Barah atau kanser usus merupakan kanser kedua tertinggi di kalangan kaum lelaki di Malaysia. Kanser usus, jika dirawat pada peringkat awal, boleh meningkatkan kadar kemandirian hidup selama 5 tahun kepada 90% untuk tahap pertama.
Buat pengetahuan anda semua, kanser usus adalah satu-satunya kanser yang mempunyai peluang untuk pulih meskipun berada pada tahap ke-4 dengan menjalani rawatan yang disarankan. Bahasa mudahnya, kanser usus ni kanser yang serang usus besar (kolon, recktum dan anus).
Apa Itu Usus Besar?
Usus besar ni bermula dari bahagian kanan dinamakan ‘caecum’ sehingga ke rektum. Fungsi usus besar adalah untuk menyerap air supaya najis yang terbentuk tak berair. Sebab tu lah, manusia boleh hidup sempurna walaupun tak ada usus besar.
Tapi, manusia tak boleh hidup tanpa usus kecil sebab ia berfungsi untuk serap air, vitamin dan zat makanan. Jadi, kalau tak ada usus besar pun, usus kecil boleh ambil alih tugas tersebut.
Gejala Barah Usus
Berak berdarah – darah bercampur dengan najis, kadangkala najis bewarna hitam macam kopi. Ini merupakan antara tanda-tanda awal barah usus.
Perubahan tabiat membuang air besar seperti sembelit – tabiat buang air besar bagi setiap individu adalah berbeza. Kalau dulu, hari-hari anda pergi ke tandas untuk buang air besar, barah usus boleh menyebabkan tabiat ini berkurangan kepada setiap 3 atau 4 hari sekali.
Cirit-birit – tanda anda menghidap barah usus sebelah kiri.
Sembelit diselangi dengan cirit – usus yang hampir tersumbat akan menyebabkan najis keras tak dapat melalui usus besar. Pesakit biasanya akan mengalami gejala sembelit pada ketika itu. Najis yang tersumbat ini mempunyai banyak bakteria dan akan ‘membusuk’ di dalam usus, menyebabkan air kembali diserap ke dalam usus.
Bila air diserap ke dalam usus, najis menjadi lembik dan berair. Ia menyebabkan pesakit mengalami gejala cirit. Cirit yang dialami lebih daripada l5 kali sehinggakan sesetengah pesakit mengadu tak dapat mengawal simptom cirit ini. Kitaran sembelit dan cirit akan berulang.
Tak berak & kentut serta muntah – berlaku apabila usus sudah tersumbat seratus peratus.
Hilang selera makan & turun berat badan – pesakit menjadi kurus serta hilang selera makan dalam jangka waktu yang singkat.
Sakit perut – sakit pada bahagian abdomen bergantung kepada kedudukan barah usus.
Sukar buang air besar – pesakit merasakan seperti nak buang air besar, tapi bila ke tandas, tak ada najis yang keluar. Sebab apa? Sebab kanser tu terletak pada bahagian rektum.
Bila ketumbuhan dah mula memenuhi rektum, ia akan beri mesej yang salah kepada badan seolah-olah rektum sudah dipenuhi najis. Padahal tak ada najis dalam rektum, yang memenuhinya adalah sel-sel kanser saja.
Rawatan Kanser Usus
Biasanya kanser usus dirawat melalui pembedahan. Pembedahan yang dilakukan selalunya akan memotong bahagian usus yang berpenyakit dan menyambungkan semula usus yang telah dipotong atau bahagian usus akan dibawa keluar ke otot perut dan kulit sebagai beg najis (stoma).
Tapi, tak semua bahagian kanser usus memerlukan stoma seumur hidup. Hanya kanser usus yang terletak di pangkal rectum iaitu berdekatan dengan injap (otot) yang mengawal kentut dan pembuangan air besar memerlukan stoma seumur hidup.
Kebanyakan stoma yang dipasang untuk rawatan pembedahan kanser usus adalah bersifat sementara, tapi ianya bergantung kepada tahap kanser dan status kesihatan pesakit.
Takut nak jalani pembedahan? Buat apa nak takut. Zaman dah moden, teknologi pun dah banyak berkembang. Rawatan pembedahan kanser usus sekarang boleh dibuat secara ‘laparoscopic’ atau ’key-hole’ surgery (pembedahan lubang kunci). Luka pembedahan kecil dan proses pemulihan pesakit pun lebih pantas.
Tapi selepas menjalani pembedahan, sesetengah pesakit kadang-kadang memerlukan rawatan susulan seperti kimoterapi dan radioterapi. Ini juga bergantung kepada tahap kanser semasa dikesan dan status kesihatan pesakit.
Sumber: Dr. Khoo Yoong Khean via mmgazette
BACA JUGA KANSER SERVIKS PALING BANYAK MENYERANG WANITA. MAMA SUDAH LAKUKAN UJIAN PAP SMEAR SELEPAS BERSALIN?
Pesan Mama Siti:
Buat para suami yang ada ciri-ciri calon kanser usus, segeralah berjumpa doktor untuk jalani pemeriksaan kesihatan. Terutama yang disahkan obes,bawak-bawak lah mengucap. Jangan lupa amalkan gaya hidup sihat, jaga berat badan dan amalkan diet rendah lemak dan tinggi serat.