Daya sensitiviti kanak-kanak sangat tinggi, secara semula jadi kanak-kanak amat sensitif, mudah rasa takut, cepat marah dan selalu dilanda perasaan cemburu. Anak anda seorang yang normal jika dia mempunyai sifat semulajadi memang ada pada setiap kanak-kanak. Kadangkala ada ibu bapa yang tidak boleh menerima sikap begitu dengan mengandaikan anak mereka yang masih tidak mengerti apa-apa itu sebagai degil dan tidak mahu mendengar kata. Renung semula, si kecil atau anda sebagai orang dewasa mempunyai akal fikiran yang lebih baik untuk menilai baik buruk sesuatu perbuatan. Pasti anda bukan? Apa yang anda harapakan untuk si kecil berusia 3, 4 atau 5 tahun untuk berfikir seperti fikiran anda? Jika anda merasakan umur sebegitu sudah mengerti pelbagai perkara bermakna anda silap dan perlu mendapatkan bimbingan segera!
JANGAN MUSNAHKAN SIFAT SEMULAJADI SI KECIL
- Perasaan ingin tahu yang tinggi. Itulah sebabnya kanak-kanak tidak boleh duduk diam dan meneroka sahaja apa yang ada di sekitar mereka. Mereka belajar melalui “first hand experience.” Ibu bapa perlu melibatkan anak-anak dengan aktiviti pembelajaran tidak langsung secara praktikal.
- Daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi. Ia bergantung pada umur kanak-kanak dan perlu dipupuk serta digalakkan. Daya kreativiti yang tinggi dapat menggarap potensi kanak-kanak menjadi seorang yang inovatif. Namun adakalanya, ibu bapa berpendapat anak suka berbohong. Tapi, sebenarnya mereka tidak berbohong sebaliknya berimaginasi.
- Perkembangan bahasa yang cepat. Berlaku dengan pantas dan mereka mudah menguasai sesuatu bahasa asing jika digunakan setiap hari. Bahasa membantu kanak-kanak menyampaikan keinginan dan perasaan. Tindak balas yang positif dan cara komunikasi yang betul dapat membantu kanak-kanak menguasai bahasa yang dipelajari.
- Kecenderungan menyusun dan membongkar barang. Apabila otot mula berkembang, kanak-kanak akan terdorong untuk mengumpul, menyusun barang-barang dan kemudian menyepahkan semula barang tersebut. Kanak-kanak secara semula jadi tidak suka melihat barang yang tersusun rapi. Jika anak suka barang tersusun, mungkin dia ada masalah lain seperti autisme. Jadi, sekiranya ingin menyusun atau mengemas sesuatu barang, jangan lakukan di depan anak.
JANA POTENSI ANAK
- Jangan membandingkan antara satu anak dengan yang lain kerana pastinya setiap individu itu berbeza pencapaian dan perkembangannya.
- Kenal pasti kekuatan anak dan bantu mereka mengatasi kelemahan atau kekurangan yang dimiliki.
- Jangan lupa berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak sepanjang masa.
- Untuk menjadi seorang ibu bapa yang responsif dan efektif, kita perlu mendengar luahan anak.
- Juga perlu sentiasa puji dan beri anak galakan supaya mereka rasa dihargai.
- Jangan lupa memberi ganjaran seandainya anak berjaya namun jangan berlebihan.
- Anak juga katanya perlu diberi peluang untuk berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa.
- Sebagai ibu bapa, tunjukkan tauladan yang baik kepada anak. Ingat, setiap perlakuan yang kita lakukan, sentiasa diperhati oleh anak dan tidak mustahil dia akan menirunya kelak.
Sumber: Internet