Kebanyakan ibu pernah mengalami situasi di mana anak tidak mahu makan. Ada ketikanya terpaksa berperang dengan anak untuk memaksa mereka makan, sedangkan pada usia setahun ke atas, pemberian makanan yang berkhasiat amat penting kepada anak-anak. Ini kerana pada peringkat usia tersebut kadar tumbesarannya mulai perlahan dan ini amat berkait rapat dengan apa yang dimakan, berapa banyak dan berapa kerap anak-anak makan.

Anak-anak mungkin hanya makan sejumlah kecil makanan atau mengambil makanan ringan sepanjang hari. Dia juga mungkin hanya mengambil sekali sajian (contohnya minum pagi) saja dan tidak selesa dengan corak tiga kali sajian sebagaimana yang diambil oleh orang dewasa. Disebabkan susah untuk makan, anak mungkin membentuk corak pemakanan yang agak luar daripada kebiasaan dan terlalu memilih makan. Contohnya dia mungkin mudah berasa bosan dengan makanan yang biasa diambil atau mahu makanan yang sama sepanjang minggu.
Masalah pengambilan makanan yang berlarutan ini, mungkin akan menyebabkan kadar pertumbuhan anak menjadi perlahan. Jika berat badan dan tahap kesihatannya secara keseluruhan menurun adalah disarankan agar ibu bapa membawa anak bertemu doktor. Terdapat beberapa corak pemakanan anak-anak yang kerap merisaukan ibu bapa, antaranya anak hanya mahu mengambil satu jenis makanan saja.
- Perkara ini berlaku pada kebanyakan kanak-kanak, tetapi ibu bapa tidak perlu terlalu risau. Sebaliknya, cuba pujuk anak untuk makan sesuatu dari setiap kumpulan piramid makanan. Merasa makanan terlebih dahulu biasanya berkesan dalam memujuk anak untuk makan.
- Satu lagi corak pemakanan anak-anak ialah enggan untuk makan sayur-sayuran. Anak-anak sepatutnya diperkenalkan dengan makanan berasas sayur-sayuran ketika peringkat penyusuan susu formula lagi.
- Jika anak sudah melepasi usia setahun, ibu bapa mungkin menghadapi kesukaran untuk memujuk anak agar menyukai sayur-sayuran. Bagaimanapun, keadaan ini masih belum terlambat dan mungkin boleh diatasi dengan menyajikan sayuran yang berbeza-beza setiap hari dan cara memasaknya juga berbeza-beza. Wujudkan suasana menyeronokkan ketika memberi makan dengan bercerita atau memberi gambaran yang meriangkan dan menarik minat anak untuk untuk merasai sayur-sayuran.
- Selain itu, ibu bapa juga mungkin menghadapi anak yang makan terlalu sedikit berbanding rakan-rakan sebayanya. Jika keadaan ini berlaku sekali-sekala, ia bukanlah sesuatu yang merisaukan kerana kadar tumbesaran anak masih baik dan tidak terjejas.
- Bagaimanapun, jika keadaan ini berlarutan dan anak menunjukkan penurunan berat badan, ibu bapa disaran agar mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan bagi mengatasi masalah tersebut.
- Adakalanya anak-anak begitu berselera untuk makan dan ada ketikanya tidak mahu makan langsung. Selera makan yang berubah-ubah ini adalah normal bagi kanak-kanak sebagaimana orang dewasa juga.
- Sedikit sebanyak, sebenarnya ia juga membantu ibu bapa mengenal-pasti makanan kesukaan anak-anak atau mengetahui sama ada anak tersebut sihat atau sebaliknya. Dalam pada itu, sesetengah kanak-kanak mempunyai tabiat suka menyimpan makanan di dalam mulut dan tidak menelannya.
- Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan gangguan tumpuan pada waktu makan, contohnya makan sambil menonton televisyen atau bunyi radio yang terlalu kuat, atau tanda anak mungkin sudah kenyang. Antara cara mengatasi masalah tersebut ialah dengan memastikan suasana ketika makan tenang dan menyeronokkan.
- Selain itu, jangan sesekali menggunakan cara paksaan contohnya seperti menyuap sesudu besar makanan, sebaliknya gunakan sudu yang bersesuaian dengan kanak-kanak.
- Ada ketikanya juga kanak-kanak lebih berminat dengan perkara lain menyebabkan mereka tidak menghiraukan makanan yang hendak disuap atau dihidangkan. Keadaan ini bukan sesuatu yang luar biasa kerana pada usia ini kanak-kanak amat suka bermain dan memenuhi naluri ingin tahu mengenai sekeliling mereka. Ini menyebabkan mereka kehilangan minat dan tumpuan terhadap makanan. Walaupun bersifat sementara, jika ia berlaku terlalu kerap boleh membawa mudarat dan ibu bapa harus membincangkan masalah tersebut dengan pakar pemakanan atau doktor.
Sumber: Internet