Almaklumlah bila dah masuk trimester ketiga terutamanya dah nak dekat bersalin memang tidur jadi tak lena dibuatnya. Ubahlah posisi macam mana pun sama je. Mata dah mengantuk tapi tak boleh nak tidur sebab kepanasanlah, sakit pingganglah, sakit badanlah, sakit kakilah, asyik nak terkencinglah dan macam-macamlah. Itulah dugaan yang akan dilalui setiap mama yang hamil. Dah bersalin nanti lain pula dugaannya ye.
WAKTU TIDUR MAMA HAMIL 7 HINGGA 9 JAM
Mama hamil kena cukup tidur sekitar 7 hingga 9 jam kerana ia penting untuk menjaga tekanan darah mama. Kalau mama hamil tak cukup tidur kurang dari 5 jam berisiko untuk dapat gangguan preeklamsia.
Preeklamsia adalah komplikasi kehamilan serius yang melibatkan peningkatan tekanan darah. Tapi kalau terlebih tidur pada waktu malam dan siang pun bermasalah juga. Kalau tidur lebih dari 10 jam juga boleh dapat risiko yang sama tau.
Mama jangan bimbang, jangan susah hati ye. Mama Siti akan kongsikan beberapa tips untuk mama selesa tidur walaupun dah sarat mengandung.
TIPS TIDUR LEBIH LENA
#Elak minum banyak waktu malam
Bila mama kurang minum air maka kuranglah mama ke toilet. Kalau tak asyik nak buang air kecil je sampai tidur pun tak nyenyak.
#Jangan makan banyak sangat ye mama
Biasalah time pregnant ni masa waktu malamlah nak makan itu, nak makan ini. Sudahnya bila dah kenyang sangat langsung tak boleh nak tidur.
#Mandi dengan air suam
Cuba mama mandi dengan air suam bersama sabun kegemaran mama. Bila rasa segar, tidur pun jadi lena. Tak gitu?
#Sokong badan guna bantal
Mama Siti sarankan mama gunakan bantal pada bahagian pinggang atau pinggul. Mama akan rasa lebih selesa sebab bahagian tu yang selalu rasa tak selesa masa tidur kan. Tak pun mama guna ‘pregnancy pillow’. Confirm selesa!
#Cari posisi tidur yang selesa
Nak tahu posisi tidur paling selesa semasa hamil? Posisi tidur mengiring ke sisi kiri adalah yang disarankan kerana posisi ini dapat membantu melancarkan pengaliran darah, oksigen dan nutrisi ke plasenta.
#Pentingnya Kalsium untuk tubuh mama hamil
Mama jangan skip pengambilan kalsium tau! Kalsium bagus untuk mama yang hamil supaya lepas bersalin nanti mama kurang berisiko mendapat asteoporosis.
#Minum air suam/susu panas
Percayalah kalau mama minum air suam atau susu panas akan membantu mama tidur nyenyak. Ini kerana susu mengandungi amino tryptophan yang meningkatkan kadar serotonin dalam otak yang sangat membantu untuk tidur yang nyenyak.
#Lakukan teknik ’Deep breath’
Ini dipanggil latihan pernafasan yang teratur dapat kurangkan ketegangan otot dan bantu tidur lebih baik. Cari posisi yang selesa dan tarik nafas melalui hidung secara perlahan , tahan selama 1-2 minit. Lepas nafas guna mulut secara perlahan. Buat beberapa kali.
#Berehat sepuasnya
Lama kelamaan mama pasti dapat agak bila bayi dalam kandungan bergerak aktif. Jadi sebelum dia memulakan aksinya, mama berehatlah sepuasnya!
#Urutan Kasih Sayang
Urutan sangat membantu untuk dapatkan tidur yang nyenyak. Urut dengan minyak aromaterapi pasti buat mama rasa selesa. Ditambah pula kalau encik suami yang urut dapat merapatkan hubungan.
Walaubagaimana pun, mama hamil memang tak dapat lari dari masalah susah nak tidur apatah lagi bila dah hujung-hujung nak bersalin ni. Kena sabar ye mama! Semoga tips-tips ni dapat membantu mama untuk dapatkan tidur yang cukup dan lena.
Selamat mencuba!