KelabMama

Kanak-kanak 9 Tahun Dikhuatiri Lemas di Pantai Tanjung Balau

lemas

Ketika rakyat Malaysia seronok menyambut Tahun Baru Cina dan musim cuti yang panjang, satu kejadian malang telah menimpa sebuah keluarga. Kegembiraan sebuah keluarga berkelah berakhir tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas ketika bermain di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi.

Dalam kejadian yang berlaku pada 6 Februari yang lalu, mangsa, Nurul Ain Sajali, 9 tahun, dipercayai sedang bermain dengan dua beradiknya yang lain. Mereka dikatakan bermain berhampiran tepi pantai sebelum ditarik arus laut. 

Lokasi seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas ketika bermain di Pantai Tanjung Balau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata mangsa berasal dari Kota Masai, dekat Pasir Gudang. Pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5:03 petang dan seramai 10 anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak terbabit. 

Ahli Keluarga Panik


Difahamkan kejadian berlaku kira-kira 3 petang, berkemungkinan ahli keluarga panik untuk memaklumkan kepada kami dan memutuskan untuk mencari sendiri dahulu di permukaan laut,

katanya. 

Kesukaran untuk Sampai ke Lokasi

Sebaik menerima panggilan, bomba terus ke sini, namun mengalami kesukaran untuk sampai ke lokasi yang mana tertangguh kira-kira 45 minit berikutan sesak dengan orang ramai, sebelum mendapat bantuan anggota polis untuk melancarkan laluan masuk ke dalam. Laporan awal yang diterima membabitkan tiga mangsa dipercayai hampir lemas ketika mandi laut, namun dua daripadanya sempat diselamatkan oleh orang awam,

ujar beliau. Mohd Fadli turut berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sehingga jam 9.30 malam semalam, namun, hanya ditumpukan di persisiran pantai.

Kredit: Berita Harian Online

Laut Bergelora

Katanya keadaan laut di lokasi kejadian dilihat bergelora dan bendera merah turut berkibar sebagai amaran keadaan laut tidak selamat bagi pengunjung. Menurut laporan Astro Awani, operasi mencari dan menyelamat mangsa akan diperluaskan mulai 7 pagi hari ini (Khamis). 

Semoga semuanya dipermudahkan untuk pasukan penyelamat, dan takziah diucapkan pada keluarga mangsa.

Dapatkan produk bayi dengan tawaran menarik di Motherhood.com.my and JOM join NewMama bersama KelabMama hari ini!