KelabMama

Take Note Papa, Mama! Kebaikan dan Keburukan Kad Kredit

Jika ditanya perihal kad kredit, apa perkara pertama yang terlintas di fikiran Papa dan Mama? Adakah Papa dan Mama rasa sistem cashless yang telah lama diwujudkan ini membantu atau menjerat?

Tak dinafikan, dalam era dunia moden kini, ada sebahagian individu tidak sanggup untuk menjadi pemegang kad kredit meskipun pernah ditawarkan oleh pihak bank.

Sebahagian individu mungkin menganggap kelayakan memiliki kad kredit umpama nikmat turun dari langit, namun tak kurang juga antara mereka yang berasa ‘gerun’ sebaik mendengar tawaran menjadi pemegang kad kredit.

Persoalannya, adakah benar sistem tanpa tunai ini memudahkan orang ramai atau ia umpama ‘mencekik’ diri semula? Jom baca perkongsian Mama Siti mengenai kebaikan dan keburukan kad kredit.

Jenis Kad Kredit

Sebelum merungkai lebih lanjut tentang manfaat dan risiko penggunaan kad kredit, ayuh kita lihat beberapa jenis kad kredit yang ditawarkan serta fungsinya.

Pelbagai jenis kad kredit telah dicipta termasuk kad kredit biasa, kad kredit ganjaran, kad kredit perjalanan, kad kredit tunai dan banyak lagi.

1. Kad Kredit Biasa

Kad kredit ini membolehkan pengguna membuat pembelian dan membayar balik dengan cara ansuran bulanan. Mama dan Papa boleh membayar baki sepenuhnya atau membuat pembayaran minimum setiap bulan.

2. Kad Kredit Ganjaran

Bagi mereka yang kaki shopping atau suka swipe kad kredit setiap kali nak bayar sesuatu, haa kad kredit ganjaran memang pilihan yang tepat.

Jenis kad sebegini membolehkan pengguna untuk menerima mata ganjaran atau hadiah setiap kali menggunakannya bagi membuat pembelian. Mata ganjaran ini boleh ditukar dengan barangan, perkhidmatan, atau hadiah lain.

Berbaloi, bukan?

3. Kad Kredit Perjalanan

Kalau rasa anda kaki travel, bolehlah pertimbangkan pilihan kad kredit perjalanan. Kad ini biasanya menawarkan ganjaran dalam bentuk mata ganjaran yang boleh digunakan untuk tiket penerbangan, penginapan di hotel, atau perbelanjaan semasa melancong. Sesuailah dengan hobi anda!

4. Kad Kredit Tunai Kembali

Swipe, swipe, swipe! Eh, makin bertambah pula jumlah dalam kad kredit? Ya, untuk jenis kad kredit tunai kembali, Mama dan Papa akan menerima sebahagian daripada jumlah pembelian anda dalam bentuk wang tunai kembali, yang akan dikreditkan semula ke akaun kad kredit tersebut.

5. Kad Kredit Perniagaan

Direka khas untuk keperluan perniagaan, kad kredit ini membolehkan perniagaan membuat pembelian, mengurus tunai aliran, dan mendapatkan ganjaran khas perniagaan.

6. Kad Kredit Pengurangan Bunga

Ya, tak semua pilihan kad kredit itu mencekik diri dengan kadar interest mereka. Sesetengah bank kini dah mula perkenalkan kad kredit patuh syariah yang mana ia menawarkan kadar faedah lebih rendah atau sifar untuk tempoh masa tertentu. Ini sekaligus membantu Mama dan Papa menjimatkan wang pada baki yang tidak dilangsaikan dalam tempoh itu.

7. Kad Kredit Pelajar

Biasanya direka untuk pelajar kolej atau universiti, kad ini membolehkan pelajar membuat pembelian dengan baki yang dibayar kemudian.

Kebaikan & Keburukan Kad Kredit

Kebaikan

  1. Kemudahan Berbelanja: Kad kredit membolehkan Mama dan Papa berbelanja secara mudah tanpa perlu membawa tunai. Ini berguna terutamanya untuk pembelian online atau di tempat-tempat yang tidak menerima pembayaran tunai. Selain itu, kad kredit juga lebih menjimatkan masa sebab tak perlu Mama susah-susah nak cari duit dalam purse, bukan? Lebih-lebih lagi bagi kes penjual yang tak ada duit kecil nak pulangkan balance. Pastinya swipe lebih mudah!
  2. Credit History: Penggunaan kad kredit dapat membantu meningkatkan kredit history anda. Jika Mama dan Papa menggunakan kaedah dengan bijak dan membuat pembayaran tepat pada masanya, ia dapat memberi impak positif terhadap skor kredit anda dimana kebiasaannya ia diperlukan untuk pinjaman atau pembelian besar lain.
  3. Ganjaran dan Insentif: Banyak kad kredit menawarkan reward yang berbaloi seperti mata ganjaran, cashback, atau diskaun khas. Ini boleh menjadikan penggunaan kad lebih menguntungkan jika digunakan secara bijak. See, kad kredit adakalanya memberikan penjimatan juga, bukan?
  4. Keselamatan: Penggunaan kad kredit juga disifatkan lebih selamat sekiranya berlaku kejadian jenayah. Namun, hal sebegini memerlukan Mama dan Papa untuk cepat alert sebaik sedari kehilangan kad kredit. Segera call bank dan minta mereka block. Berbanding menggunakan cash, sekiranya diragut atau tercicir, pasti potensi Mama dan Papa untuk mendapat semula wang berkenaan tipis. Selain itu, aktivti swipe kad kredit juga membolehkan pihak berkuasa mengesan lokasi dan kedudukan penjenayah sekiranya mereka berbelanja menggunakan kad kredit anda.

Keburukan

  1. Hutang Berlipat: Jika kad kredit digunakan secara tidak bertanggungjawab, hutang boleh berlipat akibat kadar faedah yang tinggi. Pengguna mungkin terjerat dengan hutang yang sukar untuk dilunaskan.
  2. Kadar Faedah Tinggi: Kadar faedah kad kredit biasanya tinggi, jadi jika baki tidak dilunaskan sepenuhnya setiap bulan, faedah berat akan dikenakan pada baki tertunggak.
  3. Potensi Penggunaan Berlebihan: Kemudahan menggunakan kad kredit boleh membawa kepada penggunaan berlebihan. Ini boleh menyebabkan pengumpulan hutang yang sukar diuruskan.
  4. Kecilkan Skor Kredit: Penggunaan kad kredit yang tidak bijak dan pembayaran lewat boleh menyebabkan kejatuhan skor kredit, yang boleh memberi kesan negatif terhadap kemampuan mendapatkan pinjaman atau kadar faedah yang baik.
  5. Hidden Charges: Kadang-kala, penggunaan kad kredit mengandungi banyak caj tersembunyi tanpa penggunasedari. Mungkin pengguna beranggapan ada kad kredit hanya swipe- bayar hutang- repeat. Bagaimanapun, anda sebenarnya terikat dengan annual fees. Sesetengah bank menetapkan yuran tahunan kad kredit yang perlu dibayar setiap tahun. Meskipun begitu, ada juga kad yang tidak menetapkan sebarang yuran tahunan atau dikecualikan daripada membayar yuran tahunan jika berbelanja melebihi amaun yang ditetapkan. Selain itu caj faedah boleh dikenakan sekiranya anda gagal menjelaskan baki selepas tamat tarikh akhir pembayaran. Malah, caj ini juga boleh bertambah sekiranya anda tidak membuat bayaran dalam tempoh ditetapkan. Di Malaysia, kadar faedah kad kredit biasanya sekitar 13.5 hingga 17.5 peratus setahun. Yuran Pendahuluan Wang Tunai. Jika anda cash-out wang tunai di ATM melalui kad kredit anda, anda akan dikenakan caj antara tiga hingga lima peratus daripada jumlah wang yang dikeluarkan. Dan akhir sekali, Caj Bayaran Lewat. Caj ini akan dikenakan jika anda gagal menjelaskan jumlah bayaran minimum sebelum tarikh ditetapkan. Ini bermaksud, anda bukan sahaja dikenakan caj ke atas baki yang belum dijelaskan, malah anda juga akan dikenakan caj lewat bayar jika anda membuat bayaran selepas tempoh tanpa faedah berakhir.

Tips Penggunaan Kad Kredit Oleh Pakar

Bagi mereka yang berhajat nak apply kad kredit, tapi bimbang sekiranya tersilap langkah. Di sini, Mama Siti kongsikan tips penggunaan kad kredit oleh Dr Adam Zubir. Beliau merupakan Perunding Kewangan Berlesen (Certified Financial Planner) di bawah Bank Negara Malaysia dan Securities Commission.

1. Bayar jumlah hutang secara penuh atau lebih

Anda dinasihatkan untuk tidak membayar jumlah minima walaupun ia dibenarkan dalam terma dan syarat penggunaan kad kredit. Ramai orang terlepas pandang perkara ini.

Memang salah satu kemudahan yang terdapat dalam kad kredit adalah anda dibolehkan untuk membayar jumlah minima daripada jumlah keseluruhan yang anda gunakan. Biasanya jumlah minimum adalah sekitar 2%-5%. Bermakna, kalau anda guna kad kredit sebanyak RM2,000, anda boleh bayar RM40-RM100 sebagai jumlah minima.

Tapi, itu bukan cara guna kad kredit yang betul. Kerana baki hutang yang dibawa ke bil seterusnya akan dikenakan caj faedah yang boleh menyebabkan hutang anda semakin bertambah dari jumlah yang sepatutnya anda bayar.

Anda perlu ingat, caj faedah kad kredit adalah sangat tinggi iaitu mencecah maksimum 18% setahun. Sebabkan banyak pengguna tidak cakna akan hal ini, maka tidak hairan kadar kebankrapan disebabkan kad kredit menjadi tinggi setiap tahun. Kerana hutang bertambah dan makin bertambah tanpa sedar hingga memudaratkan diri sendiri.

2. Pastikan tahap kemampuan sebaiknya

Satu perkara yang anda kena jelas, kad kredit bukanlah instrumen untuk anda dapatkan duit secara segera. Atau instrumen yang anda gunakan sebab anda tak mampu nak beli sesuatu.

Sebagai pengguna kad kredit, anda perlu bertanggungjawab untuk memastikan diri anda mampu membayar semula jumlah yang digunakan. Adalah tidak bertanggungjawab sekiranya anda guna kad kredit sehingga RM5,000 sedangkan anda hanya mampu bayar RM2,000 sahaja.

Memang anda boleh guna kad kredit sehingga limit yang ditetapkan oleh bank. Tapi tak semestinya jumlah itu yang anda mampu.

Maka, sebelum guna kad kredit jangan lupa “ukur baju di badan sendiri”. Sebab itulah sebelum anda memohon kad kredit, anda perlu pastikan diri anda mampu berbelanja dalam kawalan terlebih dahulu.

3. Terhadkan bilangan kad kredit

Nak mohon kad kredit di Malaysia berbeza bergantung kepada terma dan syarat yang bank telah tetapkan. Tapi secara keseluruhannya pemohon kad kredit mesti mempunyai pendapatan untuk meyakinkan pihak bank bahawa anda boleh membayar semula transaksi yang digunakan.

Tapi cara guna kad kredit yang terbaik sepatutnya anda terhadkan bilangan kad kredit yang anda mohon. Walaupun anda layak memiliki lebih dari satu kad kredit di bank-bank yang berbeza, anda sepatutnya tidak berbuat demikian. Sebab tindakan ini lebih memberi galakan untuk anda berbelanja tanpa kawalan. Sebab anda ada “alat” untuk beli dulu bayar kemudian.

4. Elakkan guna sehingga mencecah jumlah had yang ditetapkan

Seperti biasa, setiap kemudahan pasti ada hadnya. Termasuk kad kredit. Had yang ditetapkan untuk satu kad kredit biasanya dua kali ganda dari gaji bulanan anda. Contohnya gaji anda RM3,000 sebulan. Maka had kad kredit anda adalah RM3,000 x 2 iaitu RM6,000.

Saya perlu highlight tentang had maksimum ini kerana saya tak mahu anda menggunakan kesemua jumlah yang dibenarkan. Anda boleh belanja sampai RM6,000, tapi isunya anda mampu bayar semula jumlah tersebut?

Cara guna kad kredit yang betul, pastikan anda mempunyai disiplin dengan hanya menggunakan kad kredit apabila perlu sahaja. Seperti contoh membayar peti ais baharu berharga RM1,000.

Dan anda melangsaikan hutang kad kredit RM1,000 dalam tempoh masa yang ditetapkan. Jangan guna kad kredit untuk membayar smartphone yang mencecah harga RM6,000 (contoh had kad kredit) atau apa sahaja barang/perkhidmatan yang jumlahnya mencecah keseluruhan had kad kredit anda.

5. Sentiasa periksa transaksi setiap masa

Setiap kali anda guna kad kredit, pastikan anda sentiasa periksa transaksi anda secara hitam putih. Simpan semua resit fizikal dan semak semula penyata di bank. Zaman sekarang lagi mudah, boleh log masuk secara online. Cara ini adalah supaya anda boleh mengawal perbelanjaan melalui kad kredit agar tidak menghampiri bajet perbelanjaan yang sepatutnya.

Bukan itu saja, kalau ada sebarang caj, ada percanggahan transaksi serta ada penggunaan kad kredit yang tidak dibuat atas kebenaran anda, anda boleh ambil perhatian dan merujuk semula pihak bank untuk penjelasan.

Kesimpulannya, kad kredit bukanlah instrumen kewangan yang memudaratkan orang ramai secara keseluruhan. Dalam mudarat, ada juga terselit manfaat yang besar di dalamnya.

Meskipun berlaku isu berpunca daripada penggunaan kad kredit yang saban tahun ada dalam data pihak Jabatan Insolvensi Malaysia perlu kita akui dan tidak boleh disangkal lagi, namun ia boleh dielakkan melalui disiplin diri seseorang itu.

Jika anda mampu mengawal kehendak dan akal fikiran, pastinya penggunaan kad kredit memberikan impak positif dalam kehidupan seharian anda.



Dapatkan info kewangan yang lain untuk Mama Papa di SINI.