KelabMama

Kedudukan Solat Suami Isteri Berpandukan Al-Quran dan Hadis Sahih

kedudukan solat suami isteri di rumah

Pernah tak anda berselisih pendapat mengenai kedudukan solat suami isteri yang sah dan pernah tak berasa was-was mengenai kedudukan saf suami isteri yang anda berdua lakukan sama ada ia sah atau boleh batalkan solat? Mama Siti percaya, ramai di kalangan kita yang kurang arif mengenai kedudukan solat jemaah suami isteri yang betul.

Oleh itu, bagi merungkai segala persoalan mengenai hukum kedudukan makmum isteri ketika solat berjemaah dengan suami, di bawah ini Mama Siti telah kongsikan penerangannya berpandukan Al-Quran dan Hadis.

Jom lihat apakah hukum dan kedudukan solat jemaah suami isteri yang betul!

Kedudukan Solat Suami Isteri Mengikut Nas Sahih

Betulkah cara solat berjemaah suami isteri yang kita lakukan selama ini? Berbicara mengenai hal ini, menurut Anas bin Malik r.a dalam sebuah riwayat beliau menyatakan bahawa:

‎ أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ قَالَ قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا ، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya:

“Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah S.A.W memakan makanan yang telah dimasaknya. Maka baginda pun menjamu makanan tersebut lalu bersabda : Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua. Kemudian Rasulullah S.A.W berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami. Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar’.

(Hadis Riwayat Al-Bukhari 380)

Dalam hadis di atas dapat disimpulkan dengan jelas beberapa kedudukan dalam sembahyang secara berjemaah termasuklah kedudukan solat jemaah suami isteri. Berdasarkan hadis ini, bagi kedudukan seorang perempuan yang berimamkan ayahnya, abang, adik, atau suaminya, maka kedudukan saf bagi wanita itu adalah di belakang imam.

Hal ini juga sangat bertetapan dengan sebuah hadis di mana hadis ini turut diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a iaitu:

‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِ وَبِأُمِّهِ أَوْ خَالَتِهِ قَالَ فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ وَأَقَامَ الْمَرْأَةَ خَلْفَنَا

Maksudnya:

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W solat dengannya (Anas) bersama dengan ibunya atau ibu saudaranya lalu Anas berkata: Baginda mendirikan aku di sebelah kanannya dan baginda mendirikan orang perempuan di belakang kami”.

(Hadis Riwayat Muslim 1056)

Malah menurut, Imam Al-Nawawi r.a, beliau menyatakan bahawa perselisihan pendapat mengenai kedudukan adalah makruh namun tidak sehingga membatalkan solat. Katanya lagi:

“Sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa, serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan”.

[Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzzab (4/293)]

Nabi Muhammad S.A.W turut bersabda bahawa:

‎خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya:

“Sebaik-baik saf orang lelaki adalah yang paling depan dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling akhir. Manakala sebaik- baik saf orang perempuan adalah yang paling belakang dan seburuk-buruk saf bagi mereka adalah yang paling hadapan”.

(Hadis Riwayat Muslim 440)

Maka berdasarkan dalil-dalil diatas, sangat jelas bahawa kedudukan seorang isteri yang solat secara berjemaah dengan suaminya adalah di belakang suaminya.

Kredit gambar: Facebook @Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

Bagaimana kalau ruang untuk solat kecil?

Malah, menurut portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga, jika ruang untuk menunaikan solat tersebut adalah sempit, maka tidak batal solat, tidak diharamkan bahkan tidak dimakruhkan seorang isteri bersolat di sebelah kiri suami sekiranya ruang di rumah itu sempit kerana ada keperluan untuknya berbuat begitu.

Kredit gambar: Facebook @Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

Semoga dengan perkongsian mengenai kedudukan saf suami dan isteri atau posisi solat jemaah suami dan isteri yang betul di atas ini, sedikit sebanyak dapat membantu anda semua memperbetulkan saf sekiranya salah dan tidak lagi berasa was-was ketika menunaikan solat secara berjemaah.


Selain hukum dan panduan mengenai ibadah , anda juga boleh dapat pelbagai lagi pilihan doa dan tips-tips kerohanian serta panduan agama yang lain di SINI!