tidak mempunyai lemak secukupnya untuk memastikan suhu badan kekal walaupun jika bayi itu diselimutkan. Bayi ini perlu berada di dalam inkubator atau alat pemanas sehingga berat bayi cukup untuk mengekalkan suhu badan.Pemakanan dan tumbesaran bayi pramatang memerlukan keperluan nutrisi yang lebih tinggi. Ini disebabkan tumbesaran bagi kanak-kanak pramatang secara lazimnya adalah lebih cepat daripada kanak-kanak cukup bulan (catch up growth) lebih-lebih lagi kerana sistem pencernaan makanan adalah tidak efektif seperti kanak-kanak cukup bulan.
APAKAH MAKANAN UNTUK BAYI PRAMATANG?
- Susu ibu adalah sumber makanan yang paling baik, tetapi bayi hanya boleh menyusu terus atau menggunakan botol selepas 32 minggu. Memulakan pemakanan bagi bayi pramatang perlu dilakukan secara sedikit demi sedikit. Jika tidak ia boleh menyebabkan masalah usus yang berbahaya.
- Lazimnya bayi yang belum boleh menyusu, susu ibu perlu dipam dan diberi melalui tiub.
- Susu ibu mempunyai khasiat lebih kerana ia mengandungi protein membantu melawan kuman dan mempercepatkan pembesaran. Oleh kerana bayi pramatang mungkin memerlukan lebih banyak kalori dan vitamin, terdapat formula dalam bentuk serbuk yang boleh ditambah dalam susu ibu untuk meninggikan lagi khasiat.
MASALAH YANG SELALU DIHADAPI OLEH BAYI PRAMATANG
- Jaundis (Penyakit Kuning)
Masalah yang paling kerap bagi bayi pramatang ialah jaundis. Penyakit ini disebabkan oleh bilirubin yang dihasilkan oleh pemecahan sel darah merah. Bilirubin ini menyebabkan kulit dan selaput mata putih bayi menjadi kuning. Jaundis adalah perkara biasa bagi bayi, tetapi jika tahap jaundis terlalu tinggi ia boleh menyebabkan kerosakan bahagian otak atau kecacatan pendengaran.
- Apnea
Apnea adalah keadaan yang mana bayi berhenti bernafas. Pada masa itu degupan jantung menjadi perlahan sekali gus bayi mungkin kelihatan pucat dan biru. Apnea sering berlaku bagi bayi yang kurang daripada 30 minggu. Jika masalah apnea ini berlaku dengan kerap bayi memerlukan ubat untuk merangsang sistem pernafasannya.
- Anemia (kurang darah)
Kebanyakan bayi pramatang akan mengalami masalah anemia. Ini mungkin menyebabkan bayi tidak membesar dan juga jika tahap anemia itu serius ia boleh menyebabkan kegagalan jantung.
- Masalah pernafasan (respiratory distress syndrome)
Masalah ini disebabkan oleh paru-paru yang belum matang dan secara tidak langsung menyebabkan bayi mengalami masalah susah untuk bernafas. Masalah ini agak kerap berlaku. Begitupun, masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan sejenis ubat yang bertindak membuka paru-paru (dikenali sebagai surfactant). Ia membolehkan paru-paru bayi pramatang berfungsi dengan lebih baik. Jika masalah pernafasan ini terlalu serius, bayi itu mungkin memerlukan bantuan pernafasan melalui mesin pernafasan. Penggunaan surfactant yang dibuat secara sintetik mengurangkan komplikasi masalah pernafasan.
- Jangkitan
Jangkitan adalah masalah yang paling membimbangkan bagi bayi pramatang. Ini disebabkan bayi pramatang tidak dapat melawan penyakit sebaik bayi yang lahir cukup bulan. Jangkitan ini boleh berlaku sebelum bayi lahir, ketika proses melahirkan atau selepas dilahirkan. Cara membasuh tangan yang betul dapat mengatasi masalah jangkitan
- Patent Ductus Arteriosus(PDA)
Duktus arteriosus adalah salur darah kecil yang menyambungkan salur arteri paru-paru dan salur aorta. Bagi bayi pramatang yang mempunyai masalah PDA; bergantung kepada besarnya PDA itu, dia boleh mengalami masalah kegagalan jantung. Ada ubat-ubatan yang boleh mengecilkan salur darah ini. Begitupun jika ia tidak berjaya masalah PDA ini boleh diselesaikan melalui pembedahan.
- Masalah Retina ( Retinopathy of Prematurity)
Bayi pramatang mempunyai retina yang agak sensitif. Retina bayi pramatang boleh cedera dan ini boleh menyebabkan masalah penglihatan yang serius. Pada masa dahulu masalah ini dikaitkan dengan penggunaan oksigen yang berlebihan. Tetapi kaji selidik yang dijalankan tidak dapat memberi sebab kenapa ia berlaku.
Sumber: Utusan