Kaki kejang atau orang-orang tua panggil Tarik Mengkarung semasa mengandung memang menyakitkan. Kaki Kejang boleh berlaku tidak kira masa buat ibu hamil dan merupakan perkara biasa. Kadangkala ketika memandu kenderaan, bangun dari tidur, menyarung seluar, melangkah naik tanga dan paling tragis ketika menukar posisi tidur tiba-tiba sahaja kekejangan. Memang nak meraung rasa sakit dia. Ia berlaku disebabkan oleh kontraksi otot luar kawalan yang akan menjejaskan betis kaki. Kejang kaki semasa mengandung adalah biasa. Ia sering berlaku pada waktu malam semasa trimester kedua dan trimester ketiga. Menurut pakar, kaki kejang semasa mengandung berpunca daripada pembentukan asid laktik pyruvic ( hasil sampingan metabolisme gula dan kanji) akan menjejaskan pengaliran darah di kaki. Sebab lain:
- Kelebihan fosforus ( didapati di dalam daging yang telah diproses, makanan snek dan minuman bergas).
- Kekurangan kalsium di dalam aliran darah anda. Pengambilan vitamin yang mencukupi semasa kehamilan adalah penting untuk ibu dan perkembangan bayi dalam kandungan.
- Tekanan rahim yang sedang membesar pada saraf kaki anda.
Lakukan Ini Jika Anda Diserang Sakit Ini:
- Anda harus meregang dengan meluruskan kaki anda. Bermula dengan tumit terdahulu dan dengan berhati-hati lenturkan buku lali dan jari kaki anda. Anda akan berasa sakit pada mulanya tetapi kesakitannya akan hilang secara beransur-ansur.
- Urut otot kaki yang kejang.
- Mandi dengan air suam atau letakkan botol air panas pada kawasan kejang.
- Rehat sebentar dan kembali bergerak setelah beberapa minit.
Tips Mengelak Kaki Kejang Semasa Mengandung
1) Pakai stoking sokongan, memilih kasut sesuai dan selesa untuk sepanjang hari.
2) Buatkan senaman regangan otot sebelum tidur. Anda boleh menarik jari kaki anda ke arah lutut anda sambil menolak tumit anda jauh dari badan anda.
3) Jangan berdiri dalam jangka masa yang lama.
4) Ambilkan kalsium dan kalium tambahan sebelum tidur.
5) Minum air yang mencukupi boleh membantu mencegah kekejangan.
6) Alaskan kaki anda dengan bantal ketika anda tidur.
7) Urutkan kaki betis anda sebelum tidur.
8) Sentiasa putarkan buku lali dan gerak-gerakkan jari kaki apabila anda duduk.