KelabMama

Ibu Muda Pukul Bayi 18 Bulan Hingga Mati

Hanya kerana sering menangis dan tidak mahu minum susu, seorang ibu muda di Taiwan telah memukul bayinya yang baru berumur 18 bulan hingga meninggal dunia. Ibu muda yang baru berumur 17 tahun itu dikatakan sering memukul bayinya hanya kerana dia tidak mahu minum susu dan juga tidak sengaja tertumpahkan susu ke atas alat kosmetik si ibu.

Ibu & Bapa Muda

Difahamkan, ibu remaja terbabit telah melahirkan bayinya yang kini berusia 18 bulan ketika umur si ibu 16 tahun! Muda bukan? Si ibu dan pasangannya yang baru berusia 20 tahun, telah berpisah tahun lalu dan hak penjagaan bayi mereka diberikan kepada si ibu. 

Ibu kepada bayi malang itu dikatakan telah tinggal bersama tiga lagi saudara perempuannya yang berusia dalam lingkungan 20-an. Lebih malang lagi apabila bayi kecil itu turut dipukul tiga saudara perempuan ibunya itu pada malam kejadian, 15 Januari yang lalu. Kesiannya kamu wahai anak.

Mangsa turut dibawa ke Pusat Karaoke 

Anak kecil itu menangis tanpa henti akibat kesakitan. Namun, tangisannya tidak dipedulikan oleh keempat-empat mereka! Tidak lama kemudian, bayi tersebut tidak sedarkan diri dan kesemua  suspek menyangkakan mangsa tertidur. Mereka kemudian pergi ke pusat karaoke bersama mangsa dan berhibur selama tiga jam! 

Ketika masih berhibur, si ibu perasan mata mangsa dilihat ke atas. Si ibu terus memukul kepala mangsa tanpa mengetahui mangsa telah meninggal dunia ketika itu. Hanya selepas mereka selesai berkaraoke, si ibu tersedar ada sesuatu yang tidak kena pada mangsa lalu dia terus dibawa ke hospital. 

Sudah Terlambat

Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan lebam di seluruh badan mangsa dan beberapa kesan luka yang dipercayai disebabkan oleh kuku si pemukul. Sejurus itu, doktor terus melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. 

Pendarahan Dalam Kepala

Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut kerana mengalami pendarahan dalam kepala. Polis mengesyaki salah seorang dari suspek telah menghentak kepala mangsa ke dinding atau mangsa terjatuh lalu kepalanya terhentak di atas lantai. 

Mangsa “Dirasuk syaitan…”

Lebih menyayat hati apabila mangsa dikatakan telah dipukul sejak awal tahun 2019 setiap kali mangsa menangis. 
Si ibu dan tiga rakannya ditahan dan kesemua suspek mengaku bersalah. Tetapi, kesemua mereka mendakwa mangsa telah dirasuk oleh syaitan dan perlu dipukul agar dia mendengar kata. Polis telah menyerbu kediaman suspek dan menemui beberapa objek yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa seperti alat pengurut, rotan dan tiub plastik. 

Bapa Menyesal 

Sementara itu, bapa dan nenek mangsa terkejut dan sedih apabila mengetahui kejadian yang menimpa si comel berkenaan. 

Ayah akan pastikan kamu dapat keadilan. Ayah menyesal tak bawa kamu tinggal bersama dengan ayah dan membiarkan kamu menderita dengan mereka. Maafkan ayah. Ayah sayang kamu,

tulisnya di Facebook.