Seorang ibu angkat telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun kerana telah memalsukan ‘kesakitan’ yang dialami anak angkatnya. Anak angkatnya yang juga yatim piatu, telah dipaksa berlapar dengan tidak memberikannya makan sejak lapan tahun lalu!
Tertuduh yang berasal dari Rusia, dikatakan telah melakukan hal demikian agar dia dapat menuntut bantuan kebajikan yang layan dituntut oleh mangsa, berjumlah sehingga RM270,569!
Ibu angkat terbabit yang bernama Lyubov Korotkova, dilihat menangis ketika dibawa keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara.
Seksa Anak Angkat Sejak 8 Tahun Lalu
Menurut laporan DailyMail, Lyubov didakwa telah melakukan perbuatan kejam itu terhadap mangsa sejak lapan tahun lalu dan memperdayakan doktor kononnya mangsa mempunyai penyakit yang jarang dihidapi manusia.
Dia telah membuat tuntutan palsu sebanyak RM270,569 bagi tempoh tujuh tahun dan mangsa, Valery Kondourov, 11, tidak ubah seperti mayat hidup!
‘Hero’ Kerana Menjaga Anak Istimewa
Difahamkan, sebelum perbuatannya itu terbongkar, si ibu yang berusia lingkungan 40-an itu dianggap sebagai hero oleh penduduk setempat kerana sanggup menjaga ‘anak istimewa’ itu.
Walhal yang sebenarnya, Lyubov telah memaksa mangsa menurunkan berat badan dengan tidak memberikannya makan! Suspek jugak telah memberi mangsa menghisap dadah agar dia dijangkiti penyakit yang serius.
Akibat diseksa oleh ibu angkat yang kejam, berat badan mangsa menyamai berat badan kanak-kanak berusia 4 tahun. Tingginya pula hanya 3 kaki 5 inci, sama seperti kanak-kanak berusia 5 tahun.
Diseksa Selama Hampir 8 Tahun!
Menurut sumber, selama lapan tahun mangsa tidak diberi makan agar si ibu dapat mendaftarkannya sebagai orang cacat dan menerima bantuan dari pihak kebajikan.
“Selama bertahun-tahun, wanita itu juga telah membawa mangsa bertemu dengan ramai doktor dan meminta mereka memeriksa keadaan mangsa yang didakwanya menghidap pelbagai penyakit termasuk kanser. Tetapi, doktor tidak dapat menentukan diagnosis yang betul,”
Svetlana Petrenko, pegawai dari Jawatankuasa Pemeriksa Persekutuan Rusia.
Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Perbuatan suspek mula terbongkar apabila seorang doktor berasa curiga selepas menjalankan pemeriksaan terhadap kanak-kanak berkenaan. Pemeriksaan doktor terbabit mendapati mangsa sebenarnya sihat, tetapi telah dianiaya oleh ibu angkatnya sendiri!
Takkan si bapa tidak tahu menahu? Difahamkan, tertuduh sebenarnya telah merancang untuk berbuat demikian tanpa pengetahuan suaminya, Andrei, yang turut membantu menjaga mangsa.
Kanak-kanak malang itu juga tidak dibenarkan bersekolah di luar, sebaliknya hanya belajar di rumah sahaja.
Ibu Angkat yang Pentingkan Diri Sendiri
Siasatan mendapati, tertuduh akhirnya berjaya mendaftarkan anaknya sebagai kanak-kanak istimewa, dan dia mula menerima pelbagai bantuan kebajikan, pampasan dan beberapa lagi elaun yang lain.
Lyubov pada awalnya mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan itu. Walau bagaimanapun, setelah mendapat bukti yang mencukupi, mahkamah memutuskan tertuduh bersalah. Dia bukan sahaja menganiaya dan mendera mangsa, tetapi telah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu angkat. Tertudah tergamak berbuat demikian kerana kepentingan diri sendiri – mahukan duit bantuan kebajikan.
Kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan bersama seorang Ahli Psikologi, Svetlana Suleimanova, dan dia berada dalam proses pemulihan. Semoga mangsa cepat sembuh, mendapat nutrisi pemakanan yang seimbang dan juga kasih sayang daripada keluarga angkat barunya.
Pesan Mama Siti
Mama Siti nak pesan, jika ada antara jiran-jiran Mama yang berkelakuan aneh dengan anak-anak mereka sendiri, apa kata Mama cuba kenali mereka dengan lebih rapat? Bukan menjaga tepi kain, cuma mengambil berat dengan keadaan jiran sekeliling. Kadang-kadang ibu-ibu yang lain hanya perlukan seseorang untuk meluahkan masalah yang mereka hadapi. Mungkin dengan mendengar luahan hati dan masalah ibu-ibu yang lain, Mama dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah yang tidak diingini. Ingat, jika kita memudahkan orang lain, inshaallah jalan hidup kita juga dipermudahkan ^^