Ye ramai mama yang risau bila due date bersalin dah tiba tapi masih belum ada tanda-tanda nak bersalin. Ramai juga mama yang bertanyakan kepada Kelabmama, kenapa mereka masih tak ada tanda-tanda nak bersalin sedangkan dah sampai due date. Apa sebab sebenarnya yang menyebabkan kandungan jadi overdue ni?
Menurut Dr Maiza Binti Tusimin, Ketua Jabatan / Pakar Perundingan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, tempoh normal kehamilan adalah di antara 37 hingga 42 minggu, juga dikenali sebagai tempoh matang kehamilan. Manakala kehamilan yang melewati tempoh 42 minggu pula diklasifikasikan sebagai kehamilan postmatang ; postterm pregnancy atau dalam bahasa mudah ; overdue.
HANYA 4% WANITA BERSALIN PADA TARIKH JANGKAAN
Secara klinikalnya, hanya 4% (1 dari 20) wanita akan bersalin pada tarikh jangkaan bersalin mereka dan sebanyak 10% wanita akan mengalami kelahiran postmatang. Penetapan tarikh bersalin adalah amat penting bagi menentukan sama ada mama hamil benar-benar postmatang.
Penetapan tarikh kelahiran yang betul dan tepat perlu dilakukan pada usia awal kehamilan dengan menggunakan tarikh hari pertama haid yang terakhir berdasarkan pengiraan peraturan Naegele’s dan juga menjalani ujian imbasan ultrasound awal (dating scan).
APA SEBABNYA KANDUNGAN POSTMATANG?
Penyebab kepada kehamilan postmatang ni adalah tak diketahui. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang boleh membuatkan mama hamil berisiko tinggi iaitu :
- kehamilan pertama
- mama yang mengalami sejarah kehamilan postmatang sebelumnya
- faktor genetik juga salah satu antaranya. Satu kajian menunjukkan peningkatan risiko kehamilan postmatang pada wanita yang sendiri lahir sebagai bayi postmatang!
4 RISIKO KANDUNGAN POSTMATANG
Risiko kelahiran postmatang yang paling buat mama cemas adalah risiko kematian bayi dalam kandungan. Insiden ini meningkat pada kehamilan yang berterusan melebihi 42 minggu. Walaubagaimanapun, risiko ini agak kecil, dengan 4 hingga 7 kematian bagi setiap 1000 kelahiran (berbanding 2 hingga 3 kematian bagi setiap 1000 kelahiran untuk kehamilan normal). Risiko yang lain termasuklah ;
#1 SAIZ BADAN BAYI BESAR
Bayi postmatang ni mempunyai peluang yang lebih besar untuk mengalami komplikasi yang berkaitan dengan saiz badan yang lebih besar (makrosomia); berat melebihi 4kg. Ini berkait rapat dengan komplikasi trauma kelahiran pada bayi (distosia bahu).
#2 ‘POSTMATURITY SYNDROME’
Sindrom ini merujuk kepada janin yang pertumbuhannya dalam rahim mama terbantut selepas tarikh jangkaan, lazimnya disebabkan oleh masalah dengan pengaliran darah ke janin melalui plasenta.
#3 SINDROM ASPIRASI MEKONIUM
Lebih dikenali sebagai keadaan dimana bayi ‘tertelan najis’. Lebih banyak hari postmatang, bayi lebih cenderung untuk mengalami sindrom ini yang boleh menyebabkan masalah pernafasan apabila bayi dilahirkan.
#4 RISIKO KEPADA MAMA
Risikonya termasuklah masalah ketika kelahiran, kecederaan pada perinuem dan juga peningkatan kadar kelahiran caesarean.
APA YANG PAKAR PERBIDANAN BOLEH LAKUKAN UNTUK MAMA?
Bila kandungan dah lebih dari usia 40 minggu, mama perlu pantau pergerakan bayi melalui FKC (sekurang-kurangnya 10 pergerakan dalam tempoh 12 jam), hadir ke lawatan susulan antenatal setiap minggu dan segera ke hospital sekiranya pergerakan bayi kurang memuaskan atau pecah air ketuban.
Kandungan air ketuban dan degupan jantung bayi akan dipantau pada setiap lawatan susulan antenatal. Polisi kebanyakan hospital untuk kehamilan postmatang adalah untuk melakukan prosedur ‘induce’ atau memaksa kelahiran pada minggu ke 41 atau paling lewat pada usia kandungan 41 minggu 2 hari. Hospital tidak akan sesekali membenarkan kehamilan melebihi 42 minggu kerana ia boleh meningkatkan risiko kematian bayi dalam kandungan.
INI TIPS UNTUK MAMA YANG HAMIL POSTMATANG!
- Sentiasa aktif bergerak dan tidak hanya berbaring sahaja
- Lakukan senaman mudah dan tidak membahayakan seperti berjalan, yoga atau senaman Kegel.
- Sentiasa peka dan pantau pergerakan bayi.
- Jangan takut untuk menjalani hubungan intim! (Kajian mendapati air mani suami mengandungi prostaglandin yang menyebabkan kontraksi dan mencetuskan proses kelahiran)
- Bertenang kerana stres akan menyebabkan badan mama lebih tidak bersedia untuk bersalin.
- Amalkan doa dan zikir.