Malaysia memang kaya dengan pelbagai jenis ikan, kalau ke pasar tu lagi bermacam jenis ikan yang ada dijual. Ikan secara amnya mengandungi Omega 3, namun ikan yang isinya rasa lebih manis mempunyai kandungan Omega 3 yang lebih tinggi. Kali ni Mama Siti akan berkongsi jenis-jenis ikan di pasar yang biasa kita akan jumpa.
Jenis Ikan Yang Biasa Dijual di Pasar
1. Ikan kembung
Sejenis ikan laut dalam yang rasanya agak manis dan menjadi kegemaran ramai dengan isi yang lembut apabila dimasak. Ikan kembung tinggi Omega 3 yang bagus untuk ibu hamil, menyusu dan anak-anak. Bagi Mama Siti, ikan kembung paling sedap digoreng garing, makan bersama sambal atau sayur lemak.
2. Ikan selar kuning
Ikan selar kuning adalah speisis ikan laut yang tinggi Omega 3 yang bagus untuk perkembangan otak dan pertumbuhan mata. Rupanya seakan ikan kembung tetapi di badannya ada kelihatan jalur kuning. Ikan selar kuning sedap dibakar mahupun dimasakkan pindang.
3. Ikan bawal putih
Ikan bawal putih adalah daripada famili Stromateidae. Bawal putih mempunyai kandungan Omega 3 yang tinggi untuk pertumbuhan otak anak-anak,mengurangkan risiko strok serta menyeimbangkan paras kolestrol dalam darah. Bawal putih ni untuk Mama Siti sedap digoreng kunyit namun kerap juga dimasak 3 rasa.
4. Ikan bawal emas
Ikan bawal emas ni kelihatan cantik sekali. Sesuai sangat masakan ibu berpantang. Ikan bawal emas sedap dimasak masam manis, dikukus halia dan sebagainya.
5. Ikan bawal hitam
Boleh nampak ikan bawal hitam ni, lebih gelap berbanding ikan bawal biasa. Ia adalah ikan air masin. Isinya sedap dan tumbesarannya juga cepat. Boleh digoreng juga dibuat kari.
6. Ikan tenggiri
Ikan tenggiri adalah ikan laut sebenarnya adalah dalam famili kembung dan sardin juga. Ikan ini memanjang, muncung mulut yang agak tirus dengan gigi yang tajam kelihatan.
Ikan tenggiri banyak diolah menjadi bebola ikan kerana rasanya yang sangat istimewa, namun sedap juga dimasak lauk kari atau digoreng kunyit garing sahaja. Ia juga mempunyai paras omega 3 yang tinggi, bagus untuk menjaga jantung.
7. Ikan selayang
Ikan Selayang juga terkenal dengan nama ikan sardin, terdapat di perairan pantai hingga ke kedalaman laut 80 meter. Banyak sangat masakan yang sedap menggunakan ikan selayang, yang pertama pastilah masakan ala sardin.
Kemudian dibuat kuah laksa, dibuat menjadi sata ikan, digoreng berempah, dijadikan inti karipap dan sebagainya. Ia mengandungi mineral seperti magnesium dan zat besi.
8. Ikan tongkol
Sejenis ikan laut dengan tekstur isi yang sedikit keras. Juga dikenali dengan nama ikan aya. Memang banyak ditangkap di perairan Malaysia. Terkenal digunakan di dalam nasi dagang, juga dijadikan santapan bersama nasi lemak di sebelah negeri pantai timur. Khasiatnya sama dengan ikan lain yang mempunyai kandungan Omega 3 yang tinggi.
9. Ikan cencaru
Warna ikan cencaru ni seolah kelabu kebiruan sedikit, juga dikenali ikan jaket kerana sisiknya yang hamper ke kawasan ekor itu agak tebal. Paling sedap dimasak sebagai ikan sumbat sambal di dalamnya. Saiznya agak besar boleh dimakan dua ke tiga orang. Selain itu sedap juga dibakar di atas daun pisang dicicah pula dengan air asam.
10. Ikan siakap
Ikan siakap terkenal di kedai-kedai masakan panas dengan masakan ikan 3 rasa atau dimasak stim ala Thai kerana isinya yang lembut. Ia adalah ikan air tawar dan juga ikan air masin. Ikan siakap juga adalah ikan pemangsa, memakan anak-anak ikan, juga udang dan serangga kecil. Bagus untuk menurunkan tekanan darah tinggi dan melancarkan tekanan darah.
11. Ikan kerapu
Ikan kerapu adalah ikan air masin yang juga terkenal di kedai-kedai masakan panas, oleh kerana itu ia mempunyai permintaan tinggi di Malaysia. Ikan kerapu juga sedap dimasak 3 rasa atau dimasak ala cili api. Ada banyak jenis ikan kerapu, namun ikan kerapu di dalam gambar ini adalah yang biasa dijual di pasar.
12. Ikan kerisi
Ikan kerisi adalah ikan air masin bersaiz sederhana dan bewarna kemerahan, memang penuh sisik lembut di badannya. Sedap digoreng begitu sahaja, dimasak singgang pedas dan juga asam pedas. Yang menariknya, penangkapan ikan kerisi ini memerlukan lesen supaya ia terkawal.
13. Ikan keli
Ikan keli atau dikenali dengan nama catfish kerana memiliki misai seperti kucing. Ia mempunyai ekor yang panjang. Ramai menggemari ikan ini digoreng kunyit atau dimasak sambal minang. Di Malaysia, ikan keli Afrika dijadikan ternakan kerana speisis ini cepat membesar dan mempunyai daya tahan tubuh yang baik daripada penyakit.
14. Ikan pari
Ikan pari adalah ikan laut yang sedap dimasak asam pedas atau dibakar. Ikan pari mempunyai jumlah urea yang tinggi jika kurang segar, maka Mama pastikan ikan pari yang dibeli, isinya masih kemerahan. Juga tekan sedikit untuk pastikan isinya masih pejal dan tak lembik.
15. Ikan patin
Ikan patin adalah ikan sungai, namun dengan permintaan yang tinggi, ikan patin kini diternak secara rasmi di kawasan sungai, diberikan makanan khas. Maka harga ikan patin liar adalah lebih mahal kerana rasanya yang lebih sedap, dan ia juga lebih bagus untuk kesihatan. Ikan patin terkenal dengan masak lemak tempoyak di negeri Pahang.
16. Ikan terubuk
Ikan terubuk didapati di lautan. Jika digoreng jangan dibuang sisiknya kerana rasanya akan menjadi seperti rasa kekacang ketika dimakan sewaktu panas-panas dan rangup. Rasa isinya pula manis dan tidak kuat hanyirnya. Ikan terubuk terkenal dijadikan ikan terubuk masin. Sedap juga dimasak lemak cili api.
17. Ikan merah
Ikan merah sedap dijadikan sup ringkas dan juga dimasak ala Thai dengan daun ketumbar.
18. Ikan senangin
Ikan senangin adalah ikan laut yang berisi manis. Ikan senangin ni seolah-olah tak memiliki bibir. Ikan senangin sedap dimasak dengan rebung masak lemak, asam pedas, cili berlada dan singgang serta pelbagai lagi.
19. Ikan Mentimun
Ada macam-macam nama ikan ini dalam bahasa Malaysia, mungkin dipanggil mentimun kerana garisan kuning yang banyak itu. Rasa isinya manis macam ikan jenahak dan satu famili dengan jenahak.
20. Ikan cermin
Ikan cermin adalah ikan air masin yang bersaiz sederhana dan sedap di makan secara kukus ataupun digoreng. Juga tinggi Omega 3 yang bagus untuk jantung.
Semoga membantu
Semoga senarai 20 jenis ikan di atas untuk panduan nak dicari di pasar-pasar dapat membantu, kesemua ikan ini memiliki rasa yang sedap sekali. Jika Papa yang sedang membaca artikel ini untuk mengetahui jenis ikan untuk Mama berpantang boleh baca di sini.