Mama Siti percaya ramai antara ibu di luar sana yang berpengalaman mengalami kaki bengkak semasa mengandung. Kebiasaannya perkara ini mulai berlaku ketika usia kandungan memasuki tujuh bulan dan ke atas.
Meskipun ia suatu hal yang sinonim dan tidak perlu dibimbangkan, namun, keadaan ini sangat memberi cabaran kepada Mama yang berbadan dua lantaran berdepan pelbagai kesukaran dalam aktiviti seharian mereka.
Bila kaki kita tu bengkak semasa mengandung ni, nak berjalan pun terasa sakit, nak tidur pun tak selesa. Segalanya serba tak kena.
Menurut laman web Hello Doktor, terdapat tiga sebab utama seorang wanita hamil berdepan masalah kaki yang bengkak, iaitu sepanjang kehamilan, tubuh akan menghasilkan lebih banyak darah daripada biasa untuk membantu tumbesaran bayi.
Selain itu, semasa bayi dalam kandungan membesar, rahim akan menekan dan menyekat urat yang mengembalikan darah daripada kaki ke jantung.
Faktor seterusnya pula disebabkan perubahan hormon pada ibu mengandung menjadikan dinding urat lebih lembut, sekali gus menjejaskan sedikit fungsinya.
Atas ketiga-tiga sebab di atas, darah Mama cenderung berkumpul pada kaki. Di situ, sejumlah kecil darah mengalir melalui saluran darah kecil ke dalam tisu dan menghasilkan pembengkakan yang dapat Mama lihat dan rasai.
Jangan risau Mama, ada beberapa tips dikongsi oleh portal Health Line yang selamat diamalkan bagi tujuan mengurangkan sakit kaki bengkak semasa mengandung.
Apa tu? Jom teruskan membaca artikel ini!
1. Kurangkan Pengambilan Sodium
Garam sememangnya penyedap rasa, namun ia bukanlah baik untuk kesihatan apatah lagi ketika hamil.
Tahukah Mama, kandungan sodium dalam garam tidak bagus untuk kandungan selain boleh menggalakkan pembengkakkan pada kaki. Ini kerana air dalam tubuh Mama akan diserap oleh garam menyebabkan Mama mudah dehydrate.
Sebaiknya, cuba kurangkan pengambilan garam termasuklah makanan dalam tin. Kalau dapat cut off garam lagi baik. Mama boleh jaid kreatif dengan menggantikan rasa garam tadi kepada bahan-bahan makanan semulajadi seperti serai, rosemary, thyme, oregano dan sebagainya bagi menggantikan garam.
2. Tingkatkan Pengambilan Potassium
Kekurangan potassium dalam tubuh juga cenderung menyebabkan kaki Mama bengkak. Ia kerana kandungan potassium berupaya membantu menstabilkan jumlah cecair dalam tubuh Mama.
Malah, vitamin untuk kehamilan juga sebaiknya mengandungi potassium yang tinggi lantaran ia nutrisi ini merupakan sumber diet terbaik untuk wanita hamil. Selain bergantung kepada supplemen, beberapa makanan semulajadi juga mempunyai kandungan potassium yang tinggi iaitu:
- Ubi kentang yang dimakan bersama kulit
- Ubi keledek dimakan bersama kulit
- Pisang
- Bayam
- Kekacang
- Buah prun
- Buah delima
- Buah oren
- Carrot
- Buah markisa
- Yogurt
- Salmon
3. Kurangkan Kafein
Umum mengetahui bahawa kafein adalah tidak elok bagi wanita hamil. Walaupun beranggapan ia sebagai sumber tenaga untuk kekal cerdas, namun pengambilan kafein yang berlebihan boleh membahayakan kondisi tubuh Mama seperti bacaan HB darah yang rendah, darah merah menjadi pekat selain menyebabkan bengkak kaki tadi lebih buruk.
Ini kerana kafein mengakibatkan seseorang itu lebih kerap membuang air daripada biasa dan sekaligus memberikan isyarat kepada tubuh untuk menyerap lebih banyak cecair dalam badan yang mana menyumbang kepada bengkak kaki.
Jika Mama perlu minum kopi untuk boost energy, disarankan minum kopi tanpa kafein. Pasti lebih sihat!
4. Minum Banyak Air
Kedengaran pelik untuk tujuan mengurangkan bengkak, namun solusinya adalah dengan minum banyak air? Ya, itulah yang dikongsi oleh artikel Health Line apabila mengatakan amalan minum air kosong secukupnya sebenarnya membantu mengimbangi bengkak pada kaki Mama.
Sebaiknya, Mama disarankan untuk minum sehingga 10 gelas air kosong setiap hari bagi membolehkan buah pinggang Mama menyingkirkan toksin dan kandungan yang tidak elok dalam tubuh.
Lagipun, bukankah amalan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari adalah amalan yang sangat baik dalam kesihatan?
5. Tinggikan Kedudukan Kaki Ketika Berehat
Pada waktu lapang atau ketika Mama menonton televisyen misalnya, lunjurkan kaki pada paras yang sama dengan punggung anda bagi membantu melancarkan peredaran darah. Semasa di tempat kerja, Mama letakkan bangku kecil atau kotak supaya senang untuk melunjurkan kaki.
Dan sekiranya Mama banyak duduk sepanjang bekerj, ambil sedikit masa untuk berjalan-jalan di sekitar pejabat. Ini untuk memastikan darah dalam badan Mama sentiasa bergerak.
6. Pakai Pakaian Longgar & Selesa
Memakai pakaian longgar boleh melancarkan aliran darah. Sekiranya Mama mahu elak kaki bengkak, jangan pakai pakaiahn yang ketat kerana boleh menyekat aliran darah.
Elakkan juga daripada memakai stoking yang terlalu ketat pada bahagian pergelangan kaki atau betis.
7. Biarkan Tubuh Kekal Dingin
Sebaiknya, elakkan membuat pelbagai aktiviti luar ketika cuaca panas seperti waktu tengahari. Biarkan suhu tubuh Mama dingin bagi mengurangkan risiko bengkak kaki.
Mama juga boleh tuam ais pada kaki yang bengkak. Selain itu, kaedah mudah adalah berehat sambil nikmati angin kipas berhampiran tubuh Mama. Bukan jerr kurangkan risiko bengkak kaki, tapi mesti rasa nyaman dan tenang jerr.
8. Pakai Stoking Sehingga Paras Pinggang
Untuk mengurangkan bengkak kaki, doktor mungkin akan menyarankan ibu mengandung untuk memakai waist-high compression sock meskipun di siang hari.
Ia kerana stoking berkenaan berupaya membantu aliran darah kembali ke jantung dan mengehadkan jumlah masalah bengkak yang akan Mama alami.
Selain daripada menggunakan bantal untuk tujuan tinggikan paras kaki, Mama juga boleh stoking ini sebelum tidur dan sehingga esok pagi untuk mengelakkan darah berkumpul di sekeliling buku lali. Namun, untuk hasil lebih baik, Mama boleh tanya kepada doktor atau pharmacist mengenai stoking tekanan yang sesuai dan berkualiti.
9. Berjalan
Jangan biarkan kaki Mama statik tanpa pergerakan. Luangkan masa untuk bersenam setiap hari paling kurang pun dengan berjalan. Selain itu, aktiviti berjalan di dalam air juga dapat membantu anda selain daripada berenang. Cari senaman ringan yang boleh dilakukan oleh wanita hamil.
10. Memakai Kasut Yang Selesa Untuk Ibu Hamil
Walaupun nampak lebih bergaya dengan kasut tinggi, namun awas Mama, wanita hamil sangat tidak disarankan memakai heels. Bukan sekadar bimbang dengan kesihatan Mama dan bayi kerana risiko terjatuh, namun ia turut mengakibatkan bengkak kaki Mama lebih buruk.
Sebaiknya, Mama perlu pakai kasut yang sesuai untuk wanita hamil. Bukan setakat flat shoes semata-mata, tetapi lebih baik adalah kasut yang direka khas untuk maternity mom kerana ia mempunyai sokongan yang mampu menampung berat Mama selain lembut untuk tekanan kaki.
Malah, memakai kasut yang selesa dan lembut boleh mengurangkan bengkak kaki serta mengelakkan sakit belakang. Jadi, adakah Mama anggap menukar kasut kepada kasut ibu mengandung adalah hal yang tak penting?
11. Berenang
Umumnya, tidak banyak kajian yang boleh dikaitkan dengan aktiviti renang dan membantu mengurangkan pembengkakan kaki untuk ibu hamil.
Walau bagaimanapun, berjalan atau sekadar berdiri di dalam kolam air setinggi paras leher dikatakan membantu memampatkan tisu pada kaki dan dapat memberikan kelegaan sementara apabila mengalami masalah bengkak. Ia lebih berkesan sekiranya Mama lakukan rendaman sambil berenang.
Lagipun, wanita hamil memang digalakkan melakukan senaman renang kerana baik untuk tubuh, otot dan kandungan itu sendiri.
12. Berurut
Urut dan refleksologi juga dapat membantu mengurangkan bengkak kaki dan gejala yang berkaitan. Jika tak rajin nak ke spa, boleh minta suami urut lembut pergelangan kaki Mama yang bengkak atau tuam dengan kain sejuk pun dah melegakan.
Jika nak lebih selesa, cari tukang urut yang boleh mengurut wanita hamil kerana mereka lebih tahu teknik dan punca kaki Mama tadi menjadi bengkak.
13. Tidur Di Posisi Sebelah Kiri
Posisi tidur ibu mengandung juga memainkan peranan penting. Sebaiknya Mama digalakkan untuk tidur mengiring ke sebelah kiri. Ia bertujuan untuk menghilangkan tekanan pada urat besar yang mengembalikan darah daripada bahagian bawah badan ke jantung – inferior vena cava.
Di samping itu, Mama juga boleh mengurangkan masalah pembengkakan pada kaki dengan meletakkan bantal sebagai pelapik bagi meninggikan bahagian kaki sewaktu tidur.
Bukan untuk Mama jer, Papa pun haruslah sama-sama ambil tahu mengenai kesihatan wanita tersayang anda. Dapatkan pelbagai info kehamilan di SINI!