Sejujurnya pernah tak Mama terbandingkan anak sendiri dengan anak orang lain? Kadang-kadang Mama tertanya-tanya kenapa anak Mama tak sebijak atau sepandai anak orang lain. Tahukah mama banyak kesan membandingkan anak-anak ni? Bukan kesan yang positif ye Mama, tapi kesan yang negatif dan mungkin boleh membuatkan anak-anak rasa seperti tak disayangi.
“Eh, anak Cik Kiah sebelah rumah tu dah pandai membaca lah. Anak kita ni nak mengeja pun merangkak lagi. Haih.”
Mama Papa pernah sebut tak ayat-ayat macam ini? Kalau pernah, ini dah bermaksud mama papa dah membandingkan anak-anak sendiri dengan anak orang lain. Mesti Mama Papa rasa macam ini benda biasa je kan? Mama Papa tahu tak sebenarnya bila kita membandingkan anak-anak kita dengan orang lain, tak kisahlah dengan sepupu ke anak jiran ke walhal adik beradik mereka sendiri, ia akan menyebabkan kesan jangka masa panjang kepada anak-anak tau.
Ini Mama Siti akan kongsikan kesan-kesan buruk yang boleh berlaku ke atas anak-anak jika kita membanding-bandingkan mereka. Take note ye Mama Papa!
Kesan Buruk Jika Membandingkan Anak-anak
#1 Anak tak berkeyakinan diri
Bila anak-anak selalu dibandingkan dengan orang lain, mereka akan mula rasa rendah diri. Mereka tak ada keyakinan untuk menonjolkan diri di hadapan khalayak ramai. Mereka juga tak akan berkeyakinan untuk menceburi bidang-bidang baru kerana mereka rasa apa saja yang dia lakukan pasti tak mencukupi untuk membanggakan Mama dan Papanya. Ini semua boleh berlaku bila Mama Papa selalu membandingkan anak tanpa pernah sekali pun memuji mereka di hadapan orang lain. Haa, inilah padahnya bila kita hanya tahu membawang tentang keburukan orang je.
#2 Anak-anak akan mula rasa iri hati dan dengki
Antara kesan perbandingan juga boleh menimbulkan rasa iri hati dalam diri anak-anak terhadap adik beradik atau sepupu yang dibandingkan. Persaingan antara adik beradik (sibling rivalry) juga boleh berlaku. Oleh sebab itulah, setiap kali mereka berkumpul, pasti akan ada adegan bertikam lidah dan bergaduh sesama mereka. Pertalian antara adik beradik juga akan mula renggang disebabkan oleh perasaan negatif yang timbul dalam diri mereka.
#3 Anak-anak tak berminat untuk melakukan persaingan secara sihat
Mereka akan mula hilang minat untuk bersaing kerana risau dengan keputusan akhir yang bakal diperolehi. Mereka juga takut kalau pencapaian mereka tak setaraf dengan kanak-kanak yang selalu dibanding oleh Mama Papa, Mama Papa akan mula merendah-rendahkan mereka. Anak-anak akan bertindak untuk menyepi daripada mendapat perhatian orang ramai. Natijahnya, anak-anak tak mahu melibatkan diri dalam apa-apa jenis perlumbaan, pertandingan atau persaingan kerana bimbang akan persepsi yang bakal mereka terima dari orang sekeliling.
#4 Membandingkan anak-anak akan buatkan anak semakin jauh
Perbandingan yang melampau juga akan menyebabkan anak-anak tak mahu rapat dengan Mama Papa. Ini akan buat mereka risau jika mereka berkongsi sesuatu dengan Mama Papa. Mama Papa akan mula membandingkan diri mereka dengan anak-anak yang lain. Contohnya, bila mereka memberitahu yang mereka berjaya dalam peperiksaan dan Mama Papa mula menjawab ;
Abang Adam dulu boleh dapat lebih banyak daripada Adam. Kenapa Adam tak boleh buat benda yang sama?
Kalau itulah respon yang diberikan Mama Papa, semestinya Adam akan rasa Mama Papa tak hargai usahanya. Inilah yang akan membuatkan anak-anak bertindak memendam perasaan mereka daripada memberitahu Mama Papa.
#5 Lupa tentang kebahagiaan diri sendiri
Anak-anak yang selalu dibandingkan ini akan lebih mementingkan kebahagiaan Mama Papa mereka tanpa menghiraukan kebahagiaan mereka sendiri. Sebagai contoh, mereka akan memilih kerjaya atau minat yang boleh menyenangkan Mama Papa walaupun sebenarnya mereka langsung tak berminat dengan bidang yang dipilih. Akhirnya, bila mereka dah dewasa mereka akan mula menyalahkan Mama Papa di atas keputusan yang dipilih.
Sekarang, Mama Papa mesti dah tahu kan akibatnya? Membanding-bandingkan anak ni bukan semuanya negatif tapi ia semua bergantung kepada cara dan perkataan yang digunakan. Walaupun membandingkan anak-anak ini wujud dari zaman dulu lagi dan dah menjadi tradisi, ianya tak semestinya betul.
Semoga bermanfaat!
BACA JUGA ‘GUIDELINES’ MENDIDIK ANAK-ANAK DENGAN POSITIF
Pesan Mama Siti
Sebagai mama papa, kita janganlah nak pentingkan diri dan fikir malu kita je. Fikir juga perasaan anak-anak jika kita membandingkan mereka. Hati perasaan mereka pasti terguris dan mereka pasti rasa seolah-olah Mama Papa tak sayangkan mereka. Kesan buruk itu akan selamanya tertanam dalam hati mereka jika Mama Papa tak ubahnya dari sekarang. Mereka mungkin bukan yang terbaik tapi ada caranya untuk betulkan mereka.