Limfoma adalah sejenis kanser berkaitan dengan sejenis sel, iaitu limfosit, yang terlibat dengan sistem imunisasi manusia. Sepertimana jenis kanser yang lain, limfoma terbahagi kepada jenis-jenis tertentu, hampir 35 jenis telah dikenal pasti, bergantung kepada jenis sel yang terlibat. Sistem limfa dalam badan manusia adalah terdiri daripada sel-sel limfosit yang melalui jaringan saluran limfa ke seluruh badan, dan juga kelenjar limfa. Bendalir limfa akan membawa virus dan bakteria yang masuk kedalam badan, dan seterusnya akan di tapis di kelenjar limfa sebagai cara badan manusia bertindakbalas terhadap jangkitan kuman. Ini menyebabkan kelenjar limfa membengkak dan sakit. Sel-sel limfosit pula terbahagi kepada dua, iaitu B dan T linfosit yang masing-masing berperanan mengeluarkan antibodi dan mengaktifkan tindakbalas badan menghadapi serangan kuman.
SISTEM LIMFATIK MANUSIA
Kanser berlaku apabila sel-sel ini mengalami perubahan tingkahlaku dimana ia tumbuh dan berkembang dengan tidak terkawal. Perubahan ini dinamakan ‘malignant transformation’, dimana ia menyebabkan pengumpulan sel yang luar biasa, pembengkakan kelenjar limfa, dan seterusnya merebak ke organ sekeliling dan juga tisu otak, usus, tulang, paru-paru dan sum sum tulang. Ini menyebabkan fungsi organ–organ penting terganggu dan kemerosotan tahap kesihatan pesakit, dan akhirnya boleh membawa maut jika tidak dirawat dari awal.
Limfoma terbahagi kepada dua kategori umum, iaitu Hodgkin dan Non Hodgkin. Kedua-dua jenis menunjukkan simptom penyakit yang serupa, dan pembengkakan boleh berlaku di mana– mana kelenjar limfa. Perbezaan diagnosis adalah penting, kerana jenis rawatan dan prognosis penyakit adalah berlainan. Ini dilakukan dengan penelitian dan ujian –ujian tertentu kepada sel- sel kanser, dan diagnosis penyakit boleh memakan masa yang lama, kerana sesetengah jenis limfoma adalah sukar dikenal pasti dan memerlukan kepakaran dalam bidang patologi, molekular dan genetik.
Terdapat faktor-faktor tertentu yang menyumbang kepada terjadinya limfoma seperti berikut :
- Faktor umur : kanser limfoma meningkat dengan peningkatan umur seseorang. Dikatakan dalam golongan muda berumur 20 hingga 24 tahun, insiden limfoma adalah 2.4 kes dalam 100,000, tetapi meningkat kepada 46 kes dalam 100,000 dalam golongan dewasa berumur 60 hingga 64 tahun.
- Jangkitan kuman bakteria dan virus seperti HIV, EBV, helicobacter pylori, hepatitis B dan C.
- Penyakit yang merendahkan sistem imunisasi badan seperti :
- penyakit autoimmun
- penggunaan ubat immunosuppressive selepas pemindahan organ
- penyakit keturunan seperti ataxia telangectasia.
- Pendedahan kepada bahan toksik seperti : racun serangga, racun rumpai dan benzene.
- Genetik atau keturunan kanser.
TANDA-TANDA PENYAKIT LIMFOMA
- Pembengkakan kelenjar limfa yang tidak sakit, atau bengkak pada hati dan limpa.
- Demam berpanjangan
- Hilang selera makan
- Penurunan berat badan yang mendadak
- Rasa keletihan dan tidak bertenaga kerana kekurangan darah dan selera makan
- Ruam kulit dan kegatalan (boleh berlaku dalam 25 % kes , selalunya di bahagian kaki)
- Tanda-tanda lain yang berkaitan dengan pembengkakan kelenjar limfa di bahagian tertentu seperti batuk dan sesak nafas (paru-paru), berak berdarah (usus), pening dan sawan (otak) atau kelumpuhan (sistem saraf).
TAHAP LIMFOMA
- PERINGKAT 1
Penglibatan kawasan nod limfa tunggal atau extralymphatic tunggal (lE)
- PERINGKAT 2
Penglibatan dua atau lebih kawasan nod limfa di bahagian yang sama diafragma; mungkin termasuk extralymphatic setempat
- PERINGKAT 3
Penglibatan kawasan nod limfa di kedua-dua diafragma; mungkin termasuk limpa (llls) atau setempat
- PERINGKAT 4
Penyerapan penyakit extralymphatic (contohnya di dalam hati, sumsum tulang, paru-paru, kulit)
RAWATAN KANSER LIMFOMA
Perancangan untuk rawatan limfoma adalah bergantung kepada jenis dan tahap limfoma, serta kebarangkalian untuk kanser berulang. Sebelum memulakan rawatan, doktor akan berbincang dengan pesakit dan menerangkan tentang perancangan rawatan, kesan baik dan kesan sampingan, serta harapan untuk sembuh. Ini adalah penting kerana sesi rawatan akan mengambil masa 6 hingga 8 bulan, dan kerjasama sepenuhnya dari pihak pesakit dan sokongan moral yang berterusan dari pihak keluarga banyak membantu dalam kejayaan rawatan seseorang pesakit. Secara umumnya, rawatan terbahagi kepada beberapa jenis bergantung kepada jenis dan tahap kanser.
- Pembedahan
Terhad kepada jenis non hodgkin’s limfoma tahap 1, iaitu organ selain dari kelenjar limfa seperti limfoma perut, tiroid dan limpa (spleen).
- Radiasi
-Melibatkan dos radiasi yang tinggi, dan boleh membunuh sel-sel kanser
Digunakan untuk jenis limfoma tahap 1 atau 2, sekiranya kanser di tahap 3 atau 4, rawatan ini digabungkan bersama kemoterapi.
-Radiasi seluruh badan akan diberikan kepada pesakit yang menjalani rawatan pemindahan sum sum tulang (bone marrow transplant) bertujuan untuk membunuh semua sel kanser di seluruh badan
Juga diberikan sebagai paliatif (rawatan untuk melegakan simtom) kepada pesakit kanser tahap akhir, dan juga sebagai cara untuk menghilangkan kesakitan , contohnya radiasi pada sistem saraf tunjang dan bahagian otak yang terlibat.
- Kemoterapi dan immunoterapi
-Kemoterapi terdiri daripada beberapa jenis ubat yang membunuh sel-sel yang berkembangbiak dengan cepat seperti sel kanser, akan tetapi sel-sel lain seperti dinding usus, mulut, folikel rambut dan sum sum tulang juga akan turut terjejas.
-Ini menyebabkan kesan–kesan sampingan kemoterapi akan terjadi seperti loya, muntah, keguguran rambut, luka pada mulut , ceret-beret dan juga gangguan sel-sel darah seperti anemia (kurang darah merah), neutropenia (kurang darah putih) dan thrombocytopenia (kurang darah platelet). Kesan toksik pada organ-organ penting seperti paru-paru, jantung dan buah pinggang juga boleh berlaku, terutama pada pesakit yang menerima kemoterapi berulang kali.
-Kesan jangka panjang kemoterapi pula ialah kemandulan dan risiko untuk mengalami secondary malignancy (kanser sekunder) boleh berlaku dalam masa 5 hingga lebih sepuluh tahun selepas rawatan kemoterapi.
-Immunoterapi adalah cara rawatan dengan memberikan antibodi yang dihasilkan secara klon (monoclonal antibody), bertujuan untuk membantu sistem pertahanan badan untuk melawan antigen yang terdapat pada sel-sel kanser. Rawatan ini biasanya digabungkan dengan kemoterapi.
-Kesemua ubatan kemoterapi boleh diberikan melalui mulut atau saluran darah (intravenous), tetapi tidak sampai kepada sisem saraf dan selaput otak. Oleh yang demikian, cara intrathecal, iaitu melalui suntikan pada air tulang belakang akan dilakukan pada jenis limfoma tertentu.
- Pemindahan sum sum tulang (bone marrow transplant)
-Rawatan ini melibatkan penggunaan kemoterapi pada dos yang tinggi , bertujuan untuk mengosongkan sum sum tulang (myeloablative), diikuti dengan pemindahan sel stem (sel induk) yang telah diperolehi daripada pesakit sendiri (autologous transplant) atau daripada penderma lain (allogenic transplant).
-Proses pengumpulan sel stem adalah dilakukan dengan ‘apheresis’, iaitu pengambilan sel stem daripada sel-sel limfosit penderma.
Rawatan ini terhad kepada jenis kanser yang berulang, kanesr yang tidak menunjukkan respon yang baik kepada kemoterapi, serta jenis limfoma yang agresif dan mudah berulang.
- Prognosis
Prognosis atau harapan untuk sembuh pada pesakit limfoma adalah baik, tetapi banyak bergantung kepada umur dan keadaan pesakit, jenis dan tahap kanser, serta respon kepada rawatan. Pada kebiasaannya para doktor akan memberikan kadar ‘5- year survival rate’, iaitu peratusan pesakit yang masih hidup selepas 5 tahun disahkan mengidap kanser. Anggaran peratusan ini diperolehi hasil pemerhatian pada kajian yang melibatkan bilangan pesakit yang ramai, tetapi tidak dapat diguna pakai secara tepat kerana setiap individu adalah berbeza dari segi sistem biologinya dan respon pada rawatan.
Secara dasarnya, ‘5-year survival rate’ kepada pesakit non hodgkin’s limfoma adalah 69 %. Bagi jenis kanser hodgkin’s limfoma, ‘5- year survival rate‘ adalah lebih baik , iaitu 91-94 % bagi kanser tahap 1 dan 2, 59-90% bagi kanser tahap 3 dan 4. Oleh yang demikian, pemeriksaan dan pemantauan yang berterusan adalah sangat penting, walaupun pesakit telah habis menjalani rawatan. Ini kerana, beberapa jenis limfoma boleh berulang, walaupun selepas tamat rawatan, dan ini memerlukan pertukaran jenis kemoterapi atau pemindahan sum-sum tulang.
Sumber: myhealth.gov.my