Sudah menjadi kebiasaan untuk kita yang dewasa mahupun anak kecil untuk mengabaikan kesan gigitan serangga. Paling tidak pun kita akan sapu minyak atau gel aloe vera untuk kurangkan rasa gatal atau sakit. Biasanya kejap je rasa sakit gigitan serangga, tapi jangan garu tempat digigit itu secara berlebihan ya!
Baru-baru ini seorang ibu, Puan Juliana kongsikan mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada 17 Januari yang lalu. Anak lelaki beliau, Imraan Danish yang baru berusia dua tahun, telah dijangkiti bakteria pemakan daging yang dikenali sebagai Group A Streptococcus (GAS), selepas kaki kanannya digigit serangga.
Hanya Kerana Gigitan Serangga
Segalanya bermula dari gigitan serangga yang kemudian menjadi luka mungkin kerana dia garu. Luka tersebut dijangkiti bakteria hingga menembusi sistem badan dan mula menjejaskan kesihatannya.
Namun, Puan Juliana tidak dapat mengenal pasti serangga apa yang menggigit kaki anaknya.
Di mana dan serangga apa yang mengigitnya, kami tidak dapat menjawab persoalan itu,
ujar Puan Juliana.
Demam Panas Melampau
Dalam status yang dikongsikan Puan Juliana tersebut, difahamkan adik Imraan pada mulanya mengalami demam panas yang melampau. Tetapi setelah diberi ubat, adik Imraan kembali pulih. Puan Juliana tidak menyangka apa-apa perkara buruk akan berlaku sehingga dia mula menyedari keadaan anaknya semakin teruk. Anaknya terus dibawa ke hospital, dan ditahan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak.
Difahamkan, selepas lima minggu menjalani rawatan di hospital, keadaan Imraan kembali pulih. Namun masih ada luka di kaki kanannya yang dijangkiti. Oleh itu, Imraan masih berada dalam pantauan doktor.
Dari awal lagi doktor kata kaki Imraan mungkin akan dipotong, tetapi doktor cuba sedaya-upaya merawat Imraan sebelum keadaannya bertambah teruk,
kata Puan Juliana lagi.
Terus Bawa Anak Ke Unit Kecemasan Jika Keadaan Anak Tidak Normal
Puan Juliana turut menasihatkan ibu bapa supaya jangan berlengah untuk bawa anak ke unit kecemasan jika demam berlarutan, timbul ruam-ruam di badan dan jika anak tidak lalu makan.
Terus dapatkan rawatan doktor atau terus bawa ke hospital jika ternampak kesan gigitan serangga yang tidak normal pada badan anak anda. Jangan jadi seperti saya. Saya sangkakan ia kesan gigitan normal, tapi ia boleh menyebabkan saya kehilangan anak.
Apa itu Group A Streptococcus (GAS)?
Group A Streptococcus (GAS) merupakan sejenis bakteria yang terdapat di pelbagai permukaan, serta sangat mudah untuk menyerang sesiap sahaja; yang dewasa mahupun kanak-kanak. Bakteria ini dapat menjangkiti manusia melalui pelbagai cara, baik dari sentuhan, luka terbuka, melalui udara dan juga ketika proses kelahiran. Ianya boleh menjangkiti saluran pernafasan dan pencernaan, serta darah dan jantung manusia.
Jika ada antara ahli keluarga Mama mengalami luka di badan, cepat-cepat cuci luka tersebut dan sapukan minyak yang bersesuaian. Kalau keadaannya menjadi semakin teruk, Mama terus bawa berjumpa dengan pakar, untuk mengelak daripada berlaku kejadian yang tidak diingini.