Ramadan semakin menghampiri penghujungnya. Selain sibuk dengan persiapan baju raya dan kuih raya, ada satu perkara penting yang Mama Papa tak boleh lupa, bayar zakat fitrah.
Ini bukan sekadar amalan, tapi satu kewajipan bagi setiap Muslim yang berkemampuan.
Kalau masih keliru tentang hukum membayar, bagaimana cara membayarnya, kadar zakat, atau nak tahu ke mana wang zakat disalurkan, teruskan membaca. Mama Siti akan kongsikan semua yang Mama Papa perlu tahu tentang zakat fitrah.
Apa Itu Zakat Fitrah & Kenapa Wajib Bayar?

Zakat fitrah adalah sedekah wajib yang dikeluarkan menjelang Aidilfitri sebagai tanda penyucian diri selepas berpuasa selama sebulan. Ia juga sebagai tanda syukur kita kepada Allah atas rezeki yang diberikan dan membantu mereka yang kurang bernasib baik untuk sama-sama menyambut Hari Raya dengan lebih gembira.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai penyuci bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan sia-sia dan perkataan keji serta sebagai makanan bagi orang miskin.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Hakim)
Maksudnya, zakat fitrah bukan sekadar ‘bayaran’, tetapi ia berfungsi sebagai penyuci amalan Ramadan kita dan sebagai bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Apa Hukum Jika Sengaja Tak Bayar Zakat Fitrah?

Zakat fitrah ni mungkin nampak kecil jumlahnya, tapi hukumnya tetap wajib untuk semua Muslim yang mampu. Kalau sengaja tak bayar, bukan main-main ya hukumya berdosa besar. Bukan setakat berdosa, malah kena qada dan bertaubat betul-betul.
Kalau terlupa pula, masih boleh bayar lepas Aidilfitri dengan niat qada, cuma sayanglah sebab pahala utama tu dah kurang. Sebab tu, lebih baik Mama Papa siapkan awal, jangan tunggu sampai saat akhir.
Jangan buat endah tak endah, sebab ni bukan sekadar nak ‘cukup syarat’, tapi sebenarnya untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan supaya mereka pun boleh rasa kegembiraan Aidilfitri.
Bayangkan kalau kita berada di tempat mereka, mesti kita pun nak ada rezeki lebih untuk sambut raya dengan tenang, kan?
Jadi, setiap kali Ramadan nak berakhir, pastikan Mama Papa tunaikan zakat fitrah supaya hati tenang, rezeki berkat, dan ibadah kita diterima Allah.
Siapa Wajib & Bila Kena Bayar Zakat Fitrah?

Tak kira siapa kita, asalkan yang mampu, zakat fitrah wajib ditunaikan setiap tahun sebelum Aidilfitri. Nak tahu siapa yang kena bayar? Nah, Mama Siti listkan supaya jelas:
- Dewasa atau kanak-kanak – Asalkan masih hidup ketika masuknya 1 Syawal.
- Lelaki atau wanita – Semua Muslim tanpa mengira jantina.
- Mama Papa atau penjaga – Perlu membayar bagi pihak anak-anak yang belum baligh dan ahli keluarga yang ditanggung.
- Orang miskin yang mampu – Jika ada cukup makanan untuk diri sendiri dan keluarga pada pagi raya, tetap wajib bayar.
Contoh mudah:
1. Papa yang ada isteri dan tiga anak wajib bayar zakat fitrah untuk lima orang, termasuk dirinya sendiri.
2. Kalau Mama yang bekerja dan menanggung ibu bapanya, dia boleh membayar zakat bagi mereka.

Selain tahu siapa wajib bayar, penting juga kita tahu bila waktu yang terbaik untuk tunaikan zakat fitrah supaya ibadah kita sempurna:
- Waktu Afdal (Terbaik) – Sepanjang ramadan hingga sebelum solat sunat Aidilfitri.
- Waktu Wajib – Bermula selepas terbenam matahari malam raya hingga sebelum solat sunat Aidilfitri.
- Waktu Harus – Dari awal Ramadan, boleh bayar lebih awal untuk elak terlupa.
- Waktu Makruh – Selepas solat sunat Aidilfitri tetapi sebelum terbenam matahari 1 Syawal.
- Waktu Haram – Selepas terbenam matahari 1 Syawal tanpa sebab yang kukuh.
Jangan tangguh-tangguh! Lagi awal bayar, lagi tenang hati. Bayar last minute takut terlupa atau tak sempat, nanti jatuh ke dalam kategori makruh atau haram. So, dah tahu kena bayar, jangan lengah-lengah ya!
Berapakah Kadar Bayaran & Cara Mudah Bayar?

Kadar zakat fitrah berbeza ikut negeri dan jenis beras yang kita makan. Majlis Agama Islam negeri akan tetapkan jumlahnya berdasarkan harga beras di pasaran semasa. Biasanya, kadar zakat fitrah di Malaysia dalam lingkungan RM7 hingga RM30 seorang, bergantung pada negeri dan pilihan kadar yang ditetapkan.
Nak tahu kadar zakat fitrah di negeri Mama Papa? Jangan main agak-agak! Semak terus di laman web rasmi Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Contohnya:
- Johor – RM7, RM10, RM20
- Selangor – RM7, RM14, RM21
- Kuala Lumpur & Putrajaya – RM7, RM14, RM21
Jadi, sebelum bayar, pastikan semak kadar terkini ya!

Dulu, nak bayar zakat perlu cari amil bertauliah di masjid atau surau. Tapi sekarang, semuanya lebih mudah dan cepat. Jadi, tak ada alasan untuk Mama Papa tangguhkan bayar zakat fitrahnya. Antara cara yang boleh dipilih:
- Bayar kepada yang bertauliah – Pergi ke masjid, surau, atau tempat kutipan zakat yang sah.
- Bayar online – Guna portal zakat negeri, perbankan internet, atau e-dompet seperti MAE, ShopeePay, dan Touch ‘n Go.
Nak cara paling senang? Transfer je guna e-dompet! Beberapa klik je, dan selesai! Tak perlu keluar rumah pun. Yang penting, bayar sebelum tempoh tamat supaya ibadah kita sempurna, hati tenang, dan raya penuh keberkatan!
Jangan lupa, sebagai ketua keluarga, tanggungjawab ni mesti ditunaikan supaya semua ahli keluarga dapat meraikan Aidilfitri dengan keberkatan.
Jangan lupa bayar zakat fitrah ye Papa!
Apa amalan yang Mama period boleh lakukan untuk mengejar malam lailatul qadar? Klik di SINI.