Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Bernama, tahun 2025 menandakan permulaan Generasi Beta (Gen Beta), iaitu generasi baharu yang terdiri daripada bayi yang lahir dari tahun 2025 hingga 2039.
Generasi ini hadir selepas Gen Alpha (2010–2024) dan Gen Z (lahir selepas 1996), membawa harapan dan cabaran baharu seiring dengan perkembangan dunia yang semakin maju.
Dengan kehadiran bayi-bayi comel ini bukan sahaja menandakan permulaan tahun baharu tetapi juga menjadi simbolik kepada kemunculan Gen Beta, yang dijangka akan memainkan peranan penting dalam masa depan teknologi dan masyarakat.
Di Negeri Sembilan, seramai 20 bayi dilaporkan lahir pada hari pertama tahun baharu di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, setakat jam 1.30 tengah hari semalam.
Daripada jumlah tersebut, 14 adalah bayi perempuan, termasuk dua pasangan kembar yang dilahirkan pada awal pagi. Kehadiran bayi-bayi ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh keluarga masing-masing, menjadikan permulaan tahun 2025 lebih bermakna.
Di Pahang pula, sambutan tahun baharu 2025 dimulakan dengan kelahiran seramai 19 bayi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan setakat jam 11 pagi. Daripada jumlah tersebut, 10 adalah bayi lelaki, manakala sembilan lagi bayi perempuan.
Kelahiran terawal direkodkan ialah seorang bayi lelaki yang lahir tepat pada jam 12.12 tengah malam, pada 1 Januari 2025 mencatatkan permulaan istimewa bagi tahun baharu ini.
Selain HTAA, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang turut melaporkan kelahiran di beberapa hospital daerah. Hospital di Temerloh, Bentong, dan Lipis masing-masing menyambut dua kelahiran bayi, sementara hospital di Raub, Pekan, dan Cameron Highlands mencatatkan satu kelahiran setiap lokasi.
Di Putrajaya, Hospital Putrajaya menyambut kelahiran enam bayi pada tahun baharu 2025, terdiri daripada tiga bayi lelaki dan tiga bayi perempuan, dengan berat antara 2.51 kilogram hingga 3.85 kilogram.
Di Perlis pula, iaitu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, melaporkan kelahiran enam bayi, lima bayi lelaki dan seorang bayi perempuan setakat jam 1 tengah hari semalam.
Sementara itu, Hospital Melaka, Melaka mencatatkan kelahiran empat bayi, termasuk tiga bayi lelaki dan seorang bayi perempuan, antara tengah malam hingga 8 pagi, dengan salah seorang bayi dilahirkan oleh seorang ibu warganegara asing.
Datuk Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, berkata, “Tahniah diucapkan kepada semua ibu bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada tahun baharu ini. “
Tahniah Mama Siti ucapkan! Semoga dengan kehadiran si comel ini membawa kegembiraan kepada keluarga Mama Papa serta menambah seri permulaan tahun 2025.
Mama Siti harapkan Gen Beta ini akan menjadi pelopor kepada masa depan yang lebih canggih dan inovatif, seiring dengan perubahan teknologi dan sosial yang terus berkembang.
Dapatkan lebih banyak informasi keibubapaan untuk Mama Papa di SINI.