KelabMama

Penjelasan Mufti Tentang Qadha & Kiraan Fidyah Untuk Ibu Tidak Dapat Berpuasa Kerana Bersalin

Umat Islam bakal menyambut kedatangan bulan Ramadan dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Untuk Mama-mama yang bakal bersalin, atau menyusu, anda pasti ragu-ragu mengenai status puasa anda di bulan Ramadan.

Bersalin akan menyebabkan Mama mengalami nifas, yang menghalang Mama daripada menunaikan ibadah seperti solat dan juga berpuasa untuk satu jangka masa yang agak lama. Begitu juga buat Mama yang masih menyusukan bayi. Ketika sibuk menguruskan bayi dan keluarga, ibu menyusu pasti rasa letih dan terbeban untuk mengggantikan puasa yang ditinggalkan.

Jadi, apa yang harus Mama lakukan apabila berada dalam keadaan tersebut? Ikuti nasihat dan penjelasan daripada Mufti Wilayah Persekutuan di bawah.

SOALAN: Assalamualaikum ustaz. Saya ingin menanyakan satu soalan. Bulan puasa tahun lepas saya dalam pantang bersalin. Jadinya sebulan puasa saya tidak berpuasa. Sekarang pun masih menyusukan anak. Usia anak 11 bulan. Saya ingin bertanya, perlukah saya:
  1. Qada’ puasa sahaja atau
  2. Qada’ puasa dan bayar fidyah atau
  3. Tidak perlu puasa tetapi bayar fidyah sahaja

Saya masih menyusukan anak sekarang. Yang mana satu yang perlu saya ikut nya sebab banyak sangat mazhab yang saya dengar. Saya tidak tahu mana yang patut ikot.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berpantang & Hukum Nifas

Pertama sekali kita perlu jelas tentang maksud ‘pantang’ secara adat dan syariat. Dalam adat Melayu pantang selepas bersalin memiliki beberapa tempoh yang masyhur antaranya 44 hari dan 100 hari. Manakala menurut syariat, berpantang ini boleh dikaitkan dengan hukum keluarnya darah nifas. Hukum nifas, adalah seperti hukum haid pada perkara-perkara yang haram dilakukan yakni solat, puasa, membaca mushab al-Quran, menyentuh dan membawanya, menetap di dalam masjid, bertawaf dan berjima’, bermesraan suami dan isteri di antara pusat dan lutut. Tempoh kebiasaan nifas adalah 40 hari, manakala maksimumnya pula adalah 60 hari. 

Menurut Imam al-Syarbini al-Khatib (w.977H) di dalam al-Iqna’ (ms.143-144), orang perempuan yang bernifas haram menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Jika dia berpuasa juga maka puasanya tidak sah dan wajib diqadha. Ini berbeza dengan solat fardu yang tidak perlu diganti. Perkara ini berdasarkan hadis Muslim riwayat Aisyah R.Anha bahawa kaum wanita diperintahkan  untuk mengqadhakan puasa Ramadhan yang ditinggal akibat haid – dan juga nifas – tetapi tidak bagi solat fardu.

Hukum Qadha Puasa Bulan Ramadan

Pada asalnya hukum wanita yang menangguh qadha puasanya sehingga masuk ke Ramadhan tahun seterusnya adalah haram dan wajib ke atasnya untuk qadha puasa dan membayar satu mud (secupak makanan ruji seperti beras dalam zakat fitrah) bagi setiap puasa yang ditinggalkan dan tidak sempat diganti sebelum tiba Ramadhan bagi tahun yang baru. Namun begitu pengecualian diberikan jika penangguhan itu bersebabkan uzur syarie. Rujuk al-Iqna` (ms. 352).

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Muʿtamad (2/200) : “Jika seseorang wanita itu melewatkan qadha’ puasanya kerana uzur seperti berterusan sakit, menyusukan anak, hamil dan musafir, sehingga masuk ke Ramdhan yang baru, maka tidak wajib fidyah kerana kelewatan ini dan wajib qadha’ sahaja.”

Justeru, dalam kes puan yang bertanya:

  1. Puan hendaklah menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa nifas dahulu.
  2. Jika puan melewatkan puasa sehingga masuk ke Ramadhan yang baharu, maka hendaklah puan ganti puasa, dan membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.
  3. Jika puan meninggalkan ganti puasa atas sebab keuzuran seperti masih menyusu anak, lalu masuk ke Ramadhan yang baharu, maka puan tidak perlu membayar fidyah tetapi tetap perlu menggantikan puasa.

Semoga Allah Taala mengurniakan kekuatan dan ilmu dalam beramal. Wallahua’lam.

Secara ringkasnya:

Sumber: Rayuan Ramadhan Ikram

Cara Kiraan Fidyah

Berdasarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), berikut merupakan cara kiraan fidyah yang betul. Diingatkan, kadar bayaran fidyah berbeza, mengikut harga yang ditetapkan oleh sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut akan diagihkan kepada fakir miskin.

FIDYAH = (Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak)

#KONSEP GANDAAN BAGI PENENTUAN BAYARAN FIDYAH

Contoh:

Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

RM 4.00 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM 36.00.

Nasihat Mama Siti

Mama Siti pun tak sabar menanti Ramadan! Suasana Ramadan tu tenang, dan lain sangat. Untuk Mama yang tengah hamil, bersalin mahupun masih menyusukan anak, tak salah jika anda tidak berpuasa. Tapi, jangan lupa qadha sebelum Ramadan yang seterusnya ya! Sebagai umat Islam, kita WAJIB QADHA puasa yang ditinggalkan secara sengaja mahupun tidak. Inshaallah lebih diberkati dan dilimpahkan rezekiNya. Selamat berpuasa Mama semua!