Masalah kesihatan yang dilihat semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak hari ini sebahagiannya adalah berpunca daripada persekitaran yang tidak sihat. Dengan keadaan pencemaran udara, ibu bapa dinasihatkan agar mengambil langkah proaktif dengan mengurangkan aktiviti luar anak masing-masing. Persekitaran yang tercemar boleh menyebabkan masalah kesihatan menjadi bertambah teruk terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai alahan.
Gangguan alahan bukan hanya dialami oleh orang dewasa malah golongan kanak-kanak. Alahan awal yang dikenali sebagai alahan rhinitis ini akan menjadi lebih serius sekiranya tidak dirawat dengan segera. Alahan Rhinitis merupakan permulaan penyakit alahan dalam hidung yang akan dialami oleh sesiapa sahaja sebelum merebak dan menjadi lebih teruk. Untuk itu, rawatan awal perlulah diberikan kepada pesakit untuk mengelakkan perkara yang lebih serius terjadi terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak.
- Ini kerana sekiranya merebak, penyakit tersebut susah untuk diubati dan dipulihkan seperti sedia kala. Tanda-tanda awal yang menunjukkan seseorang itu sedang mengalami alahan rhinitis adalah kerap bersin, hidung berhingus, hidung tersumbat, dan gatal di sekitar hidung.
- Alahan rhinitis berlaku apabila membran hidung mengalami radang dan akan mengakibatkan berlendir akibat pendedahan dan pencemaran dalam udara.
- Apabila bahan yang mencetuskan alahan dan antibodi bercampur, badan akan memberi tindak balas dengan menyedari kehadiran bahan-bahan kimia tertentu seperti histamina, leukotrienes, dan prostaglandin.
- Sekiranya alahan rhinitis ini tidak dibendung pada peringkat awal akan menjadi lebih serius, bukan sahaja menyebabkan penyakit sinusitis malah boleh mengakibatkan hidung berdarah.
SINUSITIS
Selama ini orang ramai beranggapan simptom yang berlaku terhadap penyakit alahan ini adalah sinus. Sebenarnya tanggapan tersebut tidak benar kerana sinus bermaksud rongga kosong yang terdapat di dalam tulang tengkorak atau pipi di bahagian muka.
- Sinusitis adalah penyakit yang berpunca daripada alahan rhinitis, yang mana semua rongga-rongga sinus akan tersumbat sama ada oleh nanah atau hingus.
- Sinusitis boleh menyebabkan kesakitan dan sakit apabila disentuh dan membengkak di sekeliling mata, pipi, hidung atau pun dahi.
- Sinusitis jarang dijangkiti kanak-kanak melainkan mereka memasukkan benda ke dalam lubang hidung.
Melalui penyakit alahan rhinitis ini, kanak-kanak juga boleh menghidap penyakit asma dan ekzema. Keadaan itu akan berlaku pada masa yang sama, bagaimanapun penyakit asma akan berkurangan sekiranya alahan rhinitis ini dirawat pada peringkat awal. Alahan rhinitis sebenarnya berpunca daripada habuk-habuk di dalam rumah dan juga persekitaran termasuklah asap rokok dan tidak terkecuali makanan, ubat-ubatan dan susu tepung. Selain itu elakkan atau jauhkan anak-anak daripada terlalu rapat dengan haiwan peliharaan seperti kucing, kerana bulu binatang boleh menyebabkan alahan rhinitis. Begitu juga persekitaran dalam rumah seperti permaidani yang mudah mengumpul habuk.
RAWATAN UNTUK ALAHAN RHINITIS
- Kanak-kanak, ujian darah akan dilakukan dan sekiranya antibodi Immunoglobin E (IgE) tinggi maka anak anda sememangnya mempunyai alahan.
- Pada masa yang sama, jika anda sememangnya mempunyai penyakit alahan, elakkan atau jauhi benda-benda yang boleh menyebabkan alahan terjadi. Ini kerana sekiranya pesakit hanya bergantung kepada pengambilan ubat, keputusan yang diperoleh tidak 100 peratus.
- Untuk pengambilan ubat pula, biasanya kanak-kanak ini akan dibekalkan dengan ubat-ubatan anti alahan selain ubat semburan untuk membuka rongga-rongga sinus.
- Yang pasti, kadar kesedaran masyarakat terhadap alahan hari ini masih belum memuaskan. Disebabkan faktor ini, ramai pesakit tidak mendapatkan diagnosis doktor atau rawatan lebih awal sehingga menjurus kepada pelbagai masalah seperti sakit kepala, gangguan tidur, kurang daya tumpuan, lelehan hingus, dan sesak nafas.
Sumber: Utusan