Menangani dengan tingkah laku anak pelbagai kerenah sememangnya suatu yang mencabar dan sering menguji kesabaran ibu bapa, apatah lagi jika ini adalah pengalaman pertama membesarkan anak di usia tertentu. Justeru, dalam usaha memahami kerenah anak, adalah menjadi kewajipan bagi pasangan ibu bapa untuk cuba memahami terlebih dulu ciri-ciri semula jadi bagi setiap peringkat perkembangan anak agar ibu bapa boleh memahami dan boleh membezakan sama ada sesuatu tingkah laku yang ditonjolkan anak adalah ciri-ciri normal perkembangannya pada sesuatu peringkat umur atau adakah ia satu `masalah’ yang membimbangkan.
Hasil kajian ilmiah banyak membuktikan bahawa kurang memahami ciri-ciri semula jadi tingkah laku anak boleh membawa kepada permasalahan, menyebabkan tekanan kepada anak. Sebaliknya, ibu bapa yang memahami peringkat perkembangan anaknya akan banyak bersabar memahami kerenah anak, malah lebih banyak membantu melakukan perkara positif untuk menyokong perkembangannya.
Secara rasionalnya ibu atau bapa yang memahami tahap perkembangan seseorang anak dan keperluan setiap aspek perkembangan sudah pasti akan membantu dan memberi sokongan semasa membesarkan mereka bersesuaian dengan keupayaan dan keperluan individu jika mahukan anaknya lahir sebagai individu yang cemerlang. Potensi anak akan digarap tanpa ada unsur tekanan, paksaan dan mengikut emosi.
- Telatah atau kerenah anak masih tatih yang mencecah usia dua tahun memang sering memeningkan kepala ibu bapa untuk menanganinya. Emosinya yang sering turun naik menyebabkan ia sukar dikawal dan difahami. Daripada aspek kognitif, perasaan ingin tahunya yang begitu tinggi dan ingin mempelajari apa saja yang ada di persekitaran menjadikannya nampak nakal, tidak tahu duduk diam dan sering dilihat suka mencuba, memegang, menyentuh, menghidu, memulas, menuang, mengasingkan benda, menguji, membongkar dan sebagainya. Jadi, tidak hairanlah anakanak dalam usia ini selalu disebut sebagai terrible twos.
- Melihat perkembangan bahasa dan kebolehannya yang agak terbatas untuk berkomunikasi, puan pastinya akan berhadapan tingkah laku mengamuk atau temper tantrum, menunjukkan perangai yang tidak masuk akal dan menguji kesabaran. Memandangkan emosi yang dialami anak sama ada marah, sedih, geram, takut dan sebagainya adalah suatu yang abstrak, si kecil ini tidak dapat meluahkan perasaannya melalui katakata dan biasanya emosi itu diluahkan melalui perbuatan. Ia memang disengajakan dengan harapan orang yang melihatnya akan memahami apa yang cuba diluahkannya melalui bahasa badan biarpun perbuatannya ini kadang-kadang ditafsirkan sebagai agresif, buas, degil dan sebagainya.
- Dalam situasi tertentu, anda akan melihatnya seperti melawan ibu bapanya, namun perlu difahami bahawa reject syndrome yang dialaminya adalah dari dalaman diri serta keadaan emosinya yang turun naik dan bukan `menentang’ ibu bapa. Adalah suatu yang normal juga bagi kanak-kanak seusianya mengalami rasa takut yang sukar untuk dikenal pasti puncanya. Pada peringkat usia ini, anak kecil ini memang mudah berasa takut apabila mendengar bunyi yang kuat atau bising, suara binatang, bilik gelap, ‘kehilangan’ ibu bapa (separation anxiety), perubahan kepada persekitaran dan takut kepada apa saja yang ‘pada tanggapannya’ (bukan tanggapan orang dewasa) adalah bahaya atau menakutkan.
- Dari satu aspek, ibu bapa yang penyayang sememangnya cuba seberapa daya untuk bersikap adil dan tidak membezakan anak, namun kadangkadang kita mungkin terlepas pandang kalau ketidakadilan berlaku secara tidak sengaja dan tidak kita sedari apatah lagi kalau ia membabitkan bebanan perasaan yang boleh membawa kepada rasa cemburu dalam kalangan adik beradik. Dalam satu hadis riwayat Ibnu A’didari, Anas bin Malik r.a. berkata: “Seorang lelaki duduk di sebelah Rasulullah s.a.w, lalu datang kepadanya seorang kanak-kanak lelaki (anaknya) lalu dicium dan didudukkan di tepinya. Tidak lama selepas itu, datang pula anaknya yang perempuan lalu didudukkan di tepinya tanpa menciumnya. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda menegur perbuatan tersebut dengan berkata: “kamu telah tidak berlaku adil pada kedua-dua anak kamu! Sesungguhnya Allah menyukai kamu berlaku adil terhadap anak walaupun dalam hal yang melibatkan ciuman”.
TIP TANGANI KERENAH ANAK USIA TATIH
- Jika anak menunjukkan sikap menolak atau membantah (seperti menolak jika mahu dipeluk dan sebagainya), usah ambil hirau atau begitu terkesan dengan perbuatannya tetapi sambut dan peluklah ia dengan kasih sayang bila dia mendapatkan anda semula.
- Tunjukkan kasih sayang yang konsisten dan anda perlu sentiasa bersikap tenang ketika menangani kerenahnya.
- Berikan dia kasih sayang `tanpa syarat’ walaupun dalam situasi anda merasakan yang dia tidak memerlukannya ketika itu.
- Terimalah seadanya sikap anak yang kelihatan seperti `tolaktarik’, terkadang seperti berdegil mahu buat sendiri semua perkara, tetapi kadangkadang mahu ibu banya yang buatkan semua untuknya.
- Berikan sedikit masa one to one untuknya setiap hari walaupun dia sudah mempunyai adik.
- Buat tak tahu jika anak cuba `mencari kasih’ dengan buat perangai untuk mendapat perhatian, sebaliknya beri perhatian bila dia menunjukkan ‘perangai baik’.
LETAK SITUASI ANAK ANDA DALAM DIRI ANDA!
Perkara utama yang menjadi asas dalam menangani tekanan berhadapan dengan kerenah anak ialah memahami perkembangan normal dan ciri-ciri semula jadinya serta cuba meletakkan diri sebagai si kecil dan melihat sesuatu perkara dari perspektifnya.
- Anak berusia setahun lebih hingga tiga tahun, memerlukan sokongan supaya dapat menyeimbangkan antara rasa rapat dengan ibu ayahnya (perlu bantuan) dan ingin bebas melakukan semua perkara sendirian.
- Pada peringkat awal usia dua tahun, apabila anak berasa selamat dan tenteram dengan sokongan diberikan pengasuh atau ibu bapanya, ia akan mempergunakan rasa selamat itu sebagai asas untuk meneroka persekitaran. Sokongan berterusan dan peluang yang diberi untuk meneroka persekitaran dengan bebas dapat membantu anak mempelajari bagaimana mengurus emosinya.
- Ibu bapa wajar memahami, ada beberapa perkara utama yang boleh mencetuskan kemarahan dan tekanan jika tidak kena cara mengendalikannya.
- Pertama, pada usia dua tahun, pemahaman mengenai keselamatan dan bahaya adalah berbeza dengan apa yang difahami ibu bapa.
- Anak akan berasa tidak selamat apabila berhadapan dengan gelap dan bunyi suara yang sangat kuat atau orang yang tidak pernah dikenalinya tetapi pandangan ibu bapa mengenai sesuatu yang tidak selamat ialah apabila anak meneroka persekitaran. Lalu, si ibu akan berkata, ‘jangan pegang’, ‘jangan ambil’ atau ‘jangan sentuh!’ Ini menjadikan, si kecil berasa kecewa dengan larangan itu.
FAHAMI PSIKOLOGI ANAK
- Kedua, anak belum begitu memahami konsep, `tunggu sekejap’ atau `nanti dulu’. Apa saja dikehendakinya, dia akan mencapainya untuk diterokai sama ada permainan, makanan, telefon bimbit dan sebagainya. Cetusan rasa ingin tahu begitu tinggi, menjadikannya seolah-olah sentiasa menentang apa saja yang dikatakan kepadanya.
- Selain itu, ibu bapa juga berdepan dengan cabaran temper tantrum , terutama apabila anak mendengar perkataan `jangan’ yang begitu berlawanan dengan keinginan dalaman dirinya.
- Ibu bapa wajar memahami anak, dari segi psikologi dan kehendak dalaman dirinya. Apabila anak mendapat maklum balas, `jangan’, tiada cara lain untuknya meluahkan rasa kecewa melainkan ‘temper tantrum’ kerana itulah bahasa yang dia ada untuk meluahkan perasaannya.
- Ibu bapa perlu mengingatkan diri, dari mana atau apa punca sesuatu tingkah laku mencabar yang ditonjolkan oleh anak dan cuba seberapa daya untuk ‘menghargai pandangannya’. Cara ini dapat memberikan sedikit rasa kelegaan dan menyejukkan hati kerana kita memahami bahawa si anak pasti akan melaluinya kerana ia sebahagian daripada ciri-ciri normal perkembangannya untuk dia terus belajar serta membesar.
- Tarik nafas panjang dan cuba seberapa daya untuk tenangkan diri apabila berasa kecewa dengan tingkah laku mencabar yang ditonjolkan si kecil.
- Peluang si kecil membesar, meneroka, membuat eksperimen dan bermain dengan apa yang ditemuinya pada satu-satu ketika, belum tentu akan ditemuinya lagi pada masa akan datang. Pengalaman pembelajaran bermakna pada satu-satu ketika kecil biasanya tidak akan berulang dua kali.
Sumber: bharian.com.my