Istiqamah atau konsisten melawan nafsu dan keinginan diri adalah satu perjuangan yang amat besar. Membuat kebaikan bukanlah sesuatu yang sukar namun konsisten memerlukan disiplin dan perjuangan yang tinggi. Konsisten dengan hanya satu kebaikan lebih baik dari seribu kebaikan yang dilakukan hanya sekali.
Rasulullah SAW bersabda :
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”
(Hadith Riwayat Bukhari, no 6465)
Kepergian bulan Ramadan berlalu meninggalkan orang muslim yang bersedih dan bergembira meraikan Hari Raya Aidilfitri. Kegembiraan pada Hari Raya Aidilfitri adalah kerana berhasil melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan. Namun setelah tiba syawal, kebanyakan dari kita lalai dan tidak konsisten dengan kebaikan yang biasa diamalkan di bulan Ramadan.
Kembalikan Semangat Ramadan
1. Seorang muslim perlu sentiasa ikhlas dan jujur dalam amalan yang dilakukan. Di bulan Ramadan kita telah berusaha sebaik mungkin berbuat baik dan beramal soleh. Tetapi kita tidak sepatutnya melakukan amalan hanya kerana Ramadan.
Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu untuk mendapat keredhaan Allah sepanjang masa, walaupun selepas Ramadan berakhir.
2. Perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT. Kehidupan sebagai seorang muslim amat bergantung kepada hubungan dengan ALLAH. Bagi umat islam, Setiap aturan hidup telah ditentukan oleh ALLAH dan hanya DIA sahaja yang berkuasa mengizinkan sesuatu perkara berlaku.
Kita sebagai makhluk yang lemah hanya mampu berusaha dan berdoa agar diberi kekuatan agar kekal istiqamah.
3. Mencari sahabat dan persekitaran yang baik. Sahabat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi diri. Ibarat berkawan dengan penjual minyak wangi akan lekat wanginya berkawan dengan tukang besi akan lekat tengiknya.
Sahabat yang baik perlu dicari di sekeliling kita sebagai sahabat sekuliah, sepekerjaan, setaman, atau mungkin teman hidup antara suami isteri. Manakala suasana persekitaran juga penting kerana akan membantu kita meneruskan momentum sebagai hamba Allah SWT yang bertakwa.
Amalan Wajib Kekal Istiqamah
Pelbagai amalan kebaikan dilakukan sepanjang bulan Ramadan. Sebahagian kecil amalan yang diamalkan dalam bulan Ramadan hanya terdapat atau lebih istimewa dalam bulan Ramadan seperti solat tarawih dan berpuasa setiap hari berturut-turut.
Namun sebahagian besar amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadan adalah amalan yang biasa juga diamalkan pada bulan-bulan yang lain.
1- Pelihara solat fardu agar didirikan pada awal waktu dan dilaksanakan secara berjemaah di masjid atau surau seperti yang dilazimi ketika solat tarawih.
2- Lazimilah solat sunat rawatib dan solat sunat witir.
3- Berusaha bersungguh-sungguh untuk mendirikan qiyamullail dapat mengeratkan hubungan dengan sang pencipta.
4- Teruskan memperbanyakkan sedekah supaya empati kepada orang-orang susah tidak hilang, kerana mereka umpama berpuasa sepanjang hidup. Digalakkan juga menyertai pertubuhan yang sentiasa menjalankan kerja-kerja kebajikan dan amal.
5- Sentiasa melazimi membaca Al-Qur’an dan terjemahan setiap hari paling kurang satu ayat bagi dapat memahami kandungan Al-quran dan beramal dengannya.
6- Jangan lupa melaksanakan puasa enam bulan Syawal dan puasa sunat yang lain.
Tingkatkan amal ibadah dengan pelbagai panduan lain di SINI.