Umum mengetahui bahawa hari Jumaat mempunyai banyak keistimewaan dan kelebihan bagi umat Islam. Jadi, adalah lebih baik untuk kita cuba menikmati kesemua keistimewaan hari Jumaat tersebut dan tidak biarkan ia berlalu begitu sahaja.
Berikut merupakan beberapa keistimewaan hari Jumaat kepada umat Islam. Ayuh kita singkap lebih lagi.
Keistimewaan Hari Jumaat
#1 Hari Yang Mulia
Hari Jumaat ialah hari yang dimuliakan oleh Allah SWT kepada para nabi, rasul, malaikat dan umat sejagat.
Contohnya manusia pertama iaitu Nabi Adam AS yang diciptakan pada hari Jumaat. Begitu juga dengan peristiwa perang badar dan hari diturunkan al- Quran.
#2 Hari Untuk Umat Islam
Banyak keistimewaan yang Allah kurniakan kepada umat Islam pada hari Jumaat. Doa dimakbulkan, pahala digandakan hinggalah terlepas dari azab kubur.
Semuanya berlaku pada hari Jumaat. Jadi, tak hairanlah ianya dikatakan hari untuk umat Islam.
#3 Penghulu Hari
Pernah tak Mama terfikir kenapa hari jumaat penghulu segala hari?
Peristiwa hari Jumaat sebagai penghulu hari bermula sejak zaman Nabi Musa lagi. Waktu dulu, bani Israel meminta Nabi Musa agar dikhaskan satu hari untuk mereka berehat dan fokus beribadah.
Selain itu, hari Jumaat juga terpilih sebagai penghulu hari kerana banyak peristiwa besar yang berlaku seperti;
- Nabi Adam AS diciptakan
- Nabi Adam AS diturunkan ke bumi
- Nabi Adam AS diwafatkan
- Waktu mustajab berdoa
- Hari berlaku kiamat
#4 Hari Kebesaran
Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi Umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri solat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Hari Jumaat ialah hari yang masyhur dalam agama kita. Oleh itu, disunatkan untuk kita untuk menyambutnya dengan mandi sunat, memotong kuku, memakai wangian, memakai pakaian yang bersih dan cantik, berselawat, datang awal ke masjid dan menunaikan solat Jumaat.
#5 Satu-satunya Hari Ada Solat Yang Disyariatkan
Ianya berasal dari perkataan ‘Jumuah’ dalam bahasa Arab yang bermaksud berkumpul. Solat Jumaat waktu untuk kita semua menuntut ilmu melalui khutbah, serta muhasabah diri kerana sama-sama menunaikan solat yang disyariatkan Islam.
#6 Banyak Malaikat Turun
Para malaikat turun ke bumi untuk mencatatkan amalan-amalan kita semua dari selepas maghrib hari Khamis atau malam Jumaat hingga terbenam matahari hari Jumaat.
Namun begitu, malaikat akan berhenti seketika mencatat nama-nama manusia ketika imam naik ke mimbar untuk membaca khutbah.
#7 Doa Dikabulkan
Akan ada satu masa di sepanjang hari Jumaat, Allah akan memakbulkan doa-doa yang dipanjatkan kepadaNya.
Namun begitu, tidak diketahui waktu yang tepat adalah bertujuan supaya manusia banyakkan berdoa pada hari Jumaat.
#8 Diampunkan Dosa
Tidak ada seorang manusia pun yang akan terlepas dengan dosa-dosa di setiap harinya. Namun begitu, kita tidak boleh berputus asa untuk bertaubat kepada Allah SWT agar menjadi hamba yang lebih baik.
Sabda Rasulullah SAW: “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar”- (Hadis Riwayat Muslim)
#9 Hari Pahala Berganda
Boleh dikatakan semua perbuatan baik atau kebajikan yang kita laksanakan pada hari ini dilipat gandakan berbanding hari biasa.
Oleh itu, bermula hari ini. Apa kata kita khususkan kebaikan yang akan dilakukan pada hari Jumaat agar mendapat lebih banyak pahala.
#10 Digalakkan Bersedekah
Kita sering mendapat hebahan untuk bersedekah melalui SMS, emel dan iklan di sosial media. Rupa-rupanya, kelebihan sedekah hari Jumaat itu lebih utama berbanding hari lain.
Tambahan pula, sedekah yang afdal ialah kepada ahli keluarga, diikuti dengan rakan-rakan serta fakir dan miskin.
#11 Mendapat Hidayah
Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda;
“Kita adalah umat yang terakhir muncul tapi paling awal tiba pada hari kiamat, dan kita yang pertama kali masuk syurga, cuma mereka diberi Kitab sebelum kita sedangkan kita diberi Kitab setelah mereka. Kemudian mereka berselisih, lalu Allah memberi kita hidayah terhadap apa yang mereka perselisihkan. Inilah hari yang mereka perselisihkan, dan Allah berikan hidayah berupa hari ini kepada kita (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebut hari Jumaat). Maka hari (Jumaat) ini untuk kita (umat Islam), esok (Sabtu) untuk umat Yahudi dan lusa (Ahad) untuk umat Nasrani.”
(Hadis Riwayat Muslim)
#12 Husnul Khatimah
Mana-mana umat Islam yang direzekikan meninggal dunia pada hari Jumaat mendapat keistimewaan iaitu dianggap sebagai kematian yang baik.
#13 Terselamat Dari Azab Kubur
Sebelum ke padang mahsyar, kita terlebih dahulu akan diadili di dalam kubur. Semua kesalahan kita semasa di dunia walau sebesar biji sawi akan dibalas.
Oleh itu, benarlah maksud hadis iaitu;
Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah SAW: “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan oleh Allah SWT daripada fitnah kubur.”
(Hadis Riwayat Tarmizi)
#14 Peristiwa Kiamat
Kata Rasulullah SAW, para malaikat muqarrabun takut kepada hari Jumaat kerana ia merupakan hari akan berlakunya hari kiamat.
#15 Melihat Allah SWT di Syurga
Anas b Malik mengulas tentang surah al-Jumu’ah ayat 35 bahawasanya makna ayat ‘Kami memiliki pertambahannya’ membawa penjelasan iaitu;
“Allah SWT menampakkan diri kepada mereka setiap Hari Jumaat.”
Orang-orang yang terpilih dikurniakan kelebihan melihat zat Allah SWT sebagai ganjaran amal baik mereka semasa di dunia.
Oleh itu, janganlah kita sia-siakan sahaja hari Jumaat berlalu tanpa melakukan hal-hal yang baik. Semoga kita semua mendapat berkat terbesar hari Jumaat iaitu mati di hari ini.
Dapatlah lebih banyak informasi agama di SINI!