KelabMama

Anak Ditinggalkan Berseorangan Dalam Kereta Berkunci di Tesco Cheras

kereta

Seorang kanak-kanak berdepan detik kecemasan apabila dia dilihat ditinggalkan di dalam kereta yang berkunci di sebuah hypermarket di Cheras. Kejadian yang berlaku pada 16 Januari baru-baru ini disaksikan orang ramai yang membeli-belah di hypermarket tersebut. 

Kanak-kanak tersebut dijumpai orang ramai yang lalu lalang, yang perasan keadaannya sedang menangis seperti ketakutan. Risaukan keadaannya yang berada dalam kereta yang pintu dikunci dan tingkap ditutup, dibawah matahari terik, orang ramai terus membuat laporan kepada pegawai keselamatan yang ada disitu.

30 Minit Ditinggalkan di Dalam Kereta 

Berdasarkan status yang dikongsi di laman Facebook, kanak-kanak itu berada hampir 30 minit di dalam kereta berseorangan. Selepas laporan kepada pegawai keselamatan dibuat, satu pengumuman dibuat pihak pusat membeli-belah tersebut.

Bapa Terus Berlalu Pergi

Beberapa minit kemudian, baru si bapa muncul. Melihatkan keadaan keretanya dikerumuni orang ramai, bapa tersebut dikatakan terus masuk kereta dan terus berlalu pergi. Bapa berkenaan seperti tidak berani untuk berhadapan dengan orang ramai mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu. 

Harapnya kanak-kanak tersebut sihat sahaja dan semoga ibu bapanya lebih berhati-hati selepas ini. 

Sebagai ibu bapa, apa yang Mama harus lakukan untuk mengelak daripada berlakunya kejadian ini kepada anak Mama? Bukan sahaja anak-anak, kita yang dewasa pun bahaya kalau ditinggalkan lama dalam kereta berkunci, di bawah cahaya matahari. Berisiko untuk terkena strok haba. Berikut merupakan tips-tips yang dikongsikan Dr Kamarul Arifin untuk mengelakkan kejadian ini daripada terjadi kepada anak anda. 

Tips untuk Mengurangkan Kebarangkalian Perkara ini Terjadi kepada Anak Mama

1. Jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu kerana di situ adalah titik buta (blindspot). Lebih baik letak kerusi kanak-kanak di bahagian belakang tempat duduk penumpang agar ia berada dalam ruang pandangan.

Letakkan kerusi kanak-kanak dibelakang kerusi penumpang.

2. Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa dalam kabin (termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang) sebelum mengunci kenderaan anda. Mulakan amalan ini mulai sekarang!

3. Letak patung permainan di kerusi kanak-kanak. Apabila letak anak di dalam kerusi itu, pindahkan patung tersebut di tempat duduk penumpang hadapan. Pilih patung yang besar dan berwarna terang. Patung itu peringatan bahawa anak anda dibelakang.

Patung anak adalah peringatan bahawa anak Mama ada dibelakang.

4. Jika anda ada membawa beg susu anak anda bersama, sentiasa letak beg susu itu di bahagian hadapan. Konsepnya sama seperti tip ke-3. Ia peringatan bahawa anak anda ada di kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang.

5. Letakkan barang yang penting di belakang, bersama anak anda. Contoh: beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut anda di ruangan kaki di belakang. Namun, anda tidak digalakkan memandu tidak berkasut.

6. Letakkan tag/label pada pemegang pintu sebelah pemandu di bahagian luar, yang menandakan anak anda di dalam kereta. Label ini boleh dibeli atau dibuat sendiri menggunakan barangan di rumah. Contoh seperti dalam gambar di bawah.

7. Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh agar menelefon anda jika anak anda tidak tiba ke sekolah atau di rumah asuhan pada masanya. Boleh juga pesan pasangan anda untuk mengingatkan anda, terutamanya jika ada bertukar rutin menghantar anak.

8. Guna peranti (device) atau aplikasi telefon untuk mengingatkan anda bahawa anak anda di dalam kereta. Contohnya: ChildMinder SoftClip atau aplikasi Kars 4 Kids Safety . Nota: Harganya tidak murah dan aplikasi memerlukan kereta mempunyai fungsi Bluetooth.

Antara contoh ChildMinder yang ada di pasaran.

9. Bagi yg selalu guna aplikasi navigasi Waze, boleh pilih untuk hidupkan aturan Child Reminder ( Settings>Advanced Settings>General>Child Reminder). Waze akan mengingatkan anda sejurus sampai destinasi.

Mama harus sentiasa berhati-hati dalam segala hal berkaitan anak. Anak itu anugerah yang tak terhingga. Mereka harus dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh sejak kecil. Jangan lupa ya Mama.