Kesan IV drip pemutih ini mungkin buat masa sekarang Mama belum nampak lagi, tapi ia membawa kesan kesihatan kepada Mama untuk masa jangka panjang. Tidak salah untuk cantikkan diri, cuma Mama perlu lebih berhati-hati dengan rawatan yang Mama lakukan.
Kesannya mungkin belum sekarang, namun Mama perlu tahu bahawa ia boleh memberikan impak terhadap kesihatan dalam jangka masa panjang.
Lebih baik memilih kaedah yang terbukti selamat dan mendapat pengiktirafan daripada pihak kesihatan. Ingatlah bahawa kesihatan adalah aset paling berharga yang perlu dijaga.
Apa itu IV Drip Pemutih?

IV drip whitening sebenarnya tidak pernah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan rawatan ini.
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di bawah KKM juga tidak pernah mendaftarkan mana-mana produk suntikan yang mengandungi vitamin C.
Walaupun klinik berdaftar seperti klinik estetik atau klinik GP menawarkan rawatan ini, ia tetap dianggap salah di sisi undang-undang.
Dari sudut perubatan pula, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara, tidak ada bukti saintifik yang menyokong dakwaan bahawa penggunaan IV drip vitamin C boleh memutihkan kulit. Ini hanyalah salah satu stigma yang tidak berasas.

Prosedur ini melibatkan penggunaan dos tinggi vitamin C, glutathione dan beberapa bahan lain yang disalurkan terus ke dalam badan melalui suntikan intravena.
Walaupun ada yang mendakwa rawatan ini memberikan hasil yang memuaskan, pakar kesihatan juga menegaskan bahawa terdapat risiko tertentu yang tidak boleh diabaikan.
Dos vitamin yang digunakan dalam prosedur ini selalunya sangat tinggi, dan penggunaannya boleh mendatangkan kesan sampingan serta risiko kesihatan yang serius.
Kesan IV Drip Pemutih untuk Jangka Masa Panjang
1. Merosakkan Hati dan Buah Pinggang

Penggunaan vitamin C atau glutathione dalam dos tinggi melalui IV drip memberikan kesan jangka panjang yang paling serius adalah kerosakan pada hati, seperti hepatotoksisiti, serta kerosakan buah pinggang yang boleh menyebabkan masalah penapisan.
Pengambilan vitamin C yang berlebihan juga boleh merosakkan buah pinggang, menyebabkan pembentukan kristal atau batu karang yang sukar diserap dan disingkirkan melalui air kencing.

Bukan hanya melibatkan kos tinggi untuk rawatan dialisis, tetapi ada kes yang teruk, boleh mengakibatkan buah pinggang terpaksa dibuang.
Walaupun glutathione dihasilkan secara semulajadi oleh tubuh, pengambilan berlebihan secara berterusan boleh memberi tekanan kepada hati, yang bertanggungjawab memproses bahan kimia dalam badan, dan mengganggu fungsi buah pinggang dalam menapis bahan toksik dari darah.
2. Masalah Hormon dan Kulit

Hormon Mama yang tidak seimbang boleh menjadi salah satu punca dan akibat daripada penggunaan suntikan vitamin C, walaupun ia digunakan untuk jangka masa pendek, kesannya tetap boleh membahayakan.
Ketidakseimbangan hormon ini bukan sahaja boleh menyebabkan masalah jerawat pada wajah dan badan Mama, malah turut berisiko menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak.

Selain itu, pengambilan suntikan vitamin C secara berlebihan juga boleh mendatangkan kesan sampingan pada kulit, seperti iritasi atau radang yang berpotensi membawa kepada hiperpigmentasi, kerana satu dos suntikan vitamin C mengandungi glutathione dan kolagen.
Walaupun glutathione berfungsi untuk mengurangkan melanin bagi menghasilkan kulit yang lebih cerah, pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan kulit menjadi lebih gelap atau berisiko tinggi untuk menghidap kanser kulit akibat bahan kimia yang terkandung dalam produk tersebut.
3. Cirit-birit

Salah satu kesan yang sering berlaku selepas beberapa kali suntikan adalah cirit-birit atau diarrhea, di mana sistem pencernaan Mama menjadi lebih sensitif dan sukar dikawal.
Pengambilan vitamin C dalam jumlah yang berlebihan akan menyebabkan sebahagian daripada vitamin tersebut diserap melalui dinding usus, sementara yang tidak dapat diserap akan kekal di dalamnya.
Keadaan ini menyebabkan kesan osmotik, di mana tekanan dan jumlah air yang banyak ditarik ke dalam usus akan membuatkan najis menjadi lebih cair, seterusnya menyebabkan cirit-birit menjadi lebih teruk.
Selain itu, Mama juga akan alamai masalah lain seperti muntah dan loya juga boleh berlaku, kerana pengambilan vitamin C berlebihan boleh menyebabkan sedikit pengasidan pada perut.
4. Menyebabkan Menopause Awal

Pengambilan suntikan vitamin C yang berlebihan boleh menyebabkan masalah pada rahim, seperti kekeringan yang mengurangkan peluang untuk hamil.
Mama yang menggunakan suntikan ini juga berisiko mengalami menopause lebih awal, sebelum berusia 50 tahun, kerana bahan-bahan dalam suntikan tersebut boleh mempercepatkan proses menopause.
Kitaran kesuburan yang biasanya boleh dijangka dan dikawal menjadi tidak stabil akibat pengambilan suntikan tersebut, walaupun tempoh haid masih berlaku, ia menjadi lebih singkat dan mungkin lebih sedikit berbanding sebelumnya.
Jadi, penting untuk Mama mempertimbangkan segala risiko dan kemungkinan yang mungkin timbul sebelum memutuskan untuk menggunakan suntikan vitamin C bagi tujuan memutihkan kulit, terutama bagi Mama yang masih muda.

Tidak salah untuk berusaha mencantikkan diri, tetapi Mama perlu sentiasa berhati-hati dan membuat kajian yang mendalam sebelum mencuba sebarang rawatan.
Pastikan rawatan yang dipilih mendapat pengiktirafan daripada KKM dan dilakukan oleh profesional yang bertauliah. Jangan mudah terpedaya dengan janji manis atau promosi yang kelihatan terlalu baik untuk dipercayai.
Walaupun IV drip whitening kelihatan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan kulit cerah, risiko kesihatan yang terlibat tidak boleh dipandang remeh.
Ingatlah bahawa kecantikan sebenar bermula dari dalam. Kesihatan adalah aset paling berharga yang perlu dijaga. Berusahalah untuk kekal sihat dan cantik dengan cara yang selamat.
Kesihatan tubuh perlu diutamakan berbanding kecantikan yang bersifat sementara.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Apakah hukum melakukan vasectomy dan kesannya kepada kesihatan Papa? Klik di SINI.