KelabMama

INI PERSEDIAN UNTUK HANTAR ANAK KE TADIKA. SADO KAN HATI YA MAMA!

Anak kecil meraung  tidak mahu ditinggalkan. Ibu atau bapa yang menghantar nampak serba salah. Para guru cuba menenangkan anak-anak kecil yang baru hendak belajar erti pergi ke sekolah. Namun, ada juga yang tidak berjaya ditenangkan, maka ibu atau bapa terpaksa menunggu di luar bilik sekolah supaya mata anak akan sentiasa nampak bahawa dia tidak ditinggalkan. Mengapakah ini masih berlaku dalam pendidikan negara yang semakin moden dan bakal mencapai status negara maju?

Ya, kerana inilah apa yang ramai anak-anak kita lalui pada minggu pertama persekolahan. Mereka merasakan pelbagai perasaan. Banyak ruang selesa (comfort zone ) yang perlu dipecahkan dan bila ini berlaku, maka keselesaan emosi dan mental tercabar. Walaupun dunia telah maju, fenomena ini masih wujud kerana keperluan asas utama manusia itu masih sama. Manusia perlukan rasa selamat. Apatah lagi manusia yang kecil itu.

Apabila rasa selamat mereka terganggu, mereka akan melakukan tindakan larI atau lawan. Lari di sini itulah yang kita lihat mereka tidak mahu ke sekolah dan meraung-raung agar tidak ditinggalkan. Lawan pula, mereka akan mengamuk dan membuat hal seperti memukul adik, memukul kawan atau mengadu domba akan perkara buruk di sekolah. Ini semua adalah kerana mereka belum cukup persediaan mental dan emosi untuk berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga atau adik-adik mereka. Jalan penyelesainya ialah menyediakan anak-anak ini dari segi fizikal, mental, emosi dan jiwa mengenai bersekolah.

 

PERSEDIAAN YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH IBU BAPA ATAU PENJAGA, IAITU:

 

ANAK MELANGKAH KE ALAM BARU. IBU BAPA KENA REDHA

Maksud tersirat yang telah difahamkan bila anak masuk sekolah. Contohnya, ada ibu atau bapa yang merasai kehilangan anak kerana anak kini sudah memasuki suatu alam baru iaitu alam persekolahan yang membawa maksud anak sudah besar dan tidak lagi memerlukan ibu bapa. Emosi yang melekat kepada fahaman tersirat ini boleh memberikan tekanan emosi pada ibu atau bapa. Oleh itu, anda perlu memahami perasaan anda dan mengiktiraf perasaan itu. Bila perasaan itu diiktiraf, anda akan dapat menggunakannya dengan baik. Daripada segi jiwa: Jiwa perlu untuk berbakti dan berbuat baik. Di sinilah ramai ibu bapa terlepas pandang. Anak-anak perlu disedia dan faham tujuan utama mereka ke sekolah. Bila mereka sudah mempunyai tujuan yang logik, jelas, mengikuti zaman dan sealiran dengan keperluan jiwa, maka anak-anak akan menggunakan persekolahan dengan paling positif untuk mereka dan dunia.

Jika ibu bapa mengenal sekolah itu sebagai tempat untuk mereka belajar, mendapat A supaya mereka mendapat kerja yang baik, gaji yang lumayan, hidup yang mewah, ini tidak lagi bersesuaian dengan zaman sekarang kerana anak-anak sudah terdedah kepada fenomena mereka yang tidak bersekolah tinggi tapi berjaya dalam hidup, hidup mewah dan sebagainya. Maka Ibu bapa perlu lebih bijak memberikan pengisian jiwa mengapa anak itu perlu ke sekolah. Sekadar meraih A, tidak akan menyebab anak itu terdorong untuk mahu melakukannya. Melainkan disebalik erti meraih itu, disematkan kefahaman bahawa, bila dia berusaha menimba ilmu dia akan dapat membantu ramai orang. Dia akan menjadikan hidupnya bermakna. Jangan ingat anak kecil tidak akan faham.

 

PERSEDIAAN ASAS IBU BAPA PERLU TAHU SEBELUM HANTAR ANAK KE TADIKA & SEKOLAH

Untuk membiasakan anak dengan persekitaran dan orang baru, cuba biasakan mereka untuk berjumpa orang baru atau bermain dengan anak-anak lain seusia mereka. Bagi anak yang sudah mula memahami perbualan, anda boleh mula memberitahunya tentang taska. Mungkin anda boleh memberitahu bila mereka akan pergi, apakah yang akan dibuat di sana, pukul berapa anda akan datang menjemputnya, dan macam-macam lagi. Dedahkan mereka dengan cerita yang seronok hingga menjadikan mereka bersemangat. Yang penting, jangan lupa beritahu mereka bahawa anda tetap sayangkannya walaupun terpaksa berjauhan seketika.

Jika sebelum ini anak anda tak pernah berpisah atau berenggang dengan anda, inilah masanya untuk anda mencuba. Lakukannya secara berkala dengan meminta pertolongan suami, keluarga, atau sesiapa yang anda percayai. Mulakan dalam tempoh 10 minit, 30 minit, 1 jam, dan seterusnya. Dengan latihan ini, anak anda akan belajar bahawa ibu akan sentiasa datang kembali walaupun mereka ditinggalkan.

Membaca buku cerita adalah salah satu cara untuk anda menyampaikan mesej kepada anak dengan berkesan. Tema ‘separation anxiety’ boleh didapati secara meluas melalui buku bergambar kanak-kanak. Rata-rata, ia mengisahkan bagaimana si ibu akan meninggalkan si anak buat sementara waktu dan akan kembali semula. Apabila anak memahami tentangnya, anda boleh selalu mengingatkan kisah ini semasa hantar anak ke taska kelak.

Selain membaca, anda juga boleh melakonkan babak pergi sekolah seperti bermain ‘cikgu-cikgu’ dengan anak. Dengan cara ini, mungkin anak akan lebih memahami situasi tersebut apabila tiba masanya. Mudah saja, sediakan prop seperti meja dan kerusi untuknya duduk atau ruangan khas yang dianggap seperti sekolah. Kemudian, lakonlah watak masing-masing. Boleh juga ajak suami sekali!

Bawa anak melihat taska dan kenalkan kepada persekitarannya. Selalunya, setiap taska akan mengendalikan ‘open day’ di mana ibu bapa berpeluang melihat kesesuaian dan mengetahui lebih lanjut tentang taska tersebut secara mendalam. Setelah ‘open day’ tersebut, anda juga boleh lalu-lalang atau membawa anak bersiar-siar dari jauh untuk memberi ‘feel’ kepadanya jika mereka nampak teruja. Tapi ingat, jangan terlalu memaksa atau ‘over-excited’ hingga menakutkan mereka pula.

Dalam tempoh 1-2 bulan sebelum hantar anak ke taska, anda sudah boleh mulakan rutin tidur dan bangun pagi secara konsisten. Ini penting, kerana anak akan kurang meragam apabila mereka cukup tidur dan cukup makan. Bayangkan, apabila anak lewat bangun anda tidak akan sempat memberinya sarapan dan si anak menjadi keliru apabila keadaan menjadi kelam-kabut. Apabila hantar anak ke taska dalam keadaan ini, kemungkinan besar mereka akan terus mengamuk dan menangis.

Barang kesayangan anak seperti mainan yang biasa dipegang, selimut kesukaannya, dan mungkin bekas makanannya perlu dibekalkan kepada pihak taska. Sekurang-kurangnya perlu ada salah satu agar dapat membantu anak lebih cepat berasa ‘familiar’ dengan persekitaran tersebut.

Cara ucapkan selamat tinggal yang paling berkesan ada 2 ciri iaitu ‘short & sweet’.  Ini bermaksud, anda perlu memberi perhatian semasa mengucapkannya, tetapi jangan terlampau panjang hingga menjadikan anak berasa gelisah. Cukuplah sekadar memberitahunya ‘Mama akan kembali’ dan ‘Mama sayang kamu’. Yang lain-lain bolehlah anda beritahunya sejak di dalam kereta lagi ya!

Salah satu kesilapan besar ibu bapa adalah dengan ‘berpatah balik’ kerana tak sampai hati melihat si kecil meraung. Anda perlu berpendirian tetap dan konsisten kerana anda telah memberitahu anak bahawa anda hanya akan datang mengambilnya pada waktu tertentu. Apabila anda ‘berpatah balik’, ketahuilah bahawa anda menjadikan keadaan lebih rumit buat si anak. Mereka akan keliru dan menganggap bahawa setiap kali menangis atau menjerit, ibu bapa akan cepat datang. Maka, kuatkan hati anda dan lambaikan tangan sambil tersenyum. Walaupun sedih, jangan sesekali menangis di hadapan si kecil. Ini akan menjadikan mereka lebih emosional dan sukar diurus pada hari yang mendatang.

Setiap ibu bapa perlu membuat persediaan mental dan fizikal dalam proses hantar anak ke taska. Jangan letak ‘expectation’ yang terlalu tinggi dan jangan pula marahkannya sekiranya anak belum dapat menyesuaikan diri.

 

 

 

 

 

 

 

Sumber :  Utusan / Siraplimau.com