KelabMama

Rahsia Kanser Melanoma Terungkap! Menurut Pakar Dermatologi, Ini Yang Anda Perlu Tahu

faktor kanser melanoma atau kanser kulit
Dr Irene Lee Chew Kek,
Pakar Perunding Dermatologi

Kanser Melanoma semakin menjadi perhatian apabila kes-kes diagnosis meningkat setiap tahun, terutamanya yang melibatkan jenis kanser yang lebih agresif dan sukar dikesan.

Untuk artikel kali ini, Mama Siti telah mendapatkan penjelasan Dr Irene Lee Chew Kek, Pakar Perunding Dermatologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) yang akan menjelaskan secara mendalam kepada Mama Papa mengenai kanser kulit yang boleh membawa risiko serius kepada masalah kesihatan.

Mengetahui tanda-tanda awal dan faktor-faktor yang meningkatkan risiko terkena kanser ini adalah sangat penting bagi memastikan rawatan segera dapat diberikan.

Dengan maklumat yang tepat, kita sama-sama dapat mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri dan memahami pilihan rawatan yang ada.

1. Boleh doktor terangkan secara ringkas perbezaan antara kanser melanoma dan kanser kulit yang lain?

Kanser melanoma berbeza dengan kanser kulit lain dari segi sel asal usul kanser. Kanser melanoma adalah sejenis kanser yang melibatkan sel pigmen kulit. Disebabkan kulit terdiri daripada pelbagai jenis sel, sel-sel lain juga boleh tukar menjadi kanser.

Kanser melanoma bersifat lebih aggresif berbanding dengan kanser kulit sel basal yang lebih kerap berlaku. Meskipun begitu, ada juga kanser kulit lain yang mungkin bersifat lebih agresif daripada kanser melanoma.

Disebabkan kanser melanoma berpunca daripada sel pigmen, ianya akan menyebabkan kulit menjadi hitam ataupun berwarna gelap.

Walaupun sedemikian, ada juga kanser melanoma yang membuatkan kulit cerah ataupun kanser kulit lain yang akan menyebabkan kulit bertukar menjadi gelap.

2. Apakah faktor seseorang boleh mendapat penyakit ini? Adakah berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat atau faktor genetik?

Terdapat pelbagai faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat melanoma cancer.

Jenis faktor yang meningkatkan risiko ini pula terbahagi kepada dua jenis – faktor boleh diubah suai dan faktor tidak boleh diubah suai.

Faktor-faktor tidak boleh diubah suai termasuklah peningkatan usia, pernah mengalami melanoma cancer, melanoma in situ atau kanser kulit yang lain, bilangan tanda lahir yang banyak, pernah ada lima atau lebih tanda lahir displasia, ahli keluarga pernah mengalami kanser melanoma, kulit yang cerah, mengalami sakit parkinson atau mengalami sindrom yang mempunyai kaitan dengan kanser melanoma.

Faktor-faktor yang boleh diubah suai pula termasuklah sinaran UV dan pernah mengalami kulit terbakar (sunburnt) kerana sinaran matahari.

3. Adakah terdapatnya tanda-tanda ganjil yang perlu diberikan perhatian oleh seseorang seperti perubahan di mana-mana postur tubuh atau perubahan dalaman (seperti hilang selera makan, mudah demam dan sebagainya) bagi seseorang yang diserang kanser melanoma pada peringkat awal?

Pada peringkat awal, biasanya seseorang tidak akan mengalami apa-apa tanda gejala dalaman.

Tanda awal kanser melanoma ialah kelihatan tompokan hitam ganjil dari segi bentuk, warna dan bentuk yang tidak konsisten, perubahan yang mendadak dari segi saiz, bentuk ataupun warna. Kadang kala, ianya boleh berdarah, atau menyebabkan kegatalan.

Gejala dalaman juga boleh berlaku sekiranya kanser itu sudah di tahap yang lebih serius atau telah merebak lalu menyebabkan simptom seperti kurang selera makan, turun berat badan, batuk, sesak nafas, sawan, kulit kelihatan kuning and sebagainya.

4. Bagaimanakah doktor mendiagnosis kanser melanoma ke atas pesakit?

Apabila doktor menyesaki sesuatu tompok berkemungkinan ialah melanoma cancer, doktor akan menjalankan pemeriksaan dermatoskop. Jika tompokan ini menunjukkan ciri-ciri kanser, doktor akan membuat biopsi ke atas tompokan itu.

Menerusi biopsi, sampel kulit akan diuji untuk memastikan sekiranya ia adalah melanoma cancer, jenis melanoma cancer dan berapa dalam cancer ini telah merebak ke dalam tubuh.

Seterusnya, ujian radiologi seperti PET scan, CT scan dan sebagainya akan dijalankan untuk mengkaji jika melanoma cancer ini telah merebak dan untuk menentukan tahap melanoma cancer tersebut.

5. Sekiranya individu itu berdisiplin dalam menjalani pemeriksaan kesihatan, adakah ia mampu membantu mengesan kehadiran melanoma?

Bagi individu yang berisiko tinggi, pastikan pemeriksaan tanda lahir dibuat setiap tahun. Pemeriksaan ini tidak biasa dilakukan semasa pemeriksaan kesihatan tahunan.

Ianya boleh di buat di klinik kulit atau pun klinik lain yang menawarkan perkhidmatan ini.

Sebenarnya, orang ramai memang disyorkan untuk membuat pemeriksaan tanda lahir ini setiap tahun supaya kanser ini boleh dikesan awal dan dirawat dengan secepat mungkin.

6. Sekiranya kanser ini dikesan pada tahap lewat, adakah masih terdapat peluang untuk pesakit itu pulih dan bebas daripada kanser ini?

Ada beberapa faktor penting untuk menentukan peluang untuk kanser ini pulih ataupun untuk memastikan ia dalam tahap terkawal, sekiranya dikesan pada tahap lewat.

Ini termasuk lokasi di mana melanoma ini berlaku, jenis mutasi dan status pesakit. Lokasi dan jenis mutasi akan menentukan rawatan yang boleh digunakan dan keberkesannya untuk merawat kanser ini.

Status pesakit juga penting untuk menentukan jikalau pesakit itu boleh menjalani rawatan kanser ini seperti radioterapi, pembedahan, kemoterapi dan juga terapi sasaran (immunotherapy).

7. Adakah terdapat kaedah yang boleh diamalkan bagi mencegah seseorang daripada mendapat melanoma? (Contoh pemakaian sunscreen, buah-buahan khas yang boleh mengurangkan risiko kanser dan sebagainya?

Pencegahan radiasi UV adalah langkah utama untuk mencegah kanser melanoma. Penggunaan sunscreen yang betul adalah penting.

Sunscreen SPF 50 dan ke atas dan untuk UVA amat digalakkan. Jikalau Mama Papa berada di bawah matahari terik, sunscreen perlu ditambah atau dipakai semula setiap 2 jam.

Penggunaan payung, topi, baju lengan panjang dan seluar panjang amat digalakkan untuk mengurangkan radiasi UV terutamanya semasa berada di bawah matahari terik.

Selain itu, orang ramai digalakkan untuk menjalani pemeriksaan tanda lahir setiap tahun terutamanya untuk pesakit yang ada banyak tanda lahir ataupun mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser melanoma.

8. Adakah melanoma boleh merebak dengan cepat?

Terpulang kepada jenis melanoma cancer, ada melanoma cancer yang boleh merebak dengan cepat.

Jikalau pesakit ada tanda lahir yang menunjukkan sebarang perubahan, mereka digalakkan untuk berjumpa dengan doktor dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Ada juga melanoma cancer yang merebak dengan lambat.

9. Apakah rawatan yang akan diberikan kepada pesakit kanser melanoma?

Rawatan untuk kanser melanoma bergantung kepada tahap, jenis kanser melanoma, lokasinya, jenis mutasi gen, status pesakit dan sebagainya.

Jika dikesan awal, biasanya pembedahan untuk membuang kanser ini sudah memadai untuk merawat pesakit.

Bagi kanser melanoma yang lebih serius, rawatannya termasuklah pembedahan, ubat-ubatan dan radiasi. Ubat yang boleh merawat kanser melanoma bergantung kepada mutasi kanser ini.

Jikalau mutasi itu boleh dirawat melalui rawatan sasalan (targeted therapy) dan jika status pesakit bersesuaian, rawatan ini akan digunakan.

Kadang-kala,rawatan terapi immuno ataupun kemoterapi boleh juga digunakan untuk merawat pesakit dengan kanser melanoma.


Apa yang Mama perlu lakukan untuk kurangkan sakit pinggang ketika mengandung? Klik di SINI.