KelabMama

Jamu Boleh Mencantikkan & Mengekalkan Tenaga Mama, Tapi Ada Bahayanya

Pengambilan jamu bagi tujuan menjaga kesihatan diri secara tradisional bukanlah amalan yang asing dikalangan masyarakat kita. Malah, pada zaman teknologi hari ini, jamu masih relevan diamalkan khususnya bagi wanita yang baru melahirkan anak.

Meskipun ada sebahagian individu yang sudah mulai menolak amalan turun-temurun ini, namun tak kurang juga masih ada golongan yang begitu menitik-beratkan pengambilan jamu dalam kehidupan seharian. Persoalannya, adakah jamu sebenarnya merawat masalah dalaman atau merisikokan diri?

#Kesan Jamu Pada Kesihatan

Sebelum bercerita lanjut tentang kesan jamu dalam tubuh badan, Mama Siti berpendapat adalah penting untuk tahu apa yang dimaksudkan dengan jamu.

Jamu diambil bagi tujuan kesihatan diri dengan cara pembuatan adalah berasaskan bahan semulajadi. Lazimnya, sesebuah ramuan itu dikira jamu apabila kaedah pengambilannya diambil melalui minuman contoh seperti air kunyit air akar kayu dan sebagainya. asalkan ia diminum, ianya dikira jamu.

Sementara amalan tradisional makan pucuk-pucuk daun pula dipanggil ulam-ulaman. Bagaimanapun, zaman moden kini, banyak jamu dihasilkan secara kapsul, namun kaedah pengambilannya masih sama iaitu diminum bersama air kosong.

Dek kerana pembuatan jamu moden kini, portal My Health menjelaskan penghasilannya wajib dipantau pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia lantaran terdapat sikap penjual yang tidak bertanggungjawab mencampurkan ramuan lain termasuk bahan kimia ke dalam produk tradisional mereka bagi tujuan membuktikan keberkesanannya.

Jadi, sekiranya Mama mengamalkan jamu yang dihasilkan sendiri berasaskan tumbuh-tumbuhan semulajadi, sudah pasti ianya selamat.

Cuma memerlukan tempoh masa lama untuk memperoleh hasilnya. Bagaimanapun, jika Mama mahu membeli jamu dikeluarkan oleh pihak pengilang, pastikan ia ia mendapat kelulusan KKM bagi menjamin keselamatan pengguna.

Menurut portal sama, ketika ini, kecenderungan pengguna untuk mengambil suplemen kesihatan atau produk tradisional bagi mengekalkan atau meningkatkan taraf kesihatan telah mendorong segelintir pengeluar produk yang tidak bertanggungjawab mencampurkan bahan terlarang ke dalam produk mereka.

Aktiviti ini dilakukan bagi meyakinkan pengguna kononnya produk mereka ni berkesan sebagaimana tuntutan yang dibuat.

Hal ini berlaku dan semakin menjadi-jadi akibat kerakusan sesetengah pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan mengambil kesempatan terhadap golongan yang mempunyai keinginan untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka.

Sikap penguna yang inginkan kesan yang cepat tanpa mempedulikan akibatnya turut menyumbang kepada kewujudan gejala ini.

Justeru, bila dah tersalah ambil produk, apa kesannya pada kesihatan?

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ketika diwawancara oleh Berita Harian pada 2019 berkata, pengguna yang mengambil produk semula jadi (jamu) yang dicampur racun terdedah kepada risiko kesan sampingan termasuklah peningkatan tekanan darah, kerosakan buah pinggang, peluh berlebihan dan elangiectasia (pengucupan kapilari darah).

Kata beliau, jamu atau majun diklasifikasikan sebagai produk tradisional perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan KKM sebelum boleh dipasarkan.

Ujarnya, sesuatu persediaan yang dikategorikan sebagai produk tradisional hendak mengandungi hanya bahan semula jadi dan tidak boleh dicampurkan dengan sebarang bahan terlarang. 

Justeru, Mama disarankan mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil produk berkenaan, terutama jika anda turut consume ubat daripada doktor untuk sebarang penyakit.

Penggunaan bahan asing dalam jamu seperti sildenafil tanpa pengawasan pakar menyebabkan kesan serius seperti tekanan darah rendah, pengurangan atau kehilangan pendengaran dan menjejaskan kesihatan kardiovaskular. Justeru, sangat bahaya sekiranya produk ini digunakan individu berisiko.

#Jenis-jenis Jamu

Meskipun generasi moden kini ramai menolak pengambilan jamu lantaran berasa tiada keistimewaan atau khuatir dengan produk jamu beracun, namun ia tidak menafikan bahawa jamu sebenarnya sumber terbaik kepada manusia. Asalkan ia adalah 100 peratus semulajadi.

Manusia dan alam saling memerlukan. Justeru, kewujudan pelbagai tumbuh-tumbuhan tetap mempunyai khasiat diperlukan tubuh kita. Mari Mama Siti kongsikan jenis jamu serta manfaatnya.

1. Air kunyit

Ini boleh dihasilkan sendiri di rumah. Hanya ambil kunyit dan tumbuk kemudian bancuh dengan air. Memang rasanya kurang enak, namun tahukah Mama kunyit mempunyai khasiat yang sangat baik untuk tubuh termasuklah menguatkan anti-body seseorang.

Menurut perkongsian Facebook oleh seorang doktor perubatan, Dr Mazliana Mazlan, kunyit mengandungi curcumin yang mana berfungsi sebagai antiradang, antibakteria, antifungal dan antioksida. Ia juga baik untuk kulit, usus dan imuniti. Bagus untuk mood anak dan otak.

2. Air akar kayu

Portal Harian Metro memberitahu, akar kayu direbus selama tiga jam mempunyai khasiat untuk pesakit kencing manis, darah tinggi, kolestrol tinggi dan mampu menghilangkan lenguh sendi serta memberi tenaga.

Air akar kayu adalah daripada sumber alam semula jadi yang tidak mempunyai bahan kimia dan digunakan nenek moyang kita sejak dulu lagi kerana mempunyai banyak khasiat.

Kebiasaannya, orang tua dahulu meminum air akar kayu direbus berdasarkan campuran 12 akar kayu untuk mengekalkan tahap kesihatan badan mereka antaranya tengkuk biawak, tongkat ali hitam, dedawai, lelada, susu, balik angin, lelimau, tapak itik, tetupai, ubi jaga, hempudu ular dan sarsi.

3. Air rempah ratus bersama daun sirih

Jamu campuran daun sirih, kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan halia dikatakan mampu merawat batuk, sakit tekak dan mulut, menghilangkan bau badan, membuang angin badan serta melegakan urat saraf.

Banyak kebaikan terkandung dalam setiap bahan yang digunakan ini sekaligus menjadikan minuman jamu ini adalah pilihan ramai masyarakat terdahulu.

4. Jamu halia

Menggunakan bahan campuran daripada halia, kunyit, asam jawa dan gula merah, jamu ini dianggap mujarab untuk menghilangkan sakit-sakit badan, mempercepatkan sembuh luka dalaman, melancarkan peredaran darah, membuang angin dan pelbagai lagi.

Mama boleh search kebaikan jamu jenis ini kerana ia antara jamu popular yang turut menjadi amalan kebanyakkan kaum wanita hingga hari ini. Pembuatannya mudah dan yang penting dijamin selamat!


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan panduan kesihatan dan pemakanan yang lain di SINI.