Dalam setiap rumah pasti ada beberapa helai kain buruk atau kain lap untuk digunakan dalam sehari-hari. Kain buruk atau kain lap ini digunakan untuk mengelap kotoran di dapur, lap periuk dan lain-lain. Ada juga sesetengah orang akan menggunakan sekurang-kurangnya lima helai kain buruk dalam sehari.
Walaupun namanya kain buruk, tetapi soal kebersihan kain ini sangatlah dititikberatkan . Hal ini kerana, jika tidak dicuci sehingga bersih, segala bakteria yang terdapat di kain ini akan merebak di dalam rumah dan membuatkan kita mudah jatuh sakit.
Jadi, Mama Siti nak tanya, cara yang Mama gunakan untuk mencuci kain mengelap ini macam mana ye? Dan Mama tahu tak cara basuh kain buruk atau kain lap dengan betul?
Kalau masih berasa was-was atau tak tahu cara yang betul, Mama semua boleh ikuti perkongsian Mama Siti di bawah ini, untuk ketahui beberapa cara basuh kain buruk atau kain lap dengan betul dan mudah!
Cara Basuh Kain Buruk dengan Betul
Berikut adalah beberapa cara basuh kain buruk yang boleh dijadikan panduan oleh Mama semua iaitu:
#1. Cuci Kain Buruk Menggunakan Ejen Peluntur
Cara basuh kain buruk yang pertama sekali, Mama perlu menyediakan sebuah besen, ejen peluntur seperti Clorox, serbuk pencuci pakaian, kain lap kotoran dan air. Caranya adalah, masukkan kain lap ke dalam besen tersebut.
Kemudian masukkan clorox dan diikuti dengan serbuk pencuci pakaian. Seterusnya, masukkan air ke dalam besen.
Biarkan ia terendam selama 15 ke 30 minit sehingga airnya bertukar warna. Angkat kain buruk kemudian sental, masukkan ke dalam mesin basuh untuk dibilas dengan air yang bersih.
Kemudian, buang air yang dibilas tadi. Selepas itu, masukkan air yang bersih sekali lagi serta pewangi pakaian dan bilas. Setelah itu, kain tersebut dah boleh dikeringkan dan jemur. Senang bukan?
#2. Baking Soda dan Cuka Barukan Kain Buruk
Cara yang kedua ialah dengan menggunakan baking soda, 1/2 cawan cuka dan 1 mangkuk air panas. Apa yang Mama perlu lakukan adalah campurkan baking soda dan cuka bersama dalam satu bekas yang terisi air panas, kacau sebati.
Kemudian masukkan kain lap yang kotor tersebut ke dalam bekas itu dan rendam selama satu malam. Selepas direndam semalaman, bolehlah bilas dengan air bersih dan dah boleh jemur.
Pasti kain lap Mama dah tak kelihatan buruk lagi!
#3. Guna Kaedah Merebus
Cara untuk membasuh kain pengelap yang seterusnya adalah dengan cara merebus. Caranya adalah sediakan satu periuk khas untuk merebus, serbuk pencuci pakaian, soda bikarbonat, air dan kain kotoran.
Mula-mula masukkan kain pengelap ke dalam periuk, masukkan air secukupnya. Kemudian masukkan serbuk pencuci pakaian, pastikan Mama guna yang jenis serbuk tau.
Masukkan sedikit soda bikarbonat dan kacau rata. Rebus selama 10 ke 15 minit, kemudian tutup api. Buang air yang kotor itu dan asingkan kain, kemudian bilas dengan air bersih dan sental.
Keringkannya di bawah sinaran matahari. Siap!
#4. Gunakan Cuka, Garam dan Lemon sebagai Ejen Pencuci
Cara terakhir yang Mama boleh gunakan ialah dengan menggunakan garam, cuka, lemon dan air panas. Pertama sekali masukkan cuka ke dalam satu bekas.
Kemudian masukkan jus lemon yang diperah ke dalam bekas yang sama, kacau sebati. Seterusnya Mama perlu masukkan garam ke dalam larutan cuka dan lemon tadi, kemudian masukkan kain tersebut dan biar terendam selama beberapa jam.
Bilas dengan air bersih dan sental atau boleh juga rendam dalam air panas selama 10 minit bagi memastikan ia betul-betul bersih. Dah boleh jemur dan siap!
Senangkan? Kini tiada lagi alasan untuk tidak mencuci kain pengelap kotoran. Kesan daripada selalu mencuci kain pengelap kotoran ialah rumah akan nampak lebih bersih kerana tidak akan ada longgokkan kain lap kotoran yang kotor dan busuk.
Selain itu, Mama juga akan rasa lebih selesa untuk melakukan pekerjaan rumah dengan persekitaran yang bersih dan wangi.
Tidak salah rasanya jika Mama luangkan sedikit masa untuk memastikan kebersihan rumah kita terjaga dengan baik bukan?
Selamat mencuba!
Selain tips di atas, Mama boleh dapatkan pelbagai lagi tips dan info menarik yang lain di SINI!