Puan Ashura Izwani Ahmad Tajudin yang baru berusia 28 tahun kongsikan cabaran dan kecekalannya sebagai seorang ibu tunggal pada usia muda.
Beliau yang mempunyai seorang anak lelaki yang diberi nama Mohammed dan bakal menimang cahaya mata yang ke-2 pada September ini telah kehilangan suaminya, arwah Muhammad Nurhaziq bin Haridan pada Disember 2021, secara tiba-tiba.
Mama Siti dan team KelabMama telah mendekati Puan Ashura untuk kongsikan kisahnya sebagai seorang superwoman yang kuat dan tabah bersama ibu-ibu yang lain. Jom kita baca perkongsian beliau.
Suami saya meninggal dunia ketika umur 28 tahun, pada 20 Disember 2021 ketika work from home. Beliau meninggal dunia secara mengejut dan saya sendiri tidak menduga kematian itu berlaku pada hari tersebut.
Anak pertama kami, Mohammed yang berumur 3 tahun 6 bulan disahkan mempunyai Autism Spectrum Disorder (mild Autism) dan kini sedang menjalani terapi, Early Intervention Program, dan daripada semasa ke semasa berjumpa Pakar Perkembangan Kanak-kanak dan Ahli Klinikal Psikologi untuk pemantauan perkembangan anak.
Untuk anak ke-2 kami, saya disahkan mengandung sekitar dua (2) bulan selepas suami meninggal dunia. Saya anggap anak ini memang satu rezeki dan ujian yang mengejut kerana saya telah datang haid sekitar akhir bulan Disember hingga awal Januari.
Waktu itu juga saya pertama kali turun darah penyakit. Saya telah membuat ujian kehamilan beberapa kali, namun negatif. Saya fikir mungkin saya terlalu tertekan hingga menganggu hormon badan saya. Saya pergi ke klinik satu hari sebab badan saya rasa kurang sihat hingga menganggu tugas di pejabat. Pada waktu itu Pegawai Perubatan syak saya hamil, kemudian saya setuju untuk buat ujian kehamilan. Keputusannya, saya disahkan hamil.
Ada orang sekeliling yang berkongsi dengan saya situasi yang saya alami tidak mustahil berlaku dan ada yang berkongsi pengalaman serupa. Kini, usia kandungan anak kami sudah enam (6) bulan.
Arwah Suami Meninggal Dunia Secara Mengejut
Saya hanya mampu nyatakan suami saya meninggal dunia secara mengejut tanpa sebarang penyakit fizikal kronik yang dialami. Sebenarnya almarhum suami akan menghantar dan mengambil saya pulang dari tempat kerja kerana beliau bekerja dari rumah.
Namun, pada hari itu, beliau tidak ambil saya dari tempat kerja dan mengambil anak dari playschool. Saya rasa pelik tapi saya fikir mungkin almarhum suami letih bekerja dan tertidur di rumah. Jadi, saya minta bantuan ibu saya untuk mengambil saya dan anak pulang ke rumah.
Bila saya pulang ke rumah, saya dapati almarhum suami telah meninggal dunia dalam rumah. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa luluhnya hati saya kerana pada hari itu saya tidak makan tengah hari di pejabat. Saya telah merancang nak belanja makan suami dan anak makan usai habis waktu pejabat. Jadi, saya rasa sangat terkilan.
Ketika melalui proses pengecaman mayat dan perlu kembali ke tempat kejadian atas urusan tertentu, saya tidak boleh lupa perasaan sedih dan sakit yang terlalu berat hingga menggigil satu badan. Saya tidak mampu makan sehingga urusan pengebumian selesai kerana memikirkan almarhum suami.
Pada awal fasa selepas kematian suami, kadang-kadang saya termenung di pintu rumah ayah ibu saya dan berharap suami akan bagi salam dan bawa saya pulang. Hingga hari ini, ada waktu yang saya akan menangis secara tiba-tiba kerana rindu yang tidak mampu diungkapkan dan dilepaskan. Saya rasa rindu ini hanya akan berakhir pada hari saya bertemu ajal.
Jujurnya, saya ada rasa menyesal tidak mengambil cuti pada hari kematian suami. Hati saya ada terdetik nak ambil cuti rehat dan luangkan masa bersama suami kerana kami baru pulang meraikan hari konvokesyen saya di Johor, tapi saya fikir tanggungjawab dan kerja di pejabat yang perlu dilaksanakan. Namun, saya menerima takdir yang telah Allah SWT aturkan dan saya memegang kata-kata,
Allah telah tetapkan kematian seseorang, tidak cepat seminit, tidak lambat seminit. Walau apa yang kita lakukan, kematian itu tetap akan datang seperti hari yang dijanjikan.
Saya redha dan saya menerima takdir Allah SWT. Saya bersangka baik dengan takdir saya bertukar status kepada balu pada usia 27 tahun dan kini anak-anak saya menjadi anak yatim. Saya yakin, Allah SWT lebih menyayangi suami saya dan lebih banyak kebaikan akan berlaku kepada dirinya daripada keburukan apabila beliau diambil oleh Allah SWT dalam usia yang bagi saya begitu muda untuk meninggalkan keluarga.
Kehidupan Sebagai Seorang Ibu Tunggal Pada Usia Muda
Ujian ini berat bagi saya. Jadi ibu tunggal di usia muda, terlalu banyak impian dan harapan yang saya berkongsi dengan almarhum suami. Kami ingin melihat anak-anak kami membesar bersama. Kami mempunyai cita-cita sendiri dan kami saling menyokong untuk capai bersama. Namun, segala harapan dan impian itu terpaksa saya simpan sendiri.
Kami juga menanti anak yang ke-2 selepas umur anak pertama cecah setahun, namun saya tidak sempat berkongsi berita gembira kehamilan ini bersama beliau.
Pada awalnya saya memikirkan masa depan saya yang akan tua tanpa suami di sisi. Saya memikirkan masa depan anak-anak yang membesar tanpa kasih seorang ayah, terutama anak sulung kami yang Autistik dan memerlukan perhatian lebih. Semua pemikiran itu buat saya rasa sedih dan takut untuk tempuh ujian di masa hadapan.
Tapi kini saya lebih fokus akan kerjaya saya dan misi untuk membesarkan anak-anak dalam memberi didikan dan pendidikan yang terbaik untuk mereka. Saya buat keputusan untuk letakkan mindset saya,
‘focus on right here, right now’
Sayalah Mak, Sayalah Ayah
Kerjaya saya kini adalah satu-satunya ‘periuk nasi’ saya dan anak-anak. Jadi, kerjaya itu penting dalam hidup saya. Saya juga kini menjadi ayah dan ibu kepada anak-anak, jadi peranan saya lebih berat dan penting bagi memenuhi perhatian dan kasih sayang mereka. Saya juga tidak tahu hakikatnya umur saya panjang atau pendek. Saya hanya mampu berusaha dan tawakal sehabis baik setiap hari.
Apabila saya melihat pasangan lain yang bahagia dan dapat membesarkan anak mereka bersama, saya tumpang gembira dan mendoakan semoga umur mereka terus panjang dan bahagia. Saya berharap dengan mendoakan yang baik-baik buat mereka, mudahan andai rezeki jodoh saya dan almarhum suami kekal selamanya, Allah SWT mengizinkan kami untuk merasa bahagia di alam sana selepas hari kematian saya.
Sokongan Keluarga Dan Keluarga Mentua Atau Orang Terdekat
Pada fasa awal, ibu bapa, adik, sahabat-sahabat, dan rakan sekerja saya berikan sokongan yang paling kuat. Sebenarnya ramai orang sekeliling yang mainkan peranan dalam memberikan sokongan emosi kepada saya, termasuk kawan-kawan dan kenalan almarhum suami. Saya sangat berterima kasih kepada semua.
Keluarga mentua juga sedang mengalami kesedihan ketika itu kerana almarhum suami juga adalah seorang anak, abang, dan adik kepada keluarga mentua. Mereka juga yang menguruskan pengebumian almarhum suami kerana jenazah dikuburkan berdekatan rumah ibu bapa almarhum suami.
Oleh kerana saya baru mula mengambil lesen dan tiada kenderaan untuk pergi kerja dan menghantar anak ke playschool, ayah, ibu, dan adik saya yang membantu saya dan anak untuk meneruskan hidup. Jika saya perlu masa sendirian atau jatuh sakit, ahli keluarga saya akan mengambil alih menjaga anak saya untuk beri ruang saya berehat. Mereka yang mengambil alih peranan almarhum suami sementara saya dalam proses mengambil lesen dan membeli kenderaan bagi kegunaan saya dan anak-anak.
Saya kini tinggal bersama ibu bapa saya kerana sebelum ini kami menyewa sebuah rumah dan rumah yang kami beli jauh untuk saya berpindah. Atas nasihat kaunselor, saya tidak boleh tinggal di rumah sendirian demi kebaikan mental-fizikal dan inshaAllah memudahkan urusan saya dan anak untuk memulakan hidup semula dengan sokongan keluarga terdekat.
Saya juga merasa sokongan yang sangat kuat daripada tempat kerja. Ketua saya tidak pernah memaksa saya untuk terus masuk bertugas semula segera kerana ingin memberikan saya ruang dan masa untuk adaptasi dengan hidup baru. Saya juga tiada isu dengan tempat kerja sekiranya saya perlu bercuti menguruskan anak atau buat baby checkup.
Rakan-rakan sekerja, terutama di satu jabatan sentiasa memberikan sokongan apabila saya melalui setiap episod ujian yang melanda selepas kematian almarhum suami. Saya sangat bersyukur kerana tempat kerja ini la harapan saya untuk meneruskan hidup dan membesarkan anak-anak. Saya berharap saya dapat berikan perkhidmatan yang terbaik kepada majikan atas toleransi mereka kepada saya.
Cabaran Yang Terpaksa Dilalui Sebagai Seorang Ibu Tunggal
Daripada sudut kewangan, tidak dinafikan ia memberikan kesan yang besar kepada saya kerana saya perlu ‘menghidupkan’ diri saya dan anak-anak. Dulu, kalau saya tak kerja, ekonomi keluarga masih mampu ditampung suami. Kini, jika saya hilang kerja, akan lumpuh semua ekonomi keluarga. Saya tidak boleh terus bergantung kepada ibu bapa dan adik saya kerana saya bukan lagi dalam tanggungan mereka. Ibu bapa saya makin berumur dan adik saya pun bakal ada keluarga sendiri.
Saya tidak akan lupa fasa saya dan anak bonceng motor keluarga dalam keadaan saya berbadan dua. Ada waktu cuaca baik, ada waktu hujan lebat dan ribut. Saya tidak kisah jika saya susah, tapi saya tidak sanggup tengok anak saya berhujan dan susah dalam keadaan usia terlalu kecil dan tanpa seorang ayah. Jadi, memang bertambah komitmen yang berat, seperti beli kereta dan cari rumah untuk saya dan anak-anak tinggal. Tapi saya tak kisah, asalkan hidup anak-anak dan saya terjamin.
Daripada sudut penjagaan diri dan anak, berbeza sangat sebab almarhum suami adalah ayah yang sangat bertanggungjawab dan suami yang penyayang. Beliau tidak pernah berkira tolong jagakan anak, mengajar anak, dan membawa anak bermain.
Beliau boleh bangun lewat malam tolong susukan anak dan biarkan saya berehat, walhal beliau juga perlu bekerja pada hari siang. Beliau tak kisah tukar pampers anak dan melayan anak. Beliau juga menyokong usaha membantu anak kami yang Autistik.
Beliau adalah suami yang rendah ego dan pandai melayan saya bila saya stres, bila saya perlu bahu untuk bersandar. Mulutnya tak pernah lokek memuji dan berterima kasih kepada saya. Beliau sentiasa menjadi penyokong kuat saya bila saya nak buat sesuatu, terutama perkara yang berikan kebaikan kepada diri saya.
Bila almarhum suami pergi, memang terasa beban yang almarhum suami ambil berpindah semua ke bahu saya. Terasa hilang satu kasih sayang yang cukup besar dalam hidup saya. Tapi saya fikir positif dengan takdir saya. Saya bersyukur almarhum suami telah mengumpul terlalu banyak kebaikan daripada layanannya kepada saya dan anak.
Saham akhirat, dengan bersabar dan menerima apa sahaja ujian.
Mungkin kini Allah SWT ingin memberikan saya peluang pula untuk berkhidmat kepada keluarga seperti almarhum suami. Jadi, bila saya penat jaga anak, penat melawan emosi saya yang sedih, saya hanya fikirkan mungkin inilah ‘saham akhirat’ saya. Dengan bersabar dan terima apa saja ujian.
Menjadi ibu tunggal memang penat dan mencabar. Saya bagaikan hilang sebelah sayap. Selagi boleh saya usaha elak terjebak daripada segala jenis ‘drama’ dalam hidup sebab ujian yang sedia ada pun dah cukup penat saya nak fikir dan hadap. Saya perlu teruskan hidup dan cekal membesarkan anak-anak. Saya fikir anak-anak dah tak ada ayah, kini hanya kepada ibu mereka berpaut dan menagih kasih sayang.
Memori Terindah Bersama Arwah
Memori terindah saya bersama almarhum suami adalah apabila kami bersama-sama membuat kebaikan. Pergi masjid bersama-sama, mengaji sama-sama, dan buat kerja sukarelawan bersama-sama walaupun waktu tu saya mengandung dan kami membawa anak. Almarhum suami telah berikan pelbagai memori indah tapi apabila beliau telah meninggal dunia, saya akan mengenang dan mencari-cari kenangan yang mudahan menjadi ‘saham akhirat’ buat dirinya di alam sana.
Hati almarhum suami pun lembut dan mudah menerima nasihat dan kebaikan, jadi mudahan Allah SWT juga berlemah lembut dan menerima kepulangannya ke alam abadi dengan gembira. Hati saya juga akan lebih tenang memikirkan semua memori itu dan mudahan sifat beliau tersemai dalam jiwa anak-anak kami, inshaAllah.
“Allah jaga ayah ya sayang,”
Selepas pemergian almarhum suami, saya mendidik anak dengan selalu beritahu, “Allah jaga ayah.” Kadang-kadang saya akan cakap secara terus,
“Ayah Mohammed dah tak ada, jadi sekarang ibu jaga Mohammed, Mohammed jaga ibu.”
Saya bersyukur sebab perkembangan anak masih berjalan baik, termasuk perkembangan emosi kerana sifat anak Autism juga melibatkan kesukaran untuk memahami emosi orang sekeliling. Ada beberapa kali bila anak ternampak saya menangis rindukan almarhum suami, dia akan cakap, “Dah dah, jangan nangis. Ayah tidur kat Allah.”
“Ibu jangan nangis, Allah jaga ayah.” Daripada kejadian tersebut, saya dapat melihat perkembangan emosi anak yang lebih peka berbanding dulu.
Saya juga telah bersedia untuk ‘menghidupkan’ cerita berkenaan almarhum suami dan sifatnya yang baik daripada semasa ke semasa supaya anak-anak tak lupakan ayah mereka, dijadikan contoh yang baik, dan mudahan anak-anak akan terus mendoakan ayah mereka, inshaAllah.
Pesanan dan Nasihat Kepada Ibu Tunggal dan Ibu-ibu Lain yang Mungkin Melalui Dugaan dan Cabaran yang Sama
Coretan ini saya anggap seperti saya berpesan dan menasihati diri saya sendiri.
Tidak ada manusia yang mampu memahami kesedihan dan kerinduan seorang isteri yang kehilangan suami. Suami kita adalah separuh jiwa yang tahu baik-buruk kita dan terima seadanya, yang tidur sebantal dengan kita, yang menjadi ayah kepada zuriat kita, yang berkongsi susah-senang bersama, yang janji bersama ‘cinta hingga syurga’.
Akan ada segelintir orang akan minta kita untuk move on cepat, akan ada segelintir yang akan cakap ‘tak apa, suami boleh diganti’ seolah-olah rendahnya rasa cinta kita kepada suami. Akan ada nasihat-nasihat yang kita rasa tidak membantu dalam proses menelan segala takdir. Akan ada keadaan dalam hidup kita yang berubah dan menjadi janggal.
Ambil la setiap langkah kecil untuk maju ke hadapan. Walaupun langkah tu kecil dan lambat, tak mengapa. Asalkan kita cuba dan usaha untuk terus maju selangkah. InshaAllah, satu hari nanti bila kita toleh ke belakang, kita akan sedar betapa jauhnya kita telah berjaya melangkah ke hadapan dan sekecil-kecil usaha tidak pernah sia-sia.
Tak mengapa kalau hari-hari kita menangis, kita bersedih. Kita sahaja yang memahami diri kita. Dah tak ada pasangan untuk pujuk dan lemah lembut dengan kita, jadi kita belajar la untuk pujuk dan lemah lembut dengan jiwa kita. Jaga diri kita. Utamakan diri kita. Bila kita jaga diri kita, baru kita akan mampu jaga anak-anak kita inshaAllah.
Bila kita belajar sayang diri dan emosi kita, baru kita akan mampu sayang dan jaga emosi anak-anak, inshaAllah.
Dalam menempuh ujian hidup, kita dah tak ada siapa-siapa lagi melainkan Tuhan. Dia sentiasa ada, Dia tidak pernah tidur, dan Dia tidak pernah sia-sia kan walau setitis air mata kita. Kalau anak-anak kita berpaut kepada kita, kita akan rebah kalau kita tak berpaut kepada Tuhan.
Berpaut kepada Tuhan tidak menghilangkan kesedihan dan ketakutan kita kerana dunia ni memang dicipta untuk menguji manusia. Tapi jiwa kita akan terus teguh dan kuat sebab kita berpaut kepada Pemilik Kekuatan. Percaya la, kesabaran dan keteguhan hati kita boleh menjadi asbab salah satu pintu syurga dibuka luas untuk kita. Di syurga, tidak akan ada lagi kesedihan dan kesakitan yang perlu ditanggung.
Dan semoga memori yang mekar dalam ingatan kepada suami-suami kita menjadi salah satu sumber kekuatan kita untuk terus jadi wanita yang taat kepada agama dan ibu yang mampu membuat anak-anak terbang tinggi walau tubuh kita telah patah sebelah sayap. Semoga pada hari kematian kita, bukan sahaja Tuhan berbangga akan kita, tetapi suami-suami kita juga diizinkan menjemput kita dengan penuh gembira.
Kesedihan kita akan berakhir, satu hari nanti.
Takziah Mama Siti dan team KelabMama ucapkan kepada Puan Ashura dan terima kasih atas perkongsian beliau. Mama Siti percaya setiap yang bergelar ibu, emak, Mama, Mommy dan sebagainya mempunyai kisah dan cabaran yang tersendiri dan kita juga sangat kuat untuk menempuhinya.
Sebab tu penting untuk kita sentiasa raikan dan rayakan Mama kerana ia merupakan satu bentuk penghargaan kepada ibu kita. Tak kisahlah ibu tunggal, bakal ibu, mereka yang sudah berkahwin dan masih menantikan zuriat dan sebagainya.
Bagi umat Islam, banyakkan berdoa kepada yang Maha Esa dan kepada mereka yang terdekat, jangan lupa untuk sentiasa berikan sokongan yang terbaik kepada mereka yang memerlukan.