KelabMama

MAMA WAJIB BACA – PETUA-PETUA YANG TIDAK HARUS DIAMALKAN JIKA ANAK DEMAM KUNING!

demam kuning

Apa perkara pertama Mama akan buat bila bayi terkenan demam kuning? Selain rawatan di hospital, terdapat pelbagai petua tradisional yang biasa diamalkan ibu bapa kesan daripada nasihat orang yang kononnya lebih berpengalaman. Sebaik-baiknya ibu bapa tidak terus melakukannya tanpa mendapatkan pandangan daripada doktor pakar terlebih dulu. Ini kerana ada antara amalan tradisional ini belum terbukti keberkesanannya.

Dibawah KelabMama senaraikan antara petua-petua yang patut dielakkan:

Menjemur bayi.

Ramai ibu percaya dengan menjemur bayi di bawah sinaran matahari dapat menghilangkan kekuningan yang ada pada bayinya. Lazimnya, amalan ini dilakukan pada awal pagi di sekitar jam 8.30 pagi sehingga 9.30 pagi. Ia tidak mengambil masa yang lama. Hanya dilakukan antara 10 hingga 15 minit sahaja.  Sekiranya bayi didedahkan terlalu lama kepada pancaran matahari, dikhuatiri ia boleh menyebabkan masalah lain seperti kerosakan retina dan strok. Namun kebanyakan pakar perubatan tidak menggalakkannya kerana hanya rawatan fototerapi di hospital sahaja dapat memberi kesan positif pada jaundis yang dialami bayi.

Minum susu kambing.

Memberi bayi minum susu kambing boleh memberi kesan buruk kepada bayi! Hal ini kerana sehingga kini belum terdapat sebarang kajian menyatakan susu kambing mampu mengurangkan tahap bilirubin pada bayi. Malah pemberian susu kambing yang berlebihan boleh menyebabkan masalah-masalah lain seperti cirit-birit atau radang usus.

Makan jamu dan halia.

Amalan memakan banyak jamu yang tidak diketahui kandungan bahan kimia yang terkandung di dalamnya akan menyebabkan pengurangan enzim yang membantu dalam penyingkiran bilirubin apabila bayi anak menyusukan bayi. Oleh sebab itulah, ibu yang anaknya mengalami jaundis perlu mengelakkan diri daripada mengambil jamu dan makanan yang “panas” untuk sementara waktu. Begitu juga dengan halia, lada hitam dan lain-lain yang dipercayai boleh menyebabkan tahap bilirubin meningkat.

Memberi air glukos.

Terdapat ramai orang sering mencadangkan supaya bayi yang mengalami jaundis diberi air glukos bagi mengurangkan masalah demam kuning. Jangan begitu! Sebenarnya petua ini amat merbahaya kerana air glukos boleh menyebabkan bayi mengalami kembung perut dan pada masa yang sama bilirubin tidak dapat dikeluarkan melalui najis.

Mula memberi susu formula.

Jangan sesekali memberikan susu formula kepada bayi sebaik sahaja tahu dia mengalami jaundis. Sebaliknya, lakukan lebih banyak rangsangan supaya bayi dapat menyusu terus daripada payu dara. Pemberian susu formula sama seperti pemberian susu kambing mahupun air glukos yang mana langsung tidak dapat membantu bayi mengeluarkan bilirubin daripada tubuhnya dengan sempurna.