“Entahlah Mama Siti, saya makan semua jenis durian. Tapi kadang-kadang ada rasa manis. Kadang-kadang ada juga rasa pahit sikit.”
Kalau Mama nak tahu, itulah keistimewaan durian. Durian ada bentuk, saiz, rasa dan tekstur yang berbeza. Disebabkan itu harganya pun berbeza-beza.
Lain sungguh landskap jual-beli durian hari ini. Mama Siti ingat lagi masa kecil dahulu, ayah selalu belikan durian kalau dah sampai musim. Dulu-dulu, durian dijual ikut longgok dan harganya pun lebih murah.
Tak kiralah macam mana pun caranya, paling penting kita boleh menikmati buah durian sepuasnya.
Kali ini, Mama Siti nak kongsikan jenis-jenis durian yang selalu menjadi pilihan rakyat Malaysia. Mama Siti kongsikan juga gred bagi setiap durian.
Jenis Durian Dari Segi Saiz, Tekstur, Isi, dan Rasa
#1 Durian Kampung, 888
Jenis durian yang banyak terdapat di Perak diikuti dengan negeri Johor. Isi durian kampung padat dan mempunyai rasa seakan perisa vanila.
Teksturnya isinya pula seperti kastard dan berwarna kuning susu hinggalah ke warna jingga.
Durian kampung digemari kerana rasa dan harganya yang mampu dibeli oleh banyak orang. Selalunya, jenis durian ini sangat sesuai untuk dibuat lempok, tempoyak, jem mahupun aiskrim.
#2 Tekka, D160
Tahukah Mama, nama lain bagi durian kampung ialah Musang Queen.
Buah durian tekka berkulit nipis dan mudah dikupas. Selain itu, ia berbentuk seperti seperti hati dan lonjong.
Mari kita perhatikan isinya. Isi berwarna oren kekuningan dan tebal. Dari segi rasa, isi durian tekka rasa lemak manis dan sedikit pahit serta mengeluarkan kesan bergas.
#3 D2, Dato Nina
Mula-mula orang bagitahu Mama Siti tentang namanya, ingatkan mereka sengaja nak berseloroh rupanya betul itu namanya.
Buah durian jenis D2 bersaiz sederhana besar dan bentuknya meruncing di bahagian atas. Warna durian ini ialah perang di bahagian tengah dan hijau gangsa di hujungnya.
Isinya pula berwarna oren dengan rasa yang manis sekali. Rasa lemak berkrim berada di tahap sederhana manakala isinya tebal dan mengenyangkan.
#4 D101
Pertama sekali yang Mama Siti bayangkan bila dengar nama durian ini ialah sebuah emporium populer, IOI City Mall. Sampai macam itu sekali imaginasi Mama Siti. Baiklah kembali kepada durian D101.
Durian jenis ini antara yang sering dijual di pasaran. Bentuknya yang bulat dan saiz yang sederhana mungkin memberi kesan terhadap tekstur isi dan rasanya.
Isi durian 101 berwarna jingga kekuningan dan sederhana tebal. Manakala rasanya lemak manis dengan sedikit pahit. Sekali pandang durian ini ada persamaan rasa dengan Musang King.
#5 Udang Merah, D175 (Termahal di Malaysia)
Kalau Mama tak suka durian yang ada rasa pahit, Mama Siti cadangkan untuk rasa durian Udang Merah kerana rasanya manis.
Kulit luarnya berbentuk seperti bola ragbi manakala warna kulit perang gelap. Oleh yang demikian warna isi di bahagian dalam kuning atau jingga kemerahan.
Nama udang merah diambil sempena bentuk isinya yang melengkung seperti udang dan kerana warnanya yang kemerahan.
#6 Durian Duri Hitam, D200
Hantu durian tak sah kalau tak cari durian duri hitam. Isi durian ini tebal dan bertekstur ringan. Faktor utama durian ini sering menjadi perhatian ialah kerana rasanya yang unik.
Durian jenis D200 ini mempunyai rasa lemak manis berkrim dan sedikit pahit. Bayangkanlah dengan isi yang tebal digabung pula dengan rasanya yang pelbagai. Layak dapat ‘chef kiss’ lah orang kata.
Dari rupa luarannya pula, kulit durian duri hitam berwarna hijau kekelabuan dan berbentuk bulat.
#7 Musang King, D197
Durian musang king juga dikenali sebagai Raja Kunyit di negeri Kelantan. Jenis durian memang populer dan diyakini sebagai durian terbaik yang mampu milik.
Keunikkan pada musang king ialah dari segi kualiti dan rasanya. Rasa musang king ialah gabungan dari rasa manis dan pahit. Isinya tebal, berwarna kuning keemasan, sangat licin dengan sedikit atau tanpa serat.
Kalau nak tahu istilah ‘musang’ itu berasal dari daerah Gua Musang di Kelantan iaitu tempat pertama spesies durian musang king ditanam.
#8 Durian XO, D24
Kalau panggil durian XO mungkin ada yang tak kenal kan. Tapi kalau sebut je D24 mesti ramai yang tahu kan.
D24 berbentuk bujur, berkulit nipis dan berwarna hijau muda dan beraiz sederhana besar. Keunikan durian XO adalah kerana ianya mudah dikupas serta aroma baunya yang kuat.
Manakala rasanya pula lemak manis dengan sedikit pahit seperti musang king. Ciri-ciri isi durian XO ialah berwarna kuning pucat, melekit, tebal berair dan sangat lembut.
#9 Durian Chanee, D123
Buah durian Chanee besar dan bulat. Kulit dan durinya pula berwarna hijau dan nipis manakala durinya tebal.
Mama Siti baru tahu dalam dunia ini ada juga orang yang makan durian tetapi tak suka dengan baunya. Jangan risau kerana aroma durian Chanee tidak begitu kuat.
Dari segi rasa dan isinya. Durian D123 ini bersaiz sederhana tebal dengan rasa manis berlemak dan sedikit pahit.
#10 Durian Beserah/ Tuan Mek Hijau, D145
Istilah ‘Beserah’ diambil sempena tempat tinggal individu yang mendaftarkannya. Bentuk buah durian D145 ialah bulat dengan saiz sederhana.
Kalau nak tahu ciri-ciri durian Tuan Mek Hijau ini lihatlah dari warna isinya. Isi durian Beserah berwarna kuning dengan ketebalan dan rasa manis yang sederhana.
Oh ya, jenis durian ini agak sedikit lembik dan bertekstur halus. Rasa lemaknya pula agak kuat.
#11 ‘Golden Bun’, D13
Isinya nipis dan berwarna jingga keemasan. Dari segi rasa pula, Durian D13 tidaklah terlalu manis. Mungkin ini sesuai untuk Mama dan Papa yang tak biasa makan makanan manis.
Selain rasanya yang sederhana manis, durian D13 juga tidak berbau kuat. Pendek kata, durian jenis ini sesuai sangat untuk orang yang belum pernah mencuba buah durian kerana tak gemar rasa dan baunya.
#12 ‘Sunset’, D18
Dimulakan dengan bentuk buahnya yang bulat dan durinya yang pendek-pendek. Saiz durian jenis D18 ini kecil sahaja sebenarnya.
Oleh kerana saiznya yang kecil maka isi dalamnya pun terhad hanya satu atau dua ulas bagi setiap bahagian.
Walaupun begitu, isi dalamnya tebal dan bertekstur halus atau kurang serat. Tambahan pula, isi yang berwarna oren dengan rasa yang manis menjadi salah satu faktor durian D18 ada peminatnya tersendiri.
Tips Pilih Durian Terbaik
- Tangkai tebak dan pendek– Dikatakan tangkai yang pendek dan tebal menandakan buahnya banyak dan tebal juga.
- Bau harum– Buah durian yang berkualiti menghasilkan aroma yang wangi.
- Berat durian– Durian yang berat ialah disebabkan oleh bijinya. Jadi durian yang berat itu mungkin tidak mempunyai isi yang tebal dan banyak.
- Elakkan beli durian merekah dan telah ditebuk– Penjual mungkin telah menebuk beberapa biji durian untuk menunjukkan isi dalamnya. Namun jangan sesekali terpedaya dengan warna kuning isi durian itu kerana isi durian yang telah terdedah menjadi kurang manis.
- Warna durian tidak mempengaruhi tempoh matangnya– Berdasarkan informasi yang Mama Siti kongsikan di atas ternyatalah warna kulit luar buah durian berbeza mengikut jenisnya. Jadi jangan sangka yang warna hijau muda itu belum masak ya.
Durian ada banyak variasi. Warna, rasa, tekstur dan isinya pun berbeza-beza mengikut jenis durian.
Tekstur durian pun mempengaruhi kegunaannya. Diketahui umum, harga durian memang ada perbezaan. Itu semua disebabkan oleh ciri-ciri durian yang unik.
Kalau Mama nak kan durian terbaik, ikut tips yang Mama Siti senaraikan di atas ya, atau Mama boleh rujuk SINI.