Setiap individu yang memegang kad pengenalan Malaysia wajib membuat pembaharuan IC dengan kadar segera jika ianya hilang. Yelah dah kalau kad pengenalan tu hilang, macam mana nak melakukan urusan penting bukan?
Kelewatan melakukannya menyukarkan urusan kesihatan, pendidikan, urusan bank, dan banyak lagi.
Tahukah Mama, sekiranya kad pengenalan anda hilang, cara mendapatkan kad pengenalan yang baru lebih mudah hari ini. Sekarang Mama boleh memilih sama ada hadir ke kaunter JPN atau mengisi borang di laman sesawang rasmi JPN.
Oleh itu, bagi memudahkan urusan Mama tentang tatacara pembaharuan kad pengenalan yang hilang, Mama Siti sertakan langkah terperinci dan semua borang yang perlu dilengkapkan.
Mama Siti kongsikan juga tips pemakaian yang sesuai untuk mengambil gambar bagi kad pengenalan yang hilang. Selalu gambar IC ni yang paling tak cantikkan? Meh sini Mama Siti ‘tolong cantikkan’.
Kad Pengenalan Hilang? Apa Nak Buat?
1. Fahami Harga Denda (& Sediakan Wang Secukupnya)
Merujuk dari laman sesawang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kadar bayaran denda bagi kehilangan kad pengenalan atau IC ialah berbeza mengikut kekerapan kehilangannya.
Tambahan pula, ia dibahagikan kepada dua caj bayaran. Pertama bayaran semasa permohonan dan kedua caj untuk memproses IC.
Berikut ialah kadar bayaran bagi pembaharuan kad pengenalan khusus untuk kehilangan buat kali pertama dan seterusnya.
Bayaran permohonan pembaharuan kad pengenalan hanyalah RM 10 sahaja bagi kehilangan kali pertama dan seterusnya. Namun begitu, kadar dendanya bergantung kepada kekerapan kehilangan.
Bayaran denda atau bayaran proses untuk kehilangan kali pertama ialah RM 100. Diikuti dengan kali kedua iaitu RM 300 dan untuk kali ketiga dan seterusnya, Mama akan dikenakan denda sebanyak RM 1000.
Di samping itu buat bukan warganegara yang ingin memperbaharui kad pengenalan anda perlu membayar RM 40 bagi setiap permohonan dengan kadar bayaran proses sama seperti di atas.
Mama Siti nak ingatkan bayaran denda ini khas bagi individu yang memegang kad MyPR dan MyKAS sahaja.
2. Cara Tukar IC Baru
Proses memperbaharui kad pengenalan boleh dilakukan sama ada hadir ke kaunter JPN atau secara atas talian (online). Tetapi sebelum itu, perkara pertama yang perlu dilakukan sebelum membuat permohonan baru kad pengenalan ialah membuat laporan polis terlebih dahulu.
Tujuannya ialah agar kad pengenalan tidak disalahgunakan terutamanya untuk tujuan jenayah. Tahukah Mama, cip berwarna emas 80K di kad pengenalan mempunyai pelbagai maklumat tentang diri seseorang.
Cip 80K menyimpan informasi data biometrik seperti cap jari dan imbasan iris mata. Selain itu, ia juga mengandungi maklumat tentang lesen memandu dan pengaksesan MEPS.
Tukar IC Di Kaunter (Walk In)
Hadir ke mana-mana kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Bawa sekali laporan polis yang telah dibuat.
Seterusnya, Mama akan dibantu oleh pegawai untuk urusan permohonan kad pengenalan di kaunter. Kalau Mama tak pasti nak pergi ke kaunter mana, terus tanya dengan pegawai bertugas.
Bak kata pepatah ‘malu bertanya sesat jalan’
Tukar IC Di Laman Sesawang (Online)
Klik pada pautan ini dan isikan maklumat untuk mengaktifkan akaun di portal JPN.
Tekan pautan yang dihantar ke emel Mama untuk log masuk.
Selain itu, Mama juga boleh menggunakan pautan yang lain untuk memperbaharui kad pengenalan.
- Kemudian pilih Permohonan Gantian MyKad di bahagian kanan skrin.
- Skrin akan memaparkan terma dan syarat. Mama perlu baca Akuan Penafian tersebut dan pilih ‘Setuju’
- Seterusnya, Mama perlu melengkapkan borang dengan maklumat yang diperlukan.
- Lanjut, klik pada kotak ‘saya setuju’ dan tekan tombol ‘teruskan’
- Selesaikan bayaran dan simpan resit tersebut.
Dokumen Yang Perlu Dibawa (IC Hilang)
Bagi permohonan disebabkan faktor berikut hendaklah membawa laporan polis yang menyatakan butir kejadian kehilangan IC.
- Rompakan
- Samun
- Kecurian
- Malapetaka
- Lain-lain keadaan yang berkaitan
Tips Pemakaian Gambar IC (Perempuan dan Lelaki)
Haa, sekarang dah masuk bab pemakaian yang sesuai untuk gambar pada kad pengenalan. Ada beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum hadir ke JPN dan antaranya adalah:
Kredit gambar: Kad Kailan
Baju– Berkolar dan tidak berkolar bergantung kepada kaunter JPN yang dihadiri. Pemilihan warna hendaklah bertona gelap seperti merah, hitam navy blue atau coklat gelap. Oh ya, baju tanpa lengan (sleeve less) tidak dibenarkan ya.
Tudung– berwarna gelap. Elakkan pakai tudung atau selendang (shawl) warna cerah, bersulam manik atau labuci di bahagian atas kepala.
Rambut– Warna rambut haruslah bertona gelap. Alternatif lain, Ayah boleh memakai songkok atau kopiah. Oh ya, pemakaian topi tidak dibenarkan ya. Penggayaan rambut pula hendaklah tidak menutupi bahagian kening.
Aksesori– pemakaian rantai, subang dan lain-lain tidak boleh kelihatan semasa bergambar. Ini kerana pantulan cahaya dari kamera dengan aksesori mengganggu hasil akhir gambar tersebut.
Cermin Mata– keadaan yang sama seperti aksesori. Mama dan Ayah akan diminta menanggalkan cermin mata.
Mudah saja rupanya pembaharuan kad pengenalan ini. Paling penting sekali buat laporan polis cepat-cepat kalau Mama perasan IC dah hilang atau tak dijumpai.
Seterusnya barulah pergi ke JPN untuk buat IC baru. Dengan kemudahan atas talian, kita boleh jimatkan masa dan tenaga. Lagipun sekarang hampir semua orang dah pandai isikan borang dalam internet kan.
Jom baca cara nak dapatkan roadtax percuma bagi golongan kurang upaya di JPJ.
Ikuti tips dan panduan yang memudahkan kehidupan kita yang lain DI SINI.