Sikap amarah boleh timbul apabila kesabaran tidak dapat dikawal. Bukan mudah mendidik anak-anak apatah lagi sikap mereka yang boleh menyebabkan sesiapa saja naik darah. Namun, jika difikir secara rasional terdapat jarak perbezaan pemikiran seorang dewasa dengan seorang kanak-kanak. Untuk mengawal rasa marah terhadap kanak-kanak, fikirkan kesan yang anda lakukan.
Terdapat sebahagian ibu bapa yang tidak mampu menahan perasaan marah mereka dengan menengking atau melakukan kekerasan terhadap anak-anak yang nakal. Sebenarnya, tabiat suka menengking boleh merosakkan sel otak anak-anak. Menurut kajian seorang penyelidik bernama, Lise Gliot, kanak-kanak yang paling mudah terjejas adalah berusia dalam lingkungan dua hingga tiga tahun. Selain itu, tengkingan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak kurang percaya kepada diri sendiri. Mereka akan menjadi individu penakut, suka menyendiri dan tidak bersikap terbuka apabila bergaul dalam masyarakat.
Kesan lain akan menyebabkan anak berfikiran lembap dan negatif. Anak-anak ibu bapa yang mempunyai tabiat suka menengking kebiasaannya akan mudah marah, panik dan sedih. Suara tengkingan yang kuat dan terlalu kerap boleh mengakibatkan anak mengalami kesukaran dalam mendengar. Tengkingan yang berlaku tanpa henti akan menyebabkan jantung anak-anak sentiasa mengalami kejutan dan akan berdegup lebih laju. Ini membahayakan kesihatan mereka.
- Kanak-kanak mempunyai memori yang kuat. Jika anda berkasar terhadap mereka, tidak mustahil mereka akan membesar sebagai seorang yang kasar terhadap anda.
- Lebih baik anda memberi kesedaran kepada mereka berbanding memarahi dan mencederakan mereka. Anda perlu tahu bahawa kanak-kanak sebenarnya di dalam proses pembelajaran. Jika anda menegurnya dengan baik dan beri kesedaran, pasti mereka akan mendengar kata.
- Cara memberi nasihat adalah bukan dengan cara menakutkan mereka melalui kekasaran. Memukul, mencubit, menolak kepala dan lain-lain cara fizikal yang kurang baik akan menyebabkan mereka menjadi lebih teruk.
- Ubah cara mendidik anak-anak anda dengan cara berlembut dan bukannya cara kasar. Sudah nama pun anak kecil, mereka masih perlu belaian.
- Bagi masyarakat yang beragama Islam, banyakkan membaca Al-Quran kerana Al-Quran mampu melembutkan hati kanak-kanak. Jangan abai tanggungjawab anda untuk membentuk anak-anak yang pandai mengawal emosi disamping membentuk jati diri manusia yang paling baik di muka bumi.