Sakit tekak ketika demam sering dikaitkan dengan jangkitan tonsil. Kalau mama pernah rasa susahnya nak telan makanan bila mama demam. Itu petanda tonsil mama dah dijangkiti kuman dan jika ia dibiarkan berlarutan, ia akan menjejaskan kesihatan mama. Tapi, mama tau tak punca berlakunya jangkitan pada tonsil ni?
Tonsilitis berpunca daripada keradangan pada kelenjar tonsil. Tonsil merujuk kepada sejenis kelenjar limfoid yang berfungsi sebagai pelindung saluran pernafasan daripada dijangkiti kuman terutamanya kanak-kanak apabila sistem imuniti badannya belum terbentuk dan matang sepenuhnya. Namun, tisu tonsil itu sendiri tidak terkecuali dijangkiti dan mengalami keradangan berpunca akibat jangkitan bakteria atau virus.
Tonsil sememangnya wujud pada semua orang terutamanya pada golongan kanak-kanak. Tonsil bertindak sebagai sebahagian daripada sistem pertahanan badan sewaktu masih kecil kerana pada waktu tersebut sistem imuniti badan belum lagi mencapai tahap kematangan sepenuhnya. Imuniti yang dibekalkan oleh ibu sewaktu dalam kandungan juga akan beransur hilang.
Pada awal usia kanak-kanak, saiz tonsil ini akan meningkat sedikit demi sedikit sehingga mencapai ke suatu tahap yang kekal atau plateau. Apabila kanak-kanak mencapai usia persekolahan, maka saiz kelenjar ini lama-kelamaan akan menjadi semakin kecil. Hal yang demikian menerangkan mengapa tonsil jarang kelihatan atau jika dikesan pun adalah dalam saiz yang agak kecil pada golongan dewasa.
Masalah Berkaitan Tonsil
Dalam bidang otorinolaringologi (telinga, hidung dan tekak), masalah yang sering dikaitkan dengan tonsil ialah jangkitan virus dan bakteria, baik pada tonsil itu sendiri atau struktur di sekitarnya iaitu kawasan peritonsilar, hipertrofi atau pembesaran saiz kelenjar tonsil yang mengakibatkan tanda- tanda obstruktif (halangan) seperti saluran pernafasan atas menjadi sempit dan ketumbuhan termasuklah karsinoma sel skuama (squamous cell carcinoma) dan limfoma.
1. Jangkitan Pada Tonsil
Selaras dengan fungsinya sebagai struktur barisan hadapan pertahanan badan terutamanya pada kanak-kanak, tonsil merupakan tisu yang terdedah kepada jangkitan kuman baik, virus atau bakteria. Bila berlaku inflamasi pada tonsil, mama kena tahu yang saluran pernafasan atas mama (upper respiratory tract infection) dah dijangkiti virus.
Bakteria pula, biasanya daripada jenis beta hemolitik streptokokus dikenalpasti sebagai punca jangkitan yang paling kerap berlaku. Ia biasanya mempunyai kecenderungan untuk serangan yang berulang-ulang. Jika jangkitan tonsil ini merebak ke kawasan peritonsilar, maka manifestasinya akan menjadi lebih teruk sedikit.
Kawasan peritonsilar akan mengalami keradangan dan kadang-kadang pengumpulan nanah akan berlaku. Ini menyebabkan saluran pernafasan menjadi lebih sempit dan ada kalanya menyebabkan kesukaran bernafas. Punca-punca jangkitan lain yang boleh berlaku pada tonsil termasukah difteria, infeksi mononukleosis, agranulositosis dan sebagainya yang kebanyakannya berlaku dalam frekuensi yang agak rendah.
Ini mungkin disebabkan oleh keberkesanan imunisasi yang diperkenalkan oleh kerajaan terhadap bayi yang baru lahir, meningkatkan kefahaman tentang pentingnya menjaga kebersihan serta kesihatan gigi dan mulut, di samping kecenderungan ibu bapa membawa anak yang mempunyai masalah kelenjar tonsil untuk mendapatkan rawatan pada peringkat yang lebih awal.
2. Hipertrofi Tonsil
Hipertrofi tonsil merujuk kepada saiz tonsil yang lebih besar daripada yang sepatutnya. Ia biasanya melibatkan kedua-dua belah tonsil dan saiznya yang bersimetri. Tonsil yang bersaiz besar ini akan mengakibatkan diameter saluran pernafasan atas amnya dan orofarinks khususnya menjadi lebih kecil.
Hal ini akan jadi lebih teruk jika ia berlaku pada kanak-kanak. Sebab saiz orofarinks kanak- kanak lebih kecil dan pertambahan saiz tonsil akan mengakibatkan baki ruangan saluran yang tinggal untuk pernafasan semakin kecil.
Selain itu, saiz tonsil yang besar juga akan menyebabkan gangguan dalam proses menelan yang normal. Kesukaran menelan ini disebut disfagia. Tonsil yang besar juga kerap kali menjadi tempat terlekat atau tersangkutnya benda asing seperti tulang ikan atau sisa makanan terutamanya tonsil yang mempunyai lubang-lubang yang jelas.
3. Ketumbuhan
Dalam kes-kes terpencil, terutamanya jika hanya sebelah tonsil yang membesar dan ia tak lagi simetri, maka mama kena pastikan yang ia bukan berpunca daripada ketumbuhan. Sebab rawatan untul tonsil ni berbeza mengikut keadaan pesakit tersebut.
Ketumbuhan tonsil juga biasanya akan menunjukkan tanda-tanda lain seperti susut berat badan, hilang selera makan dan bengkak kelenjar limfa pada leher.
Biasanya, pesakit yang merokok, mengambil minuman beralkohol, mengamalkan makan sirih atau mengunyah dan menyimpan tembakau di dalam mulut (budaya di sesetengah tempat) akan mengalami ketumbuhan di bahagian tonsil.
Tanda-Tanda Tonsilitis
1. Sakit Sewaktu Menelan Makanan
Tanda utama yang membuatkan pesakit datang untuk berjumpa dengan doktor. Ada kalanya ia disertakan dengan demam panas yang mencecah 40°C.
2. Saiz Tonsil yang Besar
Pesakit yang mempunyai hipertrofi tonsil atau pun kesan infalamasi hasil daripada jangkitan akan menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit. Kedua-dua belah tonsil mungkin membengkak dan bersentuh di bahagian tengah orofarinks (kissing tonsils).
Apabila ini berlaku, pesakit akan mengalami tidur berdengkur, kadang-kadang berhenti bernafas atau apnea sewaktu tidur. Menelan, walaupun air liur sendiri, juga menjadi suatu pengalaman yang memeritkan. Dalam kes jangkitan kawasan peritonsilar, perubahan suara akan berlaku di mana pesakit akan bertutur seperti dia sedang memakan sesuatu yang panas.
3. Batuk Berdarah
Dalam kes-kes ketumbuhan, ada pesakit yang mengalami batuk berdarah dan pemeriksaan menunjukkan permukaan tonsil yang mengalami ulser dan berdarah apabila disentuh. Ada juga yang mengalami tanda yang minimum seperti merasa seperti ada sesuatu yang terlekat di kerongkong sewaktu menelan.
Simptom Jangkitan Tonsil
- Sakit tekak yang teruk menyebabkan sukar untuk telan makanan
- Demam panas (suhu melebihi 38°C)
- Suara menjadi garau, atau seperti sayup-sayup
- Lenguh-lenguh, sakit badan
- Sakit kepala
- Berdengkur waktu tidur
Petua Hilangkan Tonsil
- Makan aiskrim vanila
- Berkumur dengan air garam suam
- Minum madu bersama perahan lemon
- Elak minum air ais dan makanan yang pedas
Rawatan Bagi Tonsilitis
Bergantung kepada jenis penyakit, rawatan terhadap permasalahan tonsil juga BERBEZA.
Umumnya, sebarang bentuk jangkitan perlu diubati dengan agen antikuman atau antibiotik (untuk bakteria). Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa insiden bagi ketumbuhan tonsil ini amatlah kecil, jika dibandingkan dengan masalah tonsil yang berpunca daripada jangkitan dan hipertrofi. Walau bagaimanapun, mencegah kan lebih baik daripada merawat?
Pada masa yang sama, jaga kebersihan mulut. Pesakit juga digalakkan makan seperti biasa sebagaimana yang boleh.
Kalau susah sangat nak telan makanan, pesakit akan diberi cecair serta elektrolit secara intravena bagi memastikan mereka berada dalam keadaan stabil.
Bagi kes-kes kawasan peritonsilar yang mempunyai pengumpulan nanah, ia perlu dialirkan keluar. Ini kerana jangkitan yang terkurung di kawasan tersebut boleh mengakibatkan gangguan yang berterusan terhadap saluran pernafasan. Ia juga mengundang risiko merebaknya jangkitan ke kawasan lain yang lebih sukar untuk dirawat seperti kawasan parafaringeal, retrofaringeal dan mungkin sampai ke mediastinum atas.
Sekiranya jangkitan tonsil berulang-ulang, atau ia menyebabkan gejala obstruktif yang mengganggu kehidupan seperti berdengkur atau apnea tidur, maka pembedahan membuang tonsil adalah disyorkan.
Di Amerika Syarikat, tonsilektomi atau surgeri membuang tonsil merupakan pembedahan elektif yang paling kerap dijalankan di kalangan kanak-kanak. Ia merupakan satu prosedur pendek dan pesakit biasanya perlu berada di hospital untuk beberapa hari sahaja. Tiada parut kelihatan kerana prosedur dijalankan melalui rongga mulut.
Jika keabnormalan tonsil merupakan manifestasi masalah ketumbuhan, maka kaedah rawatannya juga berbeza. Ada antara pesakit yang memerlukan pembedahan dan ada juga yang dapat dikawal dengan penggunaan ubat kemoterapi.
Sumber: MyHealth
BACA JUGA DIFTERIA MENGANCAM NYAWA | 5 LAGI KANAK-KANAK POSITIF DIFTERIA DI JOHOR
Pesan Mama Siti:
Berdasarkan info tentang tonsil tadi, sekarang mama dah faham kan yang tak semua jangkitan tonsil memerlukan antibiotik dan tak semua tonsil yang bengkak perlu dibedah. Tapi kalau mama ada jangkitan tonsil dan doktor bagi antibiotik, silalah makan sampai habis. Perangai manusia ni culas betul makan ubat. Memang selalunya dalam masa 2-3 hari selepas pengambilan antibiotik, tonsillitis akan sembuh/mengecil. Jadi, kalau berlaku jangkitan pada tonsil, terus refer dengan pakar!