Tahukah Mama, setiap hari seramai kira-kira lima kanak-kanak di Malaysia disahkan menghidap pelbagai penyakit kanser? Ya, pastinya ia suatu yang mengejutkan. Ternyata statistik ini bukan jumlah kecil dan lebih membimbangkan adalah ia dijangka terus meningkat di masa hadapan.
Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan berkata, kanak-kanak yang menghidap kanser terbahagi kepada dua kumpulan iaitu berusia daripada sifar hingga 14 tahun dan 15 hingga 19 tahun.
Kanser dikalangan mereka adalah suatu yang sukar dijangka lantaran hanya dapat dikesan pada tahap lewat sekaligus menyukarkan pihak perubatan menemui jalan menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.
Ini disebabkan gejala awal yang selalunya muncul seakan sama seperti penyakit ringan lain. Kanak-kanak tiba-tiba jatuh sakit, mengalami lebam di dalam badan, terdapat bonjolan pelik dan sakit kepala yang berterusan boleh menjadi tanda pertama kanser. Jika simptom muncul, Mama dan Papa perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut secepat mungkin.
Berikut, lima jenis penyakit kanser yang popular menyerang kanak-kanak di negara ini.
1. Leukemia
Leukemia merupakan kanser yang utama yang menyerang ramai kanak-kanak di dunia yang mana ia turut dikenali sebagai kanser darah.
Menurut laporan Hello Doktor, di negara kita sahaja, hampir 400 kanak-kanak disahkan menghidap leukemia setiap tahun. Leukemia terbahagi kepada dua sifat iaitu Leukemia Kronik dan Leukemia Limfoblastik Akut (ALL).
Mengikut statistik, dalam keseluruhan jumlah pesakit kanser leukemia ini, satu daripada 2,000 kanak-kanak bawah usia 15 tahun akan didiagnos dengan Leukemia Akut.
Untuk pengetahuan Mama, Leukemia Akut lebih berbahaya lantaran tempoh serangannya yang lebih cepat, sel kanser yang kurang matang dan pembahagian sel kanser lebih pantas berbanding jenis Leukemia Kronik. Bagi mengetahui jenis leukemia yang menyerang seseorang kanak-kanak itu, ianya boleh diketahui melalui ujian darah dan sumsum tulang.
Leukemia berlaku apabila pembiakan sel induk yang membentuk sumsum tulang berkembang menjadi pelbagai jenis sel darah, termasuk sel darah putih yang mana tujuan asalnya melindungi tubuh daripada jangkitan.
Bagaimanapun, apabila sel ini membesar di luar kawalan, nisbah normal sel darah putih yang berperanan mengekalkan tahap kesihatan dan fungsi tubuh terkeluar. Perubahan nisbah sel darah dalam tubuh boleh menjejaskan kesihatan anak dan mewujudkan gejala leukemia.
Berdasarkan laporan My Health, rawatan leukaemia kanak-kanak dilakukan secara berperingkat-peringkat.
- Terapi Induksi: Ini adalah fasa pertama rawatan. Tujuannya adalah untuk membunuh sel-sel. Leukemia dalam darah dan sum-sum tulang. Ini meletakkan Leukemia ke dalam remision:
- Terapi Konsolidasi/pengukuhan: Ini adalah fasa kedua dalam perawatan. Bermula apabila Leukemia berada dalam keadaan remision. Tujuan terapi ini adalah untuk membunuh sel-sel leukemia yang tertinggal dan mencegah sel-sel daripada menjadi alah kepada rawatan.
- Terapi yang berterusan (maintenance therapy): Ini adalah fasa ketiga rawatan. Ia dilakukan sebagai pesakit luar. Kemoterapi diberikan secara oral dan dalam dos yang lebih rendah daripada yang digunakan untuk induksi dan konsolidasi.
Rawatan biasanya diberikan untuk tempoh dua ke tiga tahun.
Simptom:
- Kanak-kanak kerap demam
- Sentiasa lesu
- Tidak bermaya
- Kurang selera makan
- Mudah tercungap-cungap meskipun melakukan aktiviti ringan
- Muka pucat
- Kerap berasa pening
2. Kanser Otak
Kanser kedua yang sering berlaku ke atas kanak-kanak tumor otak dimana ia merupakan tumor pepejal. Berdasarkan laporan Free Malaysian Today (FMT), seramai 26 peratus daripada keseluruhan kes-kes kanser kanak-kanak adala mereka yang menghidap tumor otak. Tumor ini bermula di cerebellum, sebelum akhirnya menyerang saraf pusat otak.
Pembedahan, radioterapi dan kemoterapi atau kombinasi ketiga-tiganya adalah digunakan untuk merawat tumor otak. Rawatan akan dirancang bergantung kepada umur kanak-kanak, saiz, kedudukan dan jenis tumor otak.
Simptom:
- Sakit kepala
- Mual
- Muntah
- Penglihatan kabur atau berganda
- Pening
- Sawan
- Masalah berjalan atau kesukaran mengawal objek.
3. Kanser Limfoma
Kanser Limfoma tersenarai sebagai antara kanser paling kerap terjadi pada kanak-kanak. Limfoma adalah barah limfosit iaitu sel darah putih daripada tisu sumsum tulang.
Perbezaan barah ini dengan leukemia adalah mengenai lokasi pertumbuhan sel kanser itu.
Berdasarkan laporan Hello Doktor, limfoma biasanya berlaku pada saluran dan kelenjar sistem limfa, berbeza dengan leukemia apabila ia ditemui pada sumsum tulang dan darah.
Dua jenis limfoma utama yang sering menjadi punca masalah kesihatan anak adalah Limfoma bukan Hodgkin (NHL) dan Limfoma Hodgkin (HL).
Rawatan bagi pesakit limfoma adalah kemoterapi yang mana ia merupakan rawatan utama untuk semua jenis limfoma. Rawatan radioterapi mungkin juga digunakan dalam kes-kes yang terpilih.
Simptom:
- Penurunan berat badan
- Demam
- Kerap berpeluh
- Keletihan
- Terdapat benjolan di bawah kulit leher, ketiak atau pangkal paha.
4. Kanser Tulang
Statistik oleh portal Free Malaysian Today (FMT) menunjukkan tiga peratus daripada kalangan kanak-kanak yang didiagnos pelbagai kanser disahkan menghidap kanser tulang.
Kanser tulang tertentu lebih kerap menyerang kanak-kanak, remaja dan dewasa muda berbanding dengan orang dewasa yang lebih tua.
Terdapat dua jenis kanser tulang yang berlaku pada kanak-kanak iaitu osteosarcoma yang biasa di kalangan remaja di mana kanser berkembang di kawasan tulang tumbuh pesat.
Ia adalah kanser tulang primer yang paling kerap bermula dalam sel di mana tisu tulang baru terbentuk, biasanya menjejaskan hujung tulang besar, seperti lengan, kaki, atau pelvis (tulang pinggul).
Kebanyakannya berlaku pada kanak-kanak dan golongan muda antara usia 10 hingga 30 tahun.
Kedua adalah sarcoma ewing, sejenis kanser tulang yang jarang dijumpai. Kanser ini lebih kerap berlaku di kalangan remaja.
Rawatan adalah berbeza mengikut tahap dan kanser berkenaan. Ia merangkumi pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan bedah beku.
Simptom:
- Demam kerap
- Sakit tulang yang bertambah teruk pada waktu malam atau ketika melakukan sebarang aktiviti
- Pembengkakan di sekitar tulang.
5. Neuroblastoma
Antara kanser yang sering menimpa kanak-kanak berusia bawah lima tahun, neuroblastoma, iaitu kanser sistem simpatetik. Statistik menunjukkan 30 orang pesakit kanak-kanak menghidap neuroblastoma setiap tahun di Malaysia.
Berdasarkan laporan portal My Health, ia didapati berasal dari sel primitif/pra-matang yang dipanggil “neuroblast” yang merupakan sebahagian daripada sistem saraf utama.
Sel-sel ini terdapat di beberapa kawasan dalam badan seperti di leher, dada, perut dan berhampiran tulang belakang.
Sel-sel ini secara beransur-ansur berubah menjadi sel-sel saraf yang matang dan membentuk satu rangkaian sistem saraf pusat.
Walau bagaimanapun, di dalam kes neuroblastoma, akibat daripada mutasi genetik, sel-sel ini terus membiak di luar kawalan sehingga terbentuk sebuah ketumbuhan atau tumour. Seperti tumor pepejal yang lain, ia juga mempunyai peringkat atau tahap daripada satu hingga empat.
Neuroblastoma biasanya timbul di dalam dan sekitar kelenjar adrenal yang terletak di atas buah pinggang. Tetapi ia boleh timbul daripada mana-mana kawasan di mana terdapat sel-sel saraf.
Rawatan adalah berbeza-beza dan bergantung kepada beberapa faktor seperti umur pesakit, tahap penyakit ini dan kehadiran/ketidakhadiran beberapa faktor ramalan terutama pada kromosom dan gen. Berdasarkan ini, pesakit boleh dibahagikan kepada kumpulan berisiko yang rendah, risiko sederhana dan kumpulan berisiko tinggi.
Rawatan yang diberikan kepada seorang kanak-kanak akan bergantung kepada kumpulan mana beliau diletakkan. Terapi merangkumi pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.
Simptom:
- Tumor yang berasal daripada perut mungkin hadir sebagai sebuah ketumbuhan yang dapat di rasai,sakit perut atau perubahan tabiat membuang air besar seperti cirit-birit.
- Neuroblastoma yang timbul di bahagian dada boleh menyebabkan batuk dan semput, atau perubahan pada mata seperti melabuh kelopak mata dan perbezaan saiz anak mata (sindrom Horner).
- Gejala lain termasuk ketulan atau bengkak di bawah kulit, biji mata yang tertonjol keluar (proptosis), lebam di sekeliling mata, demam berterusan yang tidak diketahui puncanya, hilang berat badan, sakit tulang serta pucat. Terdapat juga situasi dimana kanak-kanak dibawa kepada pemerhatian doktor atas sebab-sebab lain dan bengkak atau ketulan dikesan secara kebetulan.
Sekiranya anak-anak Mama mula menunjukkan simptom yang luar biasa, jangan ragu untuk terus mendapatkan pemeriksaan awal. Sama seperti kita yang dewasa, anak-anak juga disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala setiap tahun.
Dapatkan info menarik mengenai kesihatan seisi keluarga di SINI.