Baru-baru ini rakyat Malaysia terkeut dengan satu berita berkenaan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun di sebuah daerah dalam negeri Kedah, memandu dan kemudian terlibat dalam sebuah kemalangan, bersama adiknya yang berusia 3 tahun sebagai penumpang.
Seputar berita ini pelbagai spekulasi yang timbul. Maklumat demi maklumat baru, menghujani para netizen, dibalas dengan kritikan demi kritikan. Dan tak kurang juga sebilangan netizen yang berkongsi pendapat mengkritik malah mengecam ibu bapa kanak-kanak tersebut.
Antara maklumat yang tular di media sosial adalah pada mulanya, kanak-kanak tersebut ingin “pi beli mainan”. Namun setelah isu ini makin menjadi bualan hangat rakyat timbul pula “cerita” kereta tersebut “dipandu” oleh lembaga yang digelar “Tok wan” oleh kanak-kanak tersebut bersama dua lagi watak ghaib yang digelar “Pak cik” dan “Pak lang”. Namun sejauh mana kebenaran yang tepat, hanya diketahui oleh pelakunya sendiri.
Tipu helah adalah salah satu teknik biasa digunakan oleh manusia untuk melepaskan diri dari sesuatu masalah. Tetapi bagi anak-anak pula terdapat satu persepsi bahawa “budak-budak takkan menipu”.
Seberapa tepatkah persepsi ini, atau adakah ianya palsu?
Kanak-Kanak dan Menipu?
Bila Kanak-Kanak Mula Menipu
Anak-anak anda boleh belajar bercakap bohong sejak kecil, (biasanya sekitar 3 tahun). Ini adalah apabila mereka mula menyedari bahawa anda tidak mengetahui semua perkara, jadi mereka boleh menipu tanpa anda mengetahui.
Kanak-kanak berbohong lebih kerap pada usia 4-6 tahun. Mereka mungkin menjadi lebih baik dalam bercakap bohong dengan memadankan ekspresi muka dan nada suara mereka dengan apa yang mereka katakan.
Apabila mereka makin membesar, dan lebih memahami perkataan dan perasaan orang lain, mereka boleh berbohong dengan lebih berjaya tanpa diketahui.
Menjelang usia remaja pula, didapati kanak-kanak mula kerap “tipu sunat” untuk mengelak daripada menyakiti perasaan orang lain.
Mengapa Kanak-Kanak Menipu
Kanak-kanak mungkin berbohong untuk:
- Menutup sesuatu supaya mereka tidak mendapat masalah
- Melihat cara anda akan bertindak balas
- Menjadikan cerita lebih mendebarkan percubaan
- Mendapatkan perhatian atau menjadikan diri mereka lebih baik
- Mendapatkan sesuatu yang mereka mahu
- Mengelakkan menyakiti perasaan seseorang
Menggalakkan Anak Bersikap Jujur
Apabila anak anda sudah cukup dewasa untuk memahami perbezaan antara benar dan tidak benar (mumayyiz), anda perlu menggalakkan mereka untuk bersikap jujur.
Anda perlu menekankan tentang kepentingan bersikap jujur dalam keluarga anda dan bantu anak-anak memahami perkara yang boleh berlaku jika mereka berbohong.
Berikut adalah beberapa tips:
- Buat perbualan tentang berbohong dan bercakap benar dengan anak-anak anda. Contohnya, ‘Apa perasaan Mama kalau Papa tipu Mama?’
- Bantu anak anda mengelakkan situasi yang mereka rasa perlu berbohong. Contohnya, jika anda bertanya kepada anak anda sama ada mereka menumpahkan susu, anak anda mungkin akan berbohong. Anda boleh mengajak anak bersama mengemas.
- Puji anak anda kerana jujur melakukan sesuatu yang salah. Sebagai contoh, ‘Papa suka sangat adik jujur dengan Papa. Jom kita sama-sama bersihkan.”
- Jadilah teladan untuk bercakap benar.
- Bergelak ketawa untuk menggalakkan anak anda mengakui pembohongan. Sebagai contoh, anak prasekolah anda mungkin berkata, ‘Teddy bear adik yang pecahkan cawan! Anda boleh berkata seperti, ‘Kengapa teddy buat macamtu?’ Teruskan jenaka itu sehingga anak anda mengakuinya.
Imaginasi vs Penipuan
Berpura-pura dan berimaginasi adalah penting untuk perkembangan anak anda, dan adalah baik untuk menggalakkan permainan seperti ini. ‘Tall tales” tidak perlu dianggap sebagai pembohongan, terutamanya untuk kanak-kanak di bawah 4 tahun.
Jika anak anda mereka cerita tentang sesuatu, anda boleh membalas dengan mengatakan sesuatu seperti, ‘Wah! Menarik cerita Adik! Kita boleh buat buku ni!’. Perkara ini dapat menggalakkan imaginasi dan mengasah bakat anak anda tanpa menggalakkan pembohongan.
Mengatasi Sikap Menipu Anak
Jika anak anda sengaja berbohong, langkah pertama ialah memberitahu anak anda bahawa berbohong itu perkara yang salah. Anak anda juga perlu tahu sebabnya. Anda juga boleh membuat peraturan keluarga tentang berbohong.
Langkah seterusnya ialah memberi hukuman yang sesuai. Apabila anda mengenakan hukuman, cuba asingkan hukuman kepada pembohongan dan tingkah laku yang menyebabkan anak anda menipu.
Sebagai contoh, jika anak anda melukis di dinding dan kemudian berbohong, anda boleh mengenakan hukuman bagi kedua-dua perkara tersebut. Sebagai contoh, mengenakan hukuman untuk berbohong dan kemudian membersih bersama-sama.
Sikap kasar hanya akan membuat anak lebih degil malah dirisaukan anak-anak akan menggunakan kekerasan kepada tempat yang tidak sepatutnya dan terjadi kes buli dan sebagainya.
Berikut adalah idea mengatasi sikap menipu anak-anak:
- Bercakap dengan tenang tentang berbohong dan kesannya terhadap hubungan anda dengan anak anda. Bagaimana jika keluarga dan rakan berhenti mempercayai anak anda.
- Sentiasa beritahu anak anda apabila anda tahu bahawa mereka tidak bercakap benar. Tetapi cuba elakkan terus bertanya kepada anak anda jika mereka bercakap benar. Elakkan juga memanggil anak anda sebagai ‘penipu’. Anda boleh mengatakan sesuatu seperti ‘Adik selalunya cakap betul-betul dengan papa. Tapi Papa tak faham macam mana dinding ni boleh kena conteng”.
- Permudahkan anak anda untuk tidak berbohong. Anda boleh fikirkan kenapa anak anda bercakap bohong. Sebagai contoh, jika anak anda berbohong untuk mendapatkan perkara yang mereka inginkan, cuba pertimbangkan “sistem ganjaran” yang membuatkan anak anda berusaha untuk dapatkan barangan tersebut.
Lebih banyak info tentang perkembangan anak anda di SINI.